KUALA TERENGGANU – Isu Tasik Kenyir tidak terhenti dengan pembinaan Kompleks Bebas Cukai (KBC) yang tergendala dan pembangunan pulau-pulau yang membazir.
Bahkan, ‘bau busuk’ perlumbaan kuasa dan ‘meratah kekayaan’ negeri ini merebak kepada pembinaan jambatan ke Pulau Poh serta komponennya.
Perkembangan terbaharu membawa khabar, KBC tidak mungkin dapat disiapkan sebagaimana dijanjikan pada Ogos tahun hadapan.
Menurut sumber dalaman, pertelagahan antara pemimpin Umno menyebabkan pembinaan KBC akan tertangguh lagi.
Pada awal minggu ini, bekas Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said dikesan muncul di pinggiran Tasik yang indah itu.
“Memang Ahmad Said selalu datang melawat Tasik kenyir ini, membuat tinjauan,” kata sumber itu yang tidak mahu dikenali.
Rupanya projek KBC masih menjadi minat Ahmad Said, bahkan lebih daripada itu, beliau sedang memerhati ‘beberapa’ premis baharu di atas jeti berbentuk kubah bernilai RM100 juta, bersebelahan jambatan ke Pulau Poh.
Sumber tersebut memakkumkan, projek KBC yang dimulakan pembinaan pada zaman beliau, masih dalam kawalannya.
“Razif tak ada kuasa, dan tidak minat untuk meneruskannya…….sebab itu Razif pernah berkata, buatlah selama mana pun, memakan masa lama sekali pun,” menurut sumber itu.
Razif lebih berminat untuk membangunkan ‘Zon Bebas Cukai’ di Pegkalan Gawi, di dalam bangunan berbentuk kubah itu.
Lima buah binaan tersebut, adalah diimpot teknologi binaannya dari Belanda, sebab itu kosnya mahal, kata sumber itu.
Bahkan bangunan yang dibina dari bahan besi, kaca gentian berisi gabus itu, dibawa terus dari luar negara dan hanya dipasang di situ.
“Sebab itu Razif lancarkan ZBC di Pengkalan Gawi pada 1hb Ogos lalu……..dia nak buat dalam bangunan bentuk kubah itu dan kemudian barulah dipindahkan ke KBC Pulau Bayas,
“Pihak kerajaan sekarang memang sedar, kalau buat terus di Pulau Bayas, memang tidak ada orang akan pergi,” ujarnya.
Keseluruhan projek jambatan Pulau Poh adalah bernilai RM330 juta termasuk pembinaan jeti kubah itu, terminal kargo, kawasan parkir dan lain-lain.
Semua perbelanjaan pembinaan projek jambatan itu adalah ditanggung oleh kerajaan negeri Terengganu