Saya harap ulama ini harus berhati-hati, kita pakailah ijma yang telah dibuat berkurun lamanya. Orang yang buat hukum bukan sembarangan tapi berasakan Al-Quran dan hadis, ijma dan juga kajian - Tan Sri Harussani Zakaria
KUALA LUMPUR: Tan Sri Harussani Zakaria hari ini mempersoalkan Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin kerana menyokong keputusan Mahkamah Rayuan untuk membenarkan anak luar nikah dibinkan nama bapa kandung, dengan berkata ia boleh menjurus kepada menghalalkan zina.
“Pendapat mufti Perlis ini menghalalkan zina. Benda yang diputuskan sejak berzaman tidak boleh ubah, sebab ia berasaskan Al-Quran, hadis, ijma (persetujuan) ulama. Kenapa kita nak melawan hadis?” soal mufti Perlis itu.
“Saya harap ulama ini harus berhati-hati, kita pakailah ijma yang telah dibuat berkurun lamanya. Orang yang buat hukum bukan sembarangan tapi berasakan Al-Quran dan hadis, ijma dan juga kajian,” katanya ditemui pemberita pada sebuah acara yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau mengulas kenyataan Asri yang mengalu-alukan penghakiman oleh Mahkamah Rayuan yang diterbitkan 25 Julai lalu, di mana hakim Datuk Abdul Rahman Sebli berkata Jabatan Pendaftaran Negara bertindak di luar kuasanya apabila ia menggunakan “bin Abdullah” untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak yang diberikan taraf luar nikah ketika kelahirannya disebabkan tidak cukup syarat yang ditetapkan oleh fatwa.
“Kami percaya Islam tidak membenarkan penghinaan secara terbuka terhadap kanak-kanak yang tidak bersalah,” kata Abdul Rahman dalam penghakimannya yang mempersoalkan amalan meletakkan nama “Abdullah” sebagai nama bapa anak luar nikah.
Dalam responnya, Asri berkata keputusan mahkamah itu selari dengan sifat agama Islam sebagai rahmat sekalian alam.
“Semoga keputusan Mahkamah Rayuan itu menutup keaiban, memberi peluang insan bertaubat, tidak menghukum anak yang tidak bersalah dan ke arah menghindarkan mentaliti ‘Islam agama hukuman’,” tulis Asri dalam Facebook beliau.
Bagaimanapun, Harussani berkata Mahkamah Rayuan jelas membelakangkannya Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat Islam sebagai agama rasmi Malaysia.
Beliau berkata umat Islam perlu berpegang teguh kepada ajaran Islam dan tidak terpedaya dengan mana-mana perundangan lain yang menyentuh Islam.
“Dalam perlembgaan kita agama Islam yang dipakai, jadi kenapa mereka nak nafikan keputusan fatwa dan telah digazetkan, keputusan itu mengikat JPN, dia mengikat semua, itu sudah ada dalam perlembagaan, macam mana Mahkamah Rayuan sendiri tidak terikat dengan fatwa?” katanya.
Harussani berkata pandangannya bukan menghina Mahkamah Rayuan, sebaliknya berkaya keputusan mahkamah itu yang “menghina Islam,m enghina perlembgaan, menghina fatwa”.