NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wajarkah bayar tol untuk terperangkap dalam kesesakan?



Lumrahnya pengguna membayar untuk menikmati faedah dari bayaran yang dikeluarkan. Tapi di negara kita, rakyat bayar tol di lebuhraya untuk terperangkap dalam kesesakan. Bukan sebarangan kesesakan dimusim perayaan sebegini. Ada ketikanya bukan setakat kenderaan hanya mampu merayap, malah sesaknya sehingga pengguna lebuhraya boleh berhenti, tarik handbrake dan matikan enjin kalau nak jimat minyak. 

Dengan segala kesukaran yang dilalui ketika terperangkap dalam kesesakan, rakyat akan dipaksa bersesak sekali lagi malah berkali-kali ketika nak membayar tol yang tak dikurangkan bayarannya walau 1 sen sekalipun lebuhraya sesak gila!

Sesak dalam perjalanan sampai lenguh serta sakit-sakit habis segala anggota badan dan akhirnya isi dompet wajib dikeluarkan bila tiba di Plaza Tol. 

Sebahagian Plaza Tol seperti Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol  Gombak tidak lagi menerima bayaran tunai. Tak ada kad TnG, boleh tambah nilai dalam Kad Pengenalan! Begitulah rakyat ‘dipermudahkan’ dalam urusan nak bagi duit kepada pemegang konsensi lebuhraya. Tapi paling minima nak tambah nilai dalam kad Pengenalan, saya pernah kena bayar RM10! Tak tahulah kalau sekarang dah boleh tambah dengan nilai kurang dari jumlah RM10. Walaupun keperluan yang pengguna nak bayar jumlahnya tak sampai RM10, tetap RM10 juga kena bayar! Ini dinamakan berniaga ambil duit orang dulu.

Ditakdirkan pula berlaku kemalangan, pengguna lebuhraya akan mengalami kesesakan yang biasa saja melebihi 5 km. Kadang-kadang boleh sampai berbelas kilometer. Ia gambaran bagaimana lemahnya sistem penyuraian trafik di lebuhraya kita ketika berhadapan dengan insiden kecemasan. Tapi perlu diingat, sesaklah berapa puluh kilometer sekalipun, bayaran tol anda tetap tiada diskaun walaupun 1 sen. Jangan nak buat muka sedih minta diskaun. Anda tak akan dilayan.

Fenomena yang lebih tragis bagi pengguna yang melalui 184 km perjalanan melalui LPT2. Walau dengan kadar tol yang perlu dibayar setaraf dengan kadar tol PLUS, kualiti jalan dan kemudahan di hentian di LPT2 sama sekali tak sepadan. 

Sehingga sekarang masih belum kelihatan lagi sebarang tanda sebuah stesen minyak akan dibina di LPT2. Melalui jarak 184 km, hanya stesen minyak mini di Hentian Kijal boleh menjadi penyelamat sekiranya anda kehabisan minyak. Penunggang motor kapcai wajib bawa botol untuk isi minyak spare kalau tak nak kekeringan minyak dalam perjalanan. Biasa kita bawa minyak spare dalam botol kalau nak pergi jalan off road melalui kawasan yang tak ada manusia tinggal. 

Sesak, permukaan lebuhraya tinggi rendah serta beralun, stesen minyak tak ada, kemudahan dan perkhidmatan di hentian sangat menyedihkan tetapi jangan buat muka tak malu nak minta diskaun ketika tiba di Plaza Tol. Anda tak akan dilayan!

Sekalipun melalui semua kesukaran ini, demi keluarga dan kampung halaman tercinta, perantau tetap akan balik. Kita bayar tol, kita sesak dan kita juga yang sakit badan tetapi pihak konsensi lebuhraya tersenyum lebar. Rakyat tak ada pilihan lain. Sesaknya pengguna yang berbaris panjang di Plaza Tol adalah yang rezeki melimpah bagi mereka. Inilah kita...

Dr Azman Ibrahim
29 Jun 2017
© all rights reserved
made with by templateszoo