Oleh M. Kamal Affandi
Meneliti semula komen Redzuan Kushairi (gambar) selaku wakil penganjur bersama simposium ‘Kesederhanaan al-Quran: Antara dua titik ekstrim’ anjuran G25 dan Islamic Renaissance Front (IRF), maka saya rasa terpanggil untuk memberikan sedikit ulasan lanjut mengenainya.
Redzuan, bercakap bagi pihak G25, dilaporkan dalam MMO (26 Ogos) berkata kumpulan liberal tersebut sebenarnya tidak bersetuju dengan pembentangan speaker tamu Dr Mun‘im Sirry yang membuat tafsiran Al-Quran mengikut acuan ‘akal pemikiran’ manusia.
Menurut portal berita bahasa Inggeris itu, Redzuan berkata:
“This is the classic case of trying to use human reason, so much so that you go beyond certain parametres, a certain red line. I think he [Dr Mun’im] crossed the red line.”
Dr Mun‘im, penceramah yang dijemput khas ke simposium IRF-G25 – juga seorang pensyarah University of Notre Dame – nyata dianggap sudah melampaui batasan.
Kita menyambut baik penarikan sokongan penganjur walaupun kita pasti tetamu diaku-terima sebagai ‘pakar’ teologi yang diiktiraf G25 dan IRF.
Tentunya idea-idea Dr Mun’im sudah dikenali mereka, dan IRF beserta G25 boleh dianggap mungkin bersetuju dengan pandangan beliau.
Apapun, Dr Mun’im ditegur agar jangan mempersoalkan kalam Allah yang diturunkan kepada umat manusia. “He’s trying too much to use human reason. You cannot question the Creator. You cannot question the words of the Creator,” Redzuan dipetik MMO sebagai berkata.
Redzuan memberi kenyataan di atas setelah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membuat komen tentang simposium berkenaan dalam satu sidang media sebagaimana dilaporkan oleh portal berita Menara.
Kata ketua pengarah Jakim Othman Mustapha (gambar atas): “Ini suatu kenyataan yang salah dan bercanggah dengan pandangan jumhur ulama. Beliau [Dr Mun’im] juga seolah-olah cuba untuk mempromosi tafsiran baru kepada kebenaran kitab suci Al-Quran”.
Semua pihak juga perlu ingat bahawa negara ini majoritinya adalah umat Islam yang berpegang teguh kepada aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan kedudukan Islam dilindungi di bawah perlembagaan persekutuan, tambah beliau.
“Malahan kita juga perlu sama-sama menjaga keharmonian beragama di samping memelihara kedaulatan agama Islam di Malaysia”, katanya lagi.
Add caption |
Cukup tegas dan jelas penerangan Jakim setelah perkara tersebut dibangkitkan oleh netizen dalam media, antara lain seperti disebut dalam laporan susulan ini oleh Menara.
Saya juga telah menulis dalam Tanjak baru-baru ini dengan memasukkan episod betapa marahnya Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza).
Dato’ Mufti Perlis yang baru sahaja habis memberikan ucaptama dalam symposium itu kembali bercakap semasa pembentangan panelis jemputan kerana “…..amat tidak bersetuju dengan tafsiran yang salah tentang akidah Islam yang beliau [Dr Mun’im] nyatakan, namun pembentang yang ketiga benar-benar merampas kemampuan saya untuk hanya mendengar”.
Telah saya sebutkan betapa Allah SWT telah membuka hati Dr Maza untuk membantah dalam program atas dasar ilmu berdasarkan “teks dan konteks” Islam yang disampaikan oleh Rasulullah SAW menerusi penurunan al-Quran.
Persoalan yang bermain di minda kita ialah: Kenapa Redzuan dan kalangan lain dalam G25 dan IRF tidak terus menghujah menolak Mun’im Sirry di dalam simposium berkenaan atas faktor “he crossed the red line”?
Kita juga ingin bertanya: Kenapa Redzuan hanya tunggu selepas ketua pengarah Jakim buat sidang media baru hendak buat komen?
Kita nak tanya lagi: Kenapa tiada mana-mana tokoh dalam G25 atau IRF yang membantah dan meminta Mun’im Sirry berhenti bercakap pada ketika dan waktu dia membentangkan pendapatnya dalam simposium berkenaan?
Dan kita terus bertanya lagi: Bukankah Dr Maza sudah cukup jelas membantah hujah-hujah Mun’im dan “… amat tidak bersetuju dengan tafsiran yang salah tentang akidah Islam yang beliau nyatakan” memaksa Mufti Perlis mencelah walaupun sudah memberikan ucaptama sebelumnya?Payah nak jawab soalan-soalan tu!
Dr Mun’im mengesyorkan pendekatan ‘baru’ terhadap’ tafsiran kitab suci |
Farouk Musa nampak sealiran pendapat dengan Mun’im Sirry
G25 dan IRF selaku “pengimport” Dr Mun’im sepatutnya melarang beliau daripada terus berceramah di Malaysia walapun Dr Farouk Musa kelihatan tidak setegas Redzuan.
Farouk tetap mempersoalkan Jakim daripada mempertikaikan Mun’im (rujuk bawah). Sekurang-kurangnya Redzuan sudah perlihatkan kebimbangannya dan mula terasa bahang yang bakal menerpa.
