Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
KUALA LUMPUR: Taufan Mora yang membadai Bangladesh dilaporkan telah meragut sekurang-kurangnya lima nyawa dan menyebabkan lebih 300,000 penduduk dipindahkan, termasuk memusnahkan dua kem utama pelarian Rohingya di Balukhali dan Kupalong.
Sehubungan itu, Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) telah membuat pengisytiharan khas pelancaran Dana Kecemasan Pelarian Rohingya bagi memberi bantuan segera kepada lebih 20,000 pelarian yang terjejas teruk akibat bencana itu.
Pengarah PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pasukan awal PASRelief telahpun diaktifkan untuk segera menyalurkan bantuan kepada para pelarian di kem tersebut.
Menurutnya, para pelarian yang sedang menjalani ibadah Ramadan dalam keadaan serba kekurangan itu semakin gawat setelah tempat berteduh mereka musnah dilanda taufan dan memerlukan keprihatinan segera umat di seluruh dunia.
“Kita merayu seluruh rakyat Malaysia segera menghulurkan simpati dengan memberikan sumbangan untuk PASRelief menjayakan Misi Bantuan Kecemasan ini. Pasukan besar PASRelief akan memberikan sumbangan terkumpul pada 15 Jun ini.
“Inilah masanya juga umat Islam memanfaatkan peluang Ramadan bagi menggandakan ganjaran daripada Allah S.W.T dengan membantu saudara seagama kaum Rohingya yang tersepit oleh kekejaman junta tentera dan pelampau agama dan kini terpukul oleh ribut,” serunya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, menjelang 15 Jun itu PASRelief mensasarkan kutipan sekurang-kurangnya RM50,000 dan berharap ianya dapat dicapai serta berterusan sehingga keperluan asas para pelarian di kem-kem terjejas dapat dipulihkan.
Orang ramai yang berhasrat menyumbang boleh menyalurkan ke Tabung Kemanusiaan Antarabangsa PAS Pusat (Maybank 5640 7061 1352) dan boleh mendapatkan keterangan lanjut dari beliau di talian 012-596 9220 atau Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi (019-984 3277), Ustazah Nuridah Mohd Salleh (013-920 5012), Mohd Adram Musa (013-384 5555) atau Ustaz Norazli Musa (019-571 0933).