NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Subky Latif: Melayu Pandir...


TIDAKLAH sah lagi Tan Sri Isa Samad, bekas Pengerusi Felda Global Ventures membeli hotel di London dan Kuching dengan harga melambung tinggi dari harga sepatutnya.
      
Dia baru ditahan dan direman dengan dakwaan demikian. Dan dipercayai akan dibicarakan dengan dakwaan begitu.
      
Cerita itu yang belum disahkan oleh mahkamah akan benarnya menjadikan saya terasa macam berada di alam Pak Pandir, satu dongeng rakyat yang lucu dan melucukan.
       
Watak Pak Pandir itu bila disuruh jemput Pak Lebai ditanyanya Mak Andih tanda Pak Lebai. Kata Mak Andih, yang berketayap putih di kepalanya. Dia balik membawa pipit uban yang kepalanya putih. 
      
Bila dia membawa mayat anaknya ke kubur, mayat itu cicir di jalan. Selepas yang dikatakan mayat tadi dikuburkan dia balik. Tengah jalan jumpa mayat anaknya yang cicir nanti. Didapatinya mayat itu serupa mayat anaknya. Ujarnya, bukan Andih saja yang mati anak. Ada lagi lucunya, tetapi lelucuan Pak Pandir.
      
Bila kita tengok dua buah hotel yang dibeli itu dengan harga yang melambung tinggi dari harga pasaran, tidak masuk dalam fikiran dunia korporat tidak tahu harga sebenar hotel itu. Ketua FGV yang berada di alam korporat tidak boleh tidak tahu harga semasa sesuatu yang dibeli. Mesti dia tahu mahal atau murah.
       
Adat penjual mahukan mahal. Adat pembeli mahukan murah. Sesudah ditahu harga ditawar murah, ditawarnya supaya murah lagi.
      
Tetapi lucu Pak Pandir sebagai orang korporat, dia tidak suka harga yang rendah. Dia hanya akan beli benda yang sama jika dimahalkan. Apa lagi jika mahal yang berganda. Harga yang disetujui itu menyebabkan duitnya habis. Tetapi ikut gurindam masyhur orang Bota dan Belanja di Parit, Biyo pape asa begaye.
      
Itulah dongeng Pak Pandir yang mungkin sesuai buat dipakai kepada oang Melayu. Membeli mengikut lucu demikian, bukan saja baru atau sekali bagi setengah pembesar Melayu lama selepas merdeka. Yang masih panas dihebohkan sebelum ini tentang pembelian hartanah di Australia oleh Mara.
      
Dikatakan bangunan itu juga tinggi dari harga sebenar. Hingga dikatakan ada takwil dari masyarakat tempatan kerana cara pembelian demikian, justeru lucunya boleh mengacau nilai harga hartanah tempatan.
      
Ia jadi satu isu yang kita sedang tunggu khabarnya.
     
Moral dari isu itu ada persamaan antara pembelian hotel oleh FGV dan hartanah oleh Mara. Dua-duanya ada watak lucu Melayu Pak Pandir itu.
      
Watak suka membeli tinggi bukanlah yang pertama dan kedua oleh pembesar Melayu. Ada yang lebih awal lebih sepuluh tahun dulu orang Melayu membeli kapal selam dari Perancis untuk pertahanan Malaysia.
       
Harga yang disetujui dipercayai 500 juta dari nilai sepatutnya. 500 juta itu dikatakan baksis bagi syarikat orang tengah. Kalau hendak rasuah pun masakan sampai setengah bilion. Dua tiga juta sudahlah. Itupun, mungkin kecil, sudah curang namanya. Apa lagi baksis sampai setengah bilion.
       
Kes ini jadi buah mulut di Malaysia dan bagi Perancis ada fail dibuka kerana dikatakan berlaku kecurangan.
      
Tiga lucu itu sekadar yang diviral. Yang tersembunyi adalah banyak mana?  Semuanya memekung nama orang-orang Melayu dalam dunia berjual beli. Bodoh namanya kalau membeli murah. Bangga membeli kapal berkarat asal harganya tinggi.
      
Ia bukan Melayu Hang Tuah, tapi Melayu Pandir. 
© all rights reserved
made with by templateszoo