Kita juga berpandangan Redzuan wajar sekolahkan rakan sepenganjurnya IRF bahawa Mun’im sudah melanggar sempadan
Can’t Muslims think on their own? IRF asks after Jakim bashes forum https://t.co/KiKXaxLOcr— Malay Mail Online (@themmailonline) August 26, 2017
Namun pengarah IRF itu sudah tebal kefahaman liberalis-sekularis dan pluralisnya.
Apa yang Farouk Musa pernah kata bahawa “IRF believes in intellectual discourse and critical thinking. That is why our tagline is ‘Li qaumin yatafakkarun‘ — for people who think” di atas sebenarnya sudah dijawab dengan jelas oleh Dr Maza dan Redzuan Kushairi.
Sesungguhnya amat jelas Farouk ini amat keras hatinya dan hendak cakap juga apa yang dia faham. Yang dia faham itu pula lebih kurang sama dengan Mun’im Sirry.
Farouk yang sama pernah menyatakan IRF bertekad mahu menghidupkan kembali aliran muktazilah bagi memperjuangkan keunggulan akal atau “the rise of reason” di kalangan umat Islam seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini.
Menurutnya, “matlamat dan tekad perjuangan IRF adalah untuk meremaja atau memperbaharui pemikiran kaum Muslimin, atau dalam makna lain, memperjuangkan keunggulan akal”.
Alhasil, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa ia merupakan penjelmaan semula pemikiran dan aliran rasionalisme kaum muktazilah di dunia Islam masa ini.
Beliau juga kuat memperjuangkan sekularisme dan pluralisme apabila pernah berkatabahawa dalam sebuah negara pelbagai agama seperti Malaysia, “sekularisme, difahami dengan tepat, dapat menawarkan satu-satunya jalan kepada kebebasan agama dan falsafah”.
Demikianlah tokoh-tokoh G25 dan IRF: Saling keliru dan mengelirukan; kini tersesat dan mula menyesatkan.
Masanya sudah tiba untuk Jakim memanggil wakil-wakil G25 dan IRF secara berasingan menemui ulama dan sarjana Islam dalam ‘Panel Penasihat Mengenai Ajaran Sesat Jakim’ supaya menilai secara ilmiah pemikiran Islam G25 dan IRF.
Dr Maza menyertai acara anjuran Penang InstituteG25 dan IRF seolah-olah kebal daripada tindakan undang-undang
Ada juga yang bertanya: “Atau yang sebenarnya G25 dan IRF itu semua memang sebakul?” Bermain drama di atas penganjuran pelbagai seminar dan simposium.
Yang Redzuan panas panik sebagai penganjur; Dr Maza pula terpaksa bangkit takut kredibilitinya dipersoalkan dan dikaitkan dengan ceramah Dr Mun’im Sirriy walhal dia sendiri banyak memberikan idea dan sumbangan kepada G25, IRF, Penang Institute dan Sisters in Islam.
Dalam pada itu, Farouk masih kekal membantah dan mempromosikan IRF yang semakin keliru dan melencong.
Jika buku terbitan G25 berjudul Breaking the Silence: Voices of Moderation – Islam in a Constitutional Democracy sudah diharamkan kerajaan atas sebab menyesatkan dan menyeleweng, maka amat tepat kumpulan itu tidak dibenarkan menjemput para penceramah liberalis-sekularis seperti yang terjadi pada 19 Ogos yang lalu.
Apa ertinya mengharamkan buku Breaking the Silence sedangkan aktiviti dan suara G25 dibenarkan terus menyanggah kedaulatan Islam?
Sehubungan ini, teringat kita akan titah Paduka Seri Sultan Perak dalam konvensyen ‘Memperkukuh pasak negara: Ke arah wasiat lebih tersurat’ di Putrajaya pada 5 Ogos 2017, apabila baginda tuanku bertitah:
“Perkara-perkara yang telah dipersetujui ketika penggubalan Perlembagaan Merdeka, menyentuh prinsip-prinsip asas, tidak harus diperdagangkan untuk tujuan meraih keuntungan politik jangka pendek; tidak wajar dikorbankan kerana kepentingan untuk mengutamakan atau melindungi mana-mana pihak, baik organisasi mahupun individu. Prinsip-prinsip asas, terutama menyentuh Islam dan Melayu tidak boleh sama sekali dikompromikan. Walau apa sekalipun alasan, walau apa muslihatnya, matlamat jangka pendek oleh mana-mana pihak, jangan sampai ke peringkat menggadaikan nasib ummah di hari ini dan di hari muka. Ummah wajib berdiri teguh – berpendirian tegas, tidak berundur, walau setapak sekalipun.”
Satu ketetapan yang muktamad dan berani demi Islam dan masa depan ummah di negara ini mesti dilakukan seberapa segera oleh pihak berwajib sebelum aqidah ummah dipunahkan mereka.
Pada hakikatnya, G25 dan IRF sudah “crossed the red line” dan amat berbahaya kepada kedaulatan agama Islam sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.
Semoga Allah SWT kembalikan mereka ke jalan yang benar.