NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selangor akan batalkan keistimewaan PR1MA dan PPA1M jika Pusat enggan ubah sikap


Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dalam isu-isu perumahan tetapi Kerajaan Pusat mengambil sikap berkonfrontasi di dalam isu-isu seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Permai, Lembah Subang.Sentimen politik perlu diketepikan di dalam isu-isu yang melibatkan kebajikan rakyat seperti perumahan.  - YB Iskandar A. Samad

Kerajaan Negeri Selangor akan membatalkan keistimewaan yang diberikan kepada Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) jika Kerajaan Pusat terus mengambil sikap berkonfrontasi dengan Kerajaan Negeri di dalam isu-isu perumahan.

Perkara ini diberitahu oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Negeri Selangor, Dato' Iskandar A. Samad di dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini Kerajaan Negeri telah memberikan PR1MA dan PPA1M keistimewaan yang sama seperti Rumah Selangorku iaitu peningkatan kepadatan sehingga 120 kediaman seekar. Kepadatan pembangunan biasa adalah di antara 60 hingga 70 kediaman seekar.

Menurut Iskandar lagi, Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dalam isu-isu perumahan tetapi Kerajaan Pusat mengambil sikap berkonfrontasi di dalam isu-isu seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Permai, Lembah Subang.

Katanya lagi sentimen politik perlu diketepikan di dalam isu-isu yang melibatkan kebajikan rakyat seperti perumahan. Tetapi Kerajaan Pusat terutamanya Menteri yang terlibat dilihat lebih suka bermain politik.

Untuk PPR tersebut, Kerajaan Pusat bertegas untuk mengambil alih pembangunan itu dan enggan melayan tuntutan kos Kerajaan Negeri membaikpulih dan menyelenggara yang telah dibelanjakan.

Iskandar berkata beliau akan membentangkan pembatalan ini pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang akan datang dan sehingga keputusan dibuat semua permohonan untuk peningkatan kepadatan daripada PR1MA dan PPA1M akan dibekukan.
© all rights reserved
made with by templateszoo