Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha berharap Nurhanizah Abdul Rahman, pemilik anjing yang diberi nama Bubu agar segera bertaubat.
"Jakim berharap individu tersebut perlu segera memberhentikan perbuatan tersebut dan kembali bertaubat kepada Allah.
"Perbuatan sebegini dilihat seolah-olah beliau cuba mencipta budaya baru yang boleh membawa kepada perbuatan menghina agama Islam.
Menurut mazhab Syafie, umat Islam adalah dilarang menyentuh anjing secara sengaja kerana menajiskan diri tanpa tujuan yang munasabah adalah haram di sisi Islam," kata beliau dalam kenyataan.
Othman berkata demikian sebagai mengulas tindakan Nurhanizah yang memuat naik satu posting dalam Facebooknya mengenai pengkisahan berkaitan anjing peliharaan bernama Bubu pada 1 Julai 2017, jam 2.11 petang.
Mengulas lanjut, Othman berkata, pihaknya amat menyesali perbuatan memegang anjing secara sengaja begini tanpa sebarang sebab yang dibenarkan dalam Islam.
"Ia menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam kerana ia bercanggah dengan pegangan mazhab dan ‘uruf/ adat di Malaysia," jelas beliau.
Pada dasarnya, kata beliau, agama Islam tidak memandang keji kepada anjing sebagai salah satu makhluk Allah.
Apatah lagi untuk menyeksa, memukul dan membunuh anjing tanpa sebab adalah sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam, jelasnya.
Bagaimanapun, dalam Mazhab Syafie, umat Islam tidak dibenarkan untuk menjadikan haiwan tersebut sebagai binatang peliharaan.
"Malahan, Islam mewajibkan semua umatnya untuk memelihara kesucian diri, pakaian dan tempat tinggal agar ia tidak menjejaskan amal ibadah seharian.
"Bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu ini secara berhikmah demi kebaikan bersama, individu tersebut dinasihatkan agar dapat merujuk kepada pihak Jakim berkaitan hukum memelihara anjing," tambah Othman.
Tak menjadi haram
Sementara itu, Ketua Biro Agama PKR Wan Ji Wan Hussin berkata, fatwa Ibn Abd al-Bar tidak meletakkan perbuatan memelihara anjing selain untuk tujuan berburu dan penjagaan sebagai haram, sebaliknya sekadar makruh sahaja.
"Apabila sesuatu hadis itu berada dalam kerangka zanni, sudah pasti ia sesuatu larangan itu punyai sebab.
"Ekoran itu, ada sebilangan ulama berkhilaf tentang sebab larangan membela anjing seperti yang disenaraikan oleh Ibn Hajar al-Asqalani.
"Sebilangan ulama menyatakan, larangan itu mencegah malaikat masuk dalam rumah, sebilangan lain menyatakan bahawa ia boleh mengganggu jiran tetangga, sebilangan yang lain menyatakan bahawa sebilangan anjing itu adalah syaitan, setengah yang lain menyatakan bahawa kebiasaan anjing di dalam rumah akan memungkinkan jilatan anjing itu terkena pada bekas makanan," jelasnya.
Jika larangan itu menjadi haram, ekoran malaikat tidak masuk rumah, sudah pasti memasukkan TV dan gambar juga dikira sebagai haram, katanya.
Ini kerana, jelas Wan Ji, dalam hadis ada mempamerkan bahawa dengan kewujudan gambar dalam rumah, malaikat juga tidak masuk ke dalam rumah.
"Jika dikatakan larangan itu kerana ia boleh menggangu jiran tetangga, sudah pasti larangan itu bukan hukum lizatih, iaitu keharaman pada membela anjing, tetapi larangan itu pada faktor lighairih, iaitu berfaktorkan kebisingan.
"Dengan maksud, jika tidak membawa kepada bising, atau duduk dalam rumah yang punyai halangan suara dari sampai ke rumah orang lain, maka ia tidak menjadi haram," katanya lagi.
Ujar beliau, jika dikatakan larangan itu kerana sebilangan anjing adalah syaitan, maka sudah pasti wujud ada anjing yang tidak syaitan.
Ini kerana, katanya, definisi syaitan adalah setiap yang jahat tidak kira ia dari kalangan man