Oleh Afwan Khalili
PAS memandang serius bilangan pekerja asing yang tinggi di Malaysia seperti yang didedahkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Pengerusi Lajnah (Biro) Pekerja PAS Pusat, Prof Dr Zainal Kidam berkata, bilangan yang tinggi ini menunjukkan negara terlalu bergantung kepada pekerja asing dan negara akan terjejas jika terdapat mana-mana negara yang tiba-tiba memanggil balik warga negara mereka.
Menurut beliau lagi, situasi sekarang menunjukkan bukan sahaja kegiatan ekonomi negara akan terjejas malah aktiviti harian rakyat akan tergendala tanpa pekerja asing.
"Bagi sebuah negara, ini amat membimbangkan kerana kita tidak lagi dapat mengawal urusan dalam negara kita sendiri sebab boleh diugut oleh negara asing", kata Prof Zainal yang juga merupakan AJK Kerja PAS Pusat.
Menurut jawapan KDN kepada soalan di Parlimen berikut adalah 10 negara dengan bilangan warganegara paling ramai di Malaysia,
1.) Indonesia - 728,870
2.) Nepal - 405,898
3.) Bangladesh - 221,089
4.) Myanmar - 127,705
5.) India - 114,455
6.) Pakistan - 59,281
7.) Filipina -56,153
8.) Vietnam - 29,039
9.) China - 15,399
10.) Thailand - 12,603
Terdapat 1.78.juta pekerja asing di dalam rekod KDN. Bilangan ini adalah lebih dari 12 peratus jumlah tenaga kerja yang dianggarkan oleh Kementerian Sumber Manusia sebanyak 14.2 juta.
Prof Zainal mahu Kerajaan Persekutuan membuat perancangan jangkapanjang dan jangkapendek agar bilangan pekerja asing ini dapat dikurangkan.
Katanya lagi bukan tidak ada pekerja tempatan tetapi terdapat majikan yang bersikap rakus yang hanya mementingkan keuntungan sehingga mengenepikan pekerja tempatan.
Tambah beliau, tidak masuk akal tiada rakyat tempatan yang mahu menjadi pelayan restoran atau pengawal keselamatan tetapi 2 sektor tersebut kelihatan dibolot oleh pekerja asing. (1Media.my)