Hari ni ramai yang mari klinik minta MC. Katanya sakit muntah dan cirit setelah masuk hari kedua puasa. Berlarutan sampai hari ini.
"Doktor kena beri cuti pada saya, jika tidak lagu mana saya nak gi kerja? Terpaksa bertuala sepanjang masa". Gesa seorang pesakit separuh umur. Nampak kerut muka tu memang sah dia cirit.
"Saya terpaksa ambil MC juga doktor. Walaupun tak cirit-birit, tapi anak saya loya muntah dan berak cair sejak kelmarin lagi. Naik pusing dah kepala ni berjaga malam". Rungut seorang ibu muda yang bawa anaknya untuk berubat kerana muntah berak.
Biasanya kami beri MC kepada yang berindikasi tinggi jika mereka pergi kerja akan menyusahkan kehidupan. Cirit-birit ni tidak dapat disahkan oleh mana² ujikaji darah pun. Ianya hanya melalui penceritaan pesakit dan kaum kerabat yang boleh dipercayai. Jika peringkat teruk baru doktor boleh perhatikan nadi, tekanan darah dan lendur kulit, mengesahkan bahawa pesakit dalam kekeringan. Selain dari itu hanya kepercayaan jalan cerita, lalu doktor memberi rawatan dan keluarkan surat cuti.
Kami sudah mengagak kejadian cirit birit ini berlaku setiap kali musim perayaan. Puncanya adalah keracunan makanan.
Apa maksud keracunan makanan?
Ia bukan bermakna pesakit memakan racun, tetapi makanan yang diambil oleh pesakit itu boleh mendatangkan mudarat kepada tubuh. Samada ianya baharu dihidangkan atau sudah disediakan sejak sehari berlalu. Namun majoriti keracunan ini berlaku akibat
Lima (5) punca utama keracunan makanan
1) Mengambil makanan yang sudah lama disediakan. Makanan tersebut sudah hampir basi atau basi tanpa disedari oleh kita.
2) Memakan makanan dalam bentuk pelbagai. Interaksi sesama bentuk resepi di dalam perut kita menyebabkan cirit birit akan berlaku. Contohnya mengambil kueh raya, minum kopi atau air bergas dan tapai. Interaksi makanan ini boleh menyebabkan perut bergelora. Tapai mempunyai sedikit alkohol didalamnya. Ia bukan arak, tetapi hasil penapaian beras dengan ragi menyebabkan terbentuknya alkohol yang manis itu.
3) Interaksi ubat-ubatan dengan juadah raya juga boleh berlaku. Oleh yang demikian, sila perhatikan masa yang tepat ubat-ubatan anda perlu diambil. Jika arahan menyebut makan semasa perut kosong, makan wajib diambil semasa perut yang belum berisi dengan juadah raya. Kerana interaksi negatif antara ubat dan makanan akan menyebabkan penyerapan ubat terganggu. Jika timbul cirit-birit, lagi menyusahkan diri kita.
4) Meminun air yang tidak dimasak. Tahap suhu apabila anda ingin memasak air adalah paling minima 85 ⁰C. Dipanaskan selama 3 minit. Biasanya dapur gas di rumah kita, tahap mengelegak itu suhu rebusan sudah mencapai 100 ⁰C. Minima 60 saat ketika mengelegak sudah memadai. Tetapi lebih lama lebih baik agar semua bakteria dan virus akan mati. Air tidak dimasak ini dikatakan "racun" apabila mengandungi kuman berbahaya. Dahulu kala wabak taun (kuman kolera) boleh merebak. Tetapi sekarang sudah jarang didengari. Ini kerana sistem kumbahan, kebersihan dan kawalan punca sudah dijaga dengan baik. Namun, ia boleh segera muncul jika kita tidak berhati-hati. Kuman-kuman lain seperti pencemaran e-coli juga boleh menyebabkan kehidupan kita tidak keruan akibat cirit birit. Justeru, minumlah air yang dimasak. Bagaimana pula dengan ais? Ia juga boleh menjadi punca jika sumber pengilang ais tidak menjaga kebersihan dan menggunakan air yang tidak dijamin mutunya. Syarikat pengilang ais wajib mematuhi syarat-syarat yang dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan.
5) Penggunaan pinggan mangkuk, gelas yang tidak bersih. Biasanya boleh berlaku dalam keadaan sibuk, lupa untuk membersihkan segera pinggan mangkuk setelah digunakan. Kemudian kita membasuh semula dalam keadaan cincai. Makanan basi tidak terhapus seluruhnya. Kuman pun banyak yang melekat di pinggan. Basuh menggunakan sabun sudah memadai, tetapi perlu dilakukan dengan teliti, jangan tergesa-gesa. Kepada ibubapa yang ada anak kecil, basuh botol susu anak anda dengan cara yang betul. Sental baki susu yang ada didalam botol. Kemudian rendam dengan air panas. Tidak perlu direbus botol susu itu.
Apakah rawatan untuk cirit-birit ini?
Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diambil jika anda mengalami cirit-birit:
1) Sila dapatkan pemeriksaan dan rawatan segera di klinik, samada klinik kerajaan atau swasta. Doktor akan menilai sejauh mana keterukan cirit-birit anda melalui pemeriksaan tanda-tanda vital seperti tekanan darah, suhu dan sebagainya.
2) Ambil ubat yang dibekalkan (jika anda tidak dimasukkan ke hospital). Doktor akan membekalkan garam gantian bagi menggantikan semula air serta garam galian setelah cirit-birit.
3) Banyakkan minum air, walaupun anda selalu muntah berak. Setidak-tidaknya sebahagian kecil dapat diganti dengan meminum air tadi.
4) Elakkan memakan makanan yang sudah basi atau tidak diketahui status bila dimasak. Tuan rumah rasanya tidak berkecil hati jika anda tidak makan. Buatlah alasan perut anda sudah penuh. Memang pun, sebelum tengahari perut sudah sendat dengan makanan. Kita makan juga kerana nafsu sahaja.
5) Elakkan memakan juadah berlemak, bergas, berkafein dan pedas. Elakkan juga percampuran makanan seperti yang saya sebut di atas tadi.
6) Jaga dengan teliti kebersