NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PCM desak lucut kewarganegaraan Tiong Choon



KUALA LUMPUR 17 Jun – Parti Cinta Malaysia (PCM) mendesak kerajaan melucutkan taraf kewarganegaraan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr. Ting Tiong Choon berikutan tindakannya yang melanggar undang-undang dan Perlembagaan negara.

Timbalan Presiden PCM, Datuk Huan Cheng Guan berkata, pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuching hari ini yang memutuskan Tiong Choon kekal sebagai ADUN Pujut, namun berpandangan ia tidak mengubah sebarang fakta bahawa pemimpin politik itu pernah menjadi warganegara Australia sehingga tahun lalu.

“Apabila Tiong Choon memohon dan menjadi warganegara Australia, secara automatik kewarganegaraan asal beliau akan gugur. Ini jelas terkandung dalam Perlembagaan negara ini yang menyatakan mana-mana rakyat Malaysia akan terbatal kewarganegaraannya jika pernah memohon dan menjadi warganegara negara lain.

“Oleh itu, PCM mendesak kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri bertindak melucutkan taraf kewarganegaraan Tiong Choon,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuching hari ini memutuskan Tiong Choon daripada DAP kekal sebagai ADUN Pujut.

Hakim Datuk Douglas Christo Primus Sikayun berkata, tindakan membatalkan kelayakan beliau adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan keadilan hak asasi.

Jelas Cheng Guan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak juga boleh memohon supaya jawatan ADUN Tiong Choon dilucutkan berikutan beliau dan DAP didakwa telah menipu pengundi Pujut pada Pilihan Raya Negeri walaupun dari segi perlembagaan hak kewarganegaraannya secara automatik telah lucut ketika menjadi warganegara Australia.

“Justeru, PCM turut mendesak kerajaan supaya tegas dan serius dalam perkara ini. Taraf kerakyatan Malaysia tidak seharusnya dijadikan sebagai mainan kerana tindakan tidak bertanggungjawab DAP ini membuktikan mereka langsung tidak menghormati undang-undang dan perlembagaan negara kita.

“Malah, timbul persoalan, berapa ramai lagi pemimpin DAP yang mempunyai kerakyatan negara lain selain Malaysia?” katanya.

Sumber: http://m.utusan.com.my/berita/politik/pcm-desak-lucut-kewarganegaraan-tiong-choon-1.494387

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo