DAP pernah cuba menghubungi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan mengenai status siasatan terhadap parti itu, bagaimana pun sehingga hari ini masih belum menerima sebarang maklumat terperinci.
Menurut Setiausaha Organisasi DAP, Antony Loke Siew Fook, DAP sudah beberapa kali cuba menghubungi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, namun tidak dilayan.
"Sejak beberapa tahun yang lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan tidak sedia mengadakan perbincangan dengan parti kami walaupun telah menghubungi mereka beberapa kali.
"Saya pun sudah membangkitkan perkara ini ketika sesi soal jawab dalam parlimen, tetapi jawapan yang diterima adalah masih dalam siasatan," kata Siew Fook ketika memberitahu Oriental Daily.
Siew Fook berkata demikian sebagai mengulas masalah kemungkinan pendaftaran DAP akan digantung berikutan pemilihan semula parti itu yang diadakan pada 29 September 2013.
Pada 3 April 2014, jabatan berkenaan menerima surat daripada DAP yang memohon semakan kehakiman ke atas tindakan yang diambil. Bagaimana pun DAP menarik balik saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beberapa bulan kemudian.
Pemilihan semula DAP diadakan selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan memaklumkan untuk membatalkan pendaftaran parti itu ekoran berlaku kesilapan dalam pengiraan undi pada pemilihan parti yang diadakan pada Disember 2012.
Siew Fook memberitahu, DAP akan mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan parti lain, iaitu PKR, Amanah dan Bersatu sekiranya pendaftaran DAP digantung.
"Kami akan bincang dengan parti-parti lain dalam Pakatan Harapan. Kami hanya akan membuat keputusan muktamad sekiranya DAP benar-benar digantung.
"Kemungkinan akan pinjam lambang parti lain sekiranya perlu. Kami ada beberapa rakan parti yang sedia meminjam lambang parti mereka untuk digunakan dalam PRU," katanya.