Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi Suku Tahun 2/2017 (April, Mei dan Jun) akan dipamerkan selama 14 hari mulai 19 Julai ini hingga 1 Ogos depan.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, ia akan dipamerkan di 960 lokasi di seluruh negara selaras dengan kehendak Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
"Dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih bagi tempoh berkenaan, SPR sudah menerima 214,118 permohonan pendaftaran sebagai pemilih.
"Ia terdiri daripada 157,373 pendaftaran pemilih baharu dan 56,745 permohonan untuk pertukaran alamat bahagian pilihan raya daripada pemilih yang sedia berdaftar dengan SPR," katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.
Abdul Salleh berkata, sepanjang tempoh pameran berlangsung, pemohon yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu atau menukar alamat bahagian pilihan raya pada bulan April, Mei dan Jun dinasihatkan untuk menyemak RDPT berkenaan.
Bagi permohonan pendaftaran baharu, katanya, jika pemohon mendapati namanya tidak tersenarai di dalam RDPT itu, mereka boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B dan diserahkan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja dalam tempoh pameran.
"Bagi pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan mana-mana nama orang dalam RDPT itu di satu-satu bahagian pilihan raya, boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.
"Seorang pembantah boleh membantah tidak melebihi 20 orang selaras dengan Peraturan15 (3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002," katanya.
Beliau berkata, bantahan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat hari bekerja dalam tempoh pameran.
Menurutnya, ketika tempoh pameran RDPT itu, SPR juga mempamerkan nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih.
Katanya, antara asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada daftar pemilih ialah kerana merekadi dapati tidak berhak untuk terus kekal di dalam daftar pemilih atas sebab tertentu termasuk sudah meninggal dunia, melepas atau lucut hak warganegara.
"Sehubungan itu, SPR menyeru kepada semua pemohon yang sudah mendaftar dari 1 April hingga 30 Jun supaya membuat semakan maklumat pendaftaran pemilih di lokasi yang dinyatakan.
"Sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT Suku Tahun 2/2017 boleh menghubungi Ibu Pejabat SPR melalui talian 03-88927018 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.
"Pemohon juga boleh melayari laman sesawang SPR di http://www.spr.gov.my untuk menyemak senarai nama yang dipamerkan dalam dokumen itu," katanya.(MyMetro)