Terdapat dakwaan yang disandarkan kepada tokoh tertentu bahawa Bromolein atau Bromlin yang terdapat dalam empulur nenas boleh merawat kanser. Malah kuasa penyembuhannya 10,000 kali lebih kuat dari kaedah perubatan moden kimoterapi.
.
Mesej tular seperti ini telah berlegar di dunia internet sejak sekian lama. Tiada siapa memperbetulkan fakta yang tidak tepat itu. Tujuan penyebaran pun tidak diketahui. Secara realitinya kita semua yakin bahawa empulur nenas yang kononnya mengandungi bromlin itu TIDAK mempunyai kuasa penyembuh kanser. Tiada catatan pun dalam buku perubatan berwibawa bahawa bromlin ini digunakan sebagai ubat kanser (anti-kanser). Pengidap kanser meningkat setiap tahun, nenas beribu-ribu biji pun sudah terlaris jualannya, tetapi kematian pengidap kanser menjengah juga. Ramai pesakit yang survive apabila diberikan kimoterapi.
.
Melalui carian saya Dr Soelihanto, ahli bedah Batam itu tidak wujud. Terdapat nama yang sama dalam carian google tetapi bukannya berpengkalan di Batam Indonesia. Jika sekiranya doktor bedah ini tersohor sudah tentu carian google cepat menjejakinya. Memang banyak dapatan yang kita perolehi atas nama Dr Soelihanto ini, tetapi semuanya tulisan copy & paste dari artikel yang saya sebutkan di atas. Ayat sebijik, sama.
.
Nenas adalah anti oksidan, bukan antikanser. Fungsi anti oksidan tidak sama dengan anti kanser. Anti oksidan boleh mencegah berlaku pembebasan radikal dalam tubuh kita. Secara teorinya radikal bebas yang terkumpul banyak boleh mengakibatkan kanser. Akan tetapi punca kanser bukan semata-mata radikal bebas. Banyak faktor lain yang mempengaruhinya. Tidak tepat jika beranggapan anti oksidan itu sebagai anti kanser. Umpamanya tidak tepat kita beranggapan memakan ayam itu seperti memakan tahi. Ayam makan TAHI --> kita makan AYAM. Adakah KITA dianggap makan tahi?
.
Membandingkan dos Bromlin dengan antibiotik juga tidak tidak tepat. Antibiotiks bukan anti kanser, tetapi anti bakteria. Sudah tentu dos antibiotik tidak boleh disamakan dengan dos antikanser. Cara tindakbalas kedua-duanya pun berbeza. Antibiotik itu pembunuh kuman, manakala anti kanser pembunuh sel kanser.
.
Artikel berkenaan juga menuduh industri nenas yang mengandungi bromlin itu sengaja dibenamkan oleh industri ubat. Saya lihat tiada siapa ingin membenamkan sesiapa pun. Industri pertanian termasuk penjualan nenas tetap berkembang dalam negara kita tanpa sekatan pun, malah kerajaan mengiktiraf pertanian nenas ini dengan menamakan satu tempat khusus; Pekan Nenas. Industri ubat tidak tergugat pun dengan penjualan nenas. Apa nak dikisahkan dengan buah nenas yang tidak terbukti keberkesanan merawat kanser? Ianya hanya sejenis makanan yang sedap, pembasuh mulut selepas makan tengahari atau penyelera dalam rojak buah. Doktor perubatan tidak pernah melarang memakan nenas ini, malah lantaklah siapa nak makan nenas berpuluh-puluh biji pun, tapi ingat cirit nanti.
.
Ayat *Bromlin nenas lebih kuat 10000 kali dari kemoterapi* itu sudah jelas nampak ayat klise yang menipu. Diperhatikan apabila melibatkan ubatan herba atau ubatan alternatif, mereka akan beranalogi produk mereka 1000 kali, 10,000 kali ganda dari ubat hospital. Adakah mereka sedar kesan (jika benarlah) yang akan ditanggung jika sekiranya ubatan produk itu lebih potent (berbisa) dari kimoterapi? Sebagaimana Kita semua tahu, siapa yang dalam rawatan kimoterapi, badan lemah, rambut gugur, muka pucat akibat kesan kimoterapi. Ini adalah kesan yang dijangka berlaku ke atas pesakit yang sedang menjalani kimoterapi, dan akan pulih sepenuhnya setelah sembuh dari kanser. Jika nenas 10000 kali kuat, saya yakin ramai antara kita akan botak kepala, pucat dan terlantar tak bermaya. Bukan sahaja rambut gugur, tapi gigi pun akan berterabur, kulit makin kendur, dekat dengan lubang kubur. Tapi hakikatnya bromlin nenas tidak sebegitu.
.
Artikel itu juga memberi kaedah memakan empulur nenas ini, iaitu memakan empulur nenas (bromlin) dengan vitamin C. Kenapa cari nahas? Nenas itu masam berasid, vitamin pun masam berasid. Kami, doktor perubatan memberikan vitamin C kepada pesakit tertentu sahaja. Itupun dalam dos tersukat. Kami berhati-hati memberikan kepada mereka kerana dibimbangi boleh menyebabkan luka dinding perut. Boleh berlaku perdarahan perut dan maut! Bayangkan jika makan bersama bromlin yang kononnya 10000 lebih kuat dari kimoterapi?
.
Salur darah tersumbat samada akibat kolesterol atau sebagainya bukan boleh dirawat dengan bromlin dan vitamin C. Kaedah terbaik bagi membuang saluran tersumbat seperti jantung adalah melalui angio. Hospital boleh lakukan prosedur khas ini. Selain itu pesakit dikehendaki memakan aspirin, antikolesterol serta ubat-ubatan penyakit kronik yang sedia ada.
.
Semoga jawapan ini memberi manfaat kepada kita semua. Perbetulkan saya jika terdapat fakta yang tak betul. Saya sudi menerimanya.
.
Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli
12.8.2017
Subang
Rujukan tambahan
http://umm.edu/health/medical/altmed/supplement/bromelain
Sumber: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1482784235094228&id=546572572048737
No comments
Post a Comment