Oleh Eddy Zakry, 1Media.my.
Walaupun berjiran dan berkongsi sejarah namun persaingan di antara Malaysia dan Singapura memang ketara.
Tidak ketinggalan di dalam bidang sukan di mana persaingan di antara kedua-dua negara dikatakan sengit walau di dalam apa jenis sukan sekalipun.
Begitu juga pada Sukan SEA yang sedang berlangsung di mana atlet-atlet negara sudah tentu akan lebih bersemangat apabila bertemu dengan Singapura.
Kenyataan pemenang pingat emas Olimpik acara renang Singapura, Joseph Schooling sebelum sukan tersebut sudah tentu telah menyemarakkan lagi saingan di antara kedua-dua negara.
Beliau telah dilaporkan berkata kepada Channel News Asia akan menyekolahkan perenang-perenang Malaysia di tempat mereka sendiri. ("I think it will be nice to go to Malaysia’s backyard and teach them a thing or two.")
Tetapi walaupun Singapura di hadapan Malaysia dalam acara renang namun di dalam acara-acara lain Malaysia lebih unggul dari negara seberang tambak itu. Setakat ini, Malaysia mendahului saingan kedua-dua negara ini.
Di dalam bolasepak lelaki, Malaysia telah mengalahkan Singapura 2-1 di dalam perlawanan Kumpulan A. Perlawanan tersebut adalah sengit di mana Malaysia walaupun tuan rumah ketinggalan 0-1 sebelum bangkit untuk menang. Singapura kemungkinan tersingkir dari saingan ke separuh akhir akibat kekalahan itu.
Malaysia juga telah mengalahkan Singapura yang merupakan juara bertahan di dalam acara bola jaring 65-41 untuk meraih pingat emas. Kemenangan ini sungguh bermakna kerana pada Sukan SEA 2015 di Singapura, Singapura telah mengalahkan Malaysia 46-43 untuk pingat emas.
Di dalam ragbi 7-sebelah, sekali lagi Singapura telah kecundang di tangan pasukan negara. Malaysia telah mengalahkan Singapura 17-7 untuk pingat emas di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam. Pada Sukan SEA sebelum ini Malaysia sekadar memenangi pingat perak.
Hanya di dalam saingan polo air ( waterpolo ) Singapura berjaya mengatasi Malaysia. Pasukan negara tewas 17-4 untuk memungkinkan Singapura memenangi pingat emas. Tetapi polo air adalah sukan yang telah didominasi oleh Singapura sejak kejohanan 1965. Pingat emas kali ini adalah pingat ke 27 mereka dalam sukan tersebut.
Tetapi masa masih panjang. Terdapat banyak acara-acara yang akan dipertandingkan. Saingan antara dua negara ini sudah tentu menarik. Atlet-atlet Singapura sudah tentu mahu mengalahkan jiran mereka yang lebih besar dan yang telah mencapai kemerdekaan lebih awal dari mereka. Bagi Malaysia pula ini adalah peluang untuk mengatasi republik yang dilihat lebih berjaya membangunkan negara mereka sehingga diiktiraf sebagai negara dunia pertama. Malaysia hari ini kelihatan ketinggalan di dalam banyak perkara. Nilai mata wang kita jauh lebih rendah walaupun di satu masa dahulu berada di tahap yang sama. Rakyat Malaysia sudah tentu mengharapkan atlet-atlet mereka dapat memberikan keceriaan setelah pemimpin-pemimpin politik gagal. (1Media.my)
No comments
Post a Comment