Sidang Dewan Negeri Selangor telah berakhir minggu lepas dan wartawan 1Media.my, Afwan Khalili sempat menemuramah Dr Abdul Rani Osman, ADUN Meru. Beliau telah menjadi ADUN sejak 2008 dan pernah menjadi Ketua Whip PAS.
1.) Kenapa Sidang Dewan Negeri Selangor yang baru lalu begitu singkat?
Sidang Dewan kali ini telah dijadualkan untuk 10 hari tetapi oleh kerana tidak ada banyak agenda maka ia telah berakhir dalam masa satu hari setengah. Hanya terdapat 3 usul kali ini. Ini perkara biasa bagi Sidang Dewan pertengahan tahun. Ia berbeza dari Sidang Pembukaan Dewan pada awal tahun atau Sidang Belanjawan pada akhir tahun.
Pada zaman Menteri Besar sebelum ini terdapat Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tambahan pada sidang pertengahan tahun bagi mendapatkan peruntukan tambahan. Tetapi di bawah Menteri Besar sekarang segala perbelanjaan kerajaan telah diambilkira pada Belanjawan tahunan maka tidak perlu lagi memohon peruntukan tambahan di pertengahan tahun.
2.) Pada sidang yang lalu tidak banyak peluang bagi Exco-Exco untuk menerangkan tentang potfolio-potfolio mereka maka patutkah masa untuk soalan-soalan mulut ditambah jika sidang dijangka tamat awal?
Ini adalah cadangan yang boleh dibincangkan. Peraturan sekarang menetapkan masa untuk soalan-soalan adalah 90 minit setiap hari bermula dari Dewan bermula di sebelah pagi. Mungkin ia boleh dilanjutkan kepada 120 minit sekiranya Dewan dijangka akan tamat awal. Tetapi ini memerlukan pindaan kepada peraturan.
Exco-Exco berpeluang menerangkan tentang potfolio-potfolio mereka di luar Dewan kepada media atau masyarakat. Tetapi penerangan dan penjelasan di dalam Dewan direkod dan disimpan untuk rujukan di masa akan datang.
3.) Sekarang Dewan bersidang 3 kali setahun, patutkah bilangan ini ditambah untuk memberi peluang kepada konsultansi yang lebih di antara kerajaan dan ADUN-ADUN?
Parlimen bersidang lebih lama dari Dewan Negeri tetapi Parlimen melibatkan banyak kementerian. Walhal di peringkat negeri kita hanya ada 10 Exco. Persidangan Dewan Negeri 3 kali dalam setahun adalah memadai.
Konsultansi di antara kerajaan dan ADUN-ADUN boleh berlaku pada pelbagai peringkat. Menteri Besar dan Exco-Exco sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan ADUN-ADUN.
4.) Bagaimanakah prestasi ADUN PAS pada sidang yang lepas? Adakah YB berpuas dgn prestasi mereka sebab ada yang berkata ADUN DAP lebih ke hadapan dalam perbahasan?
Sidang baru-baru ini adalah terlalu singkat tetapi ADUN-ADUN PAS sentiasa memainkan peranan yang berkesan di dalam Dewan.
Mereka bukan sahaja membawa isu-isu yang melibatkan kawasan DUN mereka tetapi tentang negeri Selangor secara keseluruhannya.
Mereka juga bukan sahaja membawa isu-isu yang melibatkan orang Melayu dan orang Islam tetapi isu-isu yang melibatkan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama. Sesuai dengan Islam sebagai rahmat kepada sekelian alam.
Masalahnya akhbar berbahasa Melayu kurang memberi liputan kepada ADUN-ADUN PAS kecuali Harakah.
Akhbar berbahasa Cina ada memberi liputan kepada ADUN-ADUN PAS tetapi ia tidak dibaca oleh ramai orang Melayu.
5.) Bagaimana pula dengan prestasi Exco-Exco PAS ketika menjawab soalan-soalan?
Exco-Exco PAS menguasai potfolio-potfolio mereka dan dapat menjawab soalan-soalan yang ditujukan kepada mereka dengan baik.
Tetapi kehebatan mereka bukan ketika menjawab soalan-soalan tambahan tetapi apabila menjawab soalan-soalan tambahan.
Jawapan kepada soalan pokok disediakan oleh pegawai tetapi untuk soalan tambahan Exco perlu menjawab secara spontan. Dalam hal ini Exco kita memang cemerlang.
6.) Mana yang lebih penting bagi seorang YB, prestasi dalam Sidang Dewan atau khidmat kepada pengundi di kawasan?
Kedua-dua tugas tersebut adalah penting. Perlu ada keseimbangan. Rakyat kita masih memerlukan perhatian seorang wakil rakyat. Terlalu banyak masalah di peringkat akar umbi yang perlu diselesaikan.
Tetapi seorang YB bukan semata-mata seorang pegawai kebajikan atau "welfare officer". Di negara-negara Barat, seorang wakil rakyat juga dikenali sebagai "lawmaker" atau penggubal undang-undang.
ADUN-ADUN PAS hari ini telah dapat berperanan dengan baik. Walaupun terdapat kesan terhadap sokongan PAS di kalangan masyarakat Cina namun kehadiran ADUN-ADUN PAS terus menerima sambutan dari masyarakat tersebut. (1Media.my)