NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Keputusan Mahkamah Rayuan Perlu Diteliti Semula


KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyatakan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Julai 2017 adalah sesuatu yang merunsingkan. Menurut kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi UMMAH, Haji Aminuddin Yahaya, keputusan ini tidak selari dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2003. 

“UMMAH percaya bahawa keputusan Mahkamah Rayuan ini bertentangan dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2003, yang menetapkan bahawa “anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa anak tersebut.”

Haji Aminuddin juga menambah bahawa fatwa yang dikeluarkan sebelum ini tidak bertujuan untuk menghukum anak yang tidak berdosa akibat kesalahan ibu dan bapanya namun demikian bermatlamat untuk melindungi nasab dan keturunan. 

“Perlu ditekankan bahawa penetapan nasab seseorang anak bagi menentukan sama ada sah atau tidak tarafnya bukanlah bertujuan untuk menghukum seseorang anak atas dosa yang dilakukan oleh ibu atau bapanya sekiranya anak tersebut tidak sah tarafnya, tetapi bagi menjaga kesucian dan keutuhan nasab dan keturunan, yang telah dirumuskan oleh para ulama’ sebagai termasuk salah satu daripada matlamat (maqasid) syariah.” 

Selain daripada itu tafsiran Mahkamah Syariah berkenaan seksyen 13A(2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 adalah sesuatu yang memusykilkan. Ini kerana penggunaan “nama keluarga” disama ertikan dengan bin atau bintikan nama ayah. Ini kerana tidak semua keluarga memiliki nama keluarga dan tafsiran ini perlu diperhalusi. 

UMMAH juga menuntut supaya Majlis-majlis Agama Islam di semua negeri membuat permohonan untuk menjadi pencelah dalam rayuan pihak kerajaan di peringkat Mahkamah Persekutuan. Ini kerana apa-apa yang melibatkan umat Islam di negara ini akan memberi kesan kepada pentadbiran undang-undang Syariah di negara ini. 

Selain itu, UMMAH juga menuntut supaya Akta ini diperbaiki melalui proses pindaan di Parlimen supaya selari dengan hukum syara’. “…Kerajaan juga wajar pertimbangkan untuk memperbaiki Akta tersebut melalui proses pindaan di Parlimen, supaya dapat diselaraskan dan diharmonikan dengan hukum syara’.” 

Read more at: https://www.menara.my/keputusan-mahkamah-rayuan-perlu-diteliti-semula-ummah/
© all rights reserved
made with by templateszoo