NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Krisis Negara Teluk Perlu Diselesaikan Segera


1. Persatuan Ulama Malaysia (PUM) merasa dukacita terhadap krisis yang sedang berlaku di rantau Teluk Arab, yang mana beberapa negara Teluk termasuk Mesir dan Maldives telah memutuskan hubungan diplomatik dan mengenakan sekatan udara, laut dan darat terhadap Qatar. 

2. Dalam perkembangan semasa yang berlaku, PUM turut terkejut dengan penyenaraian seorang tokoh ulama terkemuka iaitu Prof Dr Yusuf al-Qaradawi dalam senarai pengganas. 

3. Penyenaraian ini seperti mengikut tindakan Mesir yang pernah menyenaraikan al-Qaradawi dalam senarai pengganas pada tahun 2014 dan meminta bantuan Interpol untuk menahannya.

4. Begitu juga dengan penyenaraian pertubuhan-pertubuhan yang banyak memberikan bantuan kepada pembangunan umat Islam di seluruh dunia, sebagai sesuatu yang di luar jangkaan dan tidak menguntungkan umat Islam.

5. Sehubungan dengan itu, PUM merasakan adalah keterlaluan untuk menyenaraikan al-Qaradawi sebagai pengganas. Sementelahan umum mengetahui sumbangan beliau yang cukup banyak dalam mengarang pelbagai kitab yang menjadi rujukan umat. Beliau juga seorang tokoh yang sentiasa mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dengan pelbagai anugerah, termasuklah anugerah Tokoh Maal Hijrah. 

6. Oleh yang demikian, PUM meminta supaya semua pihak agar dapat menjaga tokoh ulama ini dan tidak mengambil tindakan menyamakan beliau dengan pengganas yang bertindak di luar daripada batasan agama.

7. PUM sentiasa bersikap konsisten dan jelas dalam menyokong sebarang bentuk tindakan untuk menangani keganasan yang mengancam keselamatan, seperti IS (Daesh), dan lain-lain. PUM juga turut sama mengutuk serangan di Manchester dan London, dan di beberapa negara lain. 

8. Kita melihat bahawa berdasarkan trek rekod sebelum ini bahawa al-Qaradawi bukan pengganas dan dalam masa yang sama beliau konsisten menentang Zionisme. Menentang zionisme ini bukan suatu dosa, bahkan ianya adalah untuk menuntut hak terhadap masyarakat Palestin yang tertindas. 

9. Di dalam salah sebuah kitabnya yang bertajuk: al-Quds fi al-Wa’yi al-Islami, beliau menjelaskan bahawa kita tidak menentang zionis Israel disebabkan ianya Yahudi, tetapi kita menentang zionis Israel kerana ia telah merampas tanah Palestin untuk mewujudkan sebuah negara untuk Yahudi di atas tanah Palestin. 

10. Tambahan pula, pada tahun ini Palestin menyambut 50 Tahun Naksah, iaitu penjajahan Yahudi terhadap Jerusalem Timur (Baitul Maqdis) pada tahun 1967. Begitu juga, tahun ini merupakan genap 100 Tahun kesengsaraan penjajahan ke atas Palestin yang didasari sokongan kuasa besar dunia melalui dokumen penting Deklarasi Balfour 1917 yang memberikan izin untuk Yahudi menubuhkan negara di Palestin.

11. PUM turut ingin menegaskan bahawa kelompok yang tidak bersetuju dengan zionis iaitu Hamas dan Ikhwanul Muslimin bukanlah pendokong keganasan, sebaliknya mereka merupakan kumpulan pro-demokrasi. Kemenangan Hamas di Gaza dalam pilihanraya 2006 adalah melalui demokrasi. Begitu juga kemenangan Ikhwanul Muslimin di Mesir pada tahun 2012 adalah juga melalui proses demokrasi. Namun, kemenangan mereka ini dinafikan barangkali disebabkan pendirian mereka yang membela rakyat Palestin dan tidak menyokong Israel. 

12. Adalah tidak wajar untuk menyekat sebarang bentuk sokongan kepada mana-mana kumpulan Islam yang ingin mempertahankan hak dan bergerak dalam kerangka demokrasi hanya semata-mata tunduk kepada kehendak kuasa besar dunia. 

13. Justeru, bagi menyelesaikan krisis terkini negara Teluk ini, PUM menggesa supaya ianya ditangani secara diplomasi dengan semua pihak yang terlibat. Beberapa pendekatan boleh digunakan, seperti:

a. Para pemimpin negara Islam perlu berganding bahu dengan para ulama’ dari seluruh dunia untuk bertindak tanpa mengira latar belakang bagi meredakan keadaan dan menyelesaikan konflik ini.

b. Rundingan di antara negara-negara yang terlibat mesti dipercepatkan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik. Penyelesaian secara diplomasi dan rundingan adalah lebih baik agar sebarang bentuk tindakan ketenteraan atau seumpama dengannya dapat dielakkan. 

c. Diperingkat negara Islam, pertubuhan OIC tidak boleh berdiam diri, mereka mesti berperanan dan seharusnya tidak menunjukkan berpihak kepada mana-mana negara yang terlibat dalam menyelesaikan rundingan ini. 

14. Marilah kita bermunajat di dalam bulan Ramadan yang mulia ini supaya krisis ini akan segera tamat dan umat Islam kembali bersatu dalam menentang musuh sebenar. 


Sekian, terima kasih.


Dato’ al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir
Yang Dipertua
Persatuan Ulama' Malaysia
© all rights reserved
made with by templateszoo