“Kita akan panggil Mufti Wilayah sebab dalam Islam jika ada apa-apa perkara, perlu tabayyun (mencari kebenaran). Kena tanya pada empunya diri sendiri.Jika kita hendak buat kesimpulan, ia mestilah setelah berlaku pertemuan ini,” - Datuk Seri Mohd Tamyes Abd Wahid
PETALING JAYA: Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abd Wahid mengakui hadir sebuah pembentangan oleh seorang pendakwah bebas yang menuduh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad sebagai menyeleweng dan berfahaman Wahabi.
Tamyes bagaimanapun berkata tidak ada sebarang keputusan diambil setakat ini selepas pembentangan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin, kepada Majlis Agama Islam Selangor, semalam.
“Bukan semudah itu untuk mengambil tindakan. Pembentangan dibuat Zamihan adalah daripada hasil dapatan dia. Kita hanya dengar dan jawatankuasa masih belum buat keputusan,” katanya kepada FMT.
“Kita akan panggil Mufti Wilayah sebab dalam Islam jika ada apa-apa perkara, perlu tabayyun (mencari kebenaran). Kena tanya pada empunya diri sendiri.
“Jika kita hendak buat kesimpulan, ia mestilah setelah berlaku pertemuan ini,” katanya.
Tamyes bagaimanapun menafikan dakwaan yang Selangor akan melarang Zulkifli daripada menyampaikan ceramah di negeri itu.
Berita yang dipetik dari Free Malaysia Today FMT
Menurutnya, dakwaan itu adalah fitnah, dan sebarang keputusan perlu mendapat perkenan Sultan Selangor.