KUALA TERENGGANU 29 Ogos-Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) menawarkan rebat tol sehingga 50 peratus esok bagi membantu mengagihkan trafik yang memuncak pada sambutan Hari Kebangsaan dan perayaan Aidiladha.
Rebat ditawarkan sepanjang hari, mulai tengah malam ini (30 Ogos) sebagai tanda penghargaan atas sokongan pengguna lebuh raya tersebut terhadap inisiatif transaksi tol 100 peratus elektronik yang dilancarkan baru-baru ini.
Pengurus Besar LPT2 Sdn. Bhd, Husni Md. Yusuf dalam satu kenyataan memberitahu, langkah itu turut mengalakkan orang ramai menggunakan LPT2 sebagai laluan alternatif pilihan yang lebih menjimatkan masa untuk ke pantai timur.
Rebat kali ini diberikan bagi perjalanan kenderaan Kelas 1 (kenderaan ringan dengan 2 gandar dan 3 atau 4 roda kecuali teksi) melebihi 100 kilometer yang membuat transaksi tol di plaza-plaza tol di lebuh raya LPT2.
Pada tarikh tersebut, orang ramai masih perlu membayar tol dengan kadar biasa. Rebat tol 50 peratus akan dimasukkan ke dalam kad PLUSMiles atau kad Touch ‘n Go apabila mereka menambah nilai kad masing-masing di plaza tol LPT2 yang terpilih serta pusat khidmat pelanggan PLUS di antara 15 September hingga 14 Disember depan.