SHAH ALAM: PAS mendakwa pelantikan Datuk Husam Musa sebagai Menteri
Besar Kelantan jika Pakatan Harapan (PH) menang di Kelantan nanti
sebagai 'lesen' untuk memansuhkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II.
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki percaya pemimpin
veteran DAP, Lim Kit Siang sengaja mengusulkan cadangan itu sebagai
salah satu strategi politik yang membabitkan dua parti berkenaan.
"Saya menjangkakan, sekiranya Amanah menang dan Husam berjaya menjadi
Menteri Besar Kelantan langkah awal yang diambil ialah memansuhkan
Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang terkandung hukum hudud.
Boleh jadi ini antara syarat Kit Siang dan DAP (untuk) bersetuju Husam
menjadi Menteri Besar Kelantan," katanya kepada Antarapos, hari ini.
Semalam Husam dalam sidang medianya berkata beliau menerima dengan hati
terbuka cadangan Kit Siang yang menyokongnya sebagai Menteri Besar
Kelantan jika PH menang di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.
Naib Presiden Amanah itu menyifatkan penerimaannya terhadap cadangan
berkenaan adalah atas dasar strategi, namun ia perlulah mendapat
persetujuan kesemuan komponen PH.
Husam kemudiannya membidas PAS yang mengkritik cadangan Kit Siang itu,
dengan mendakwa parti berkenaan seolah-olah tahu akan kalah dalam PRU14.
Mengulas lanjut, Zuhdi percaya cadangan Kit Siang dan penerimaan Husam
itu sebagai usaha menghapuskan agenda Islam yang dilaksanakan di
Kelantan selama di bawah pentadbiran PAS.
"Ya itu adalah kemungkinan yang kuat. Kit Siang dan DAP mahu menghalang
agenda-agenda pelaksanaan Islam di Kelantan yang dipelopori PAS sejak
tahun 1990. Untuk mencapai matlamat tersebut mereka mesti menumbangkan
PAS dengan menaikkan Amanah dan Husan sebagai kerajaan Kelantan yang
akan tunduk kepada kehendak DAP dan PH.
"Sekiranya jangkaan ini berlaku saya lihat akan berlaku banyak U-turn
kepada dasar-dasar Islam yang telah diperkenalkan PAS sebelum ini. DAP
adalah antara yang kuat menentang ketika dasar-dasar itu diperkenalkan
dahulu," tegasnya.
Dalam sidang media itu juga, Husam mempertahankan Amanah dengan
menyifatkan parti itu merupakan 'anak kandung' PAS, dan bukannya DAP
sebagaimana yang dituduh selama ini.
ADUN Salor itu berpandangan penolakan PAS terhadap Amanah selama ini
ekoran melihat parti serpihan itu sebagai saingan hebatnya, terutama di
Kelantan.
Zuhdi secara sinisnya mengulas dakwaan tersebut.
"Kalau Amanah tidak tahu malu, mengaku mereka 'anak kandung' PAS,
bermakna sekarang mereka adalah 'Si Tanggang Moden'," ujarnya.
Amanah, parti serpihan PAS yang kini bernaung di bawah Pakatan Harapan
(PH) bersama PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pernah
berikrar untuk menakluk Kelantan pada PRU akan datang.
Keyakinan tersebut turut pernah disuarakan Timbalan Presidennya,
Salahuddin Ayub yang dilaporkan berkata, partinya sedia menentang PAS di
setiap kerusi yang bakal dipertandingkan menjelang PRU kelak.
PAS kini menguasai 31 kerusi daripada 45 kerusi DUN di negeri berkenaan.
-sh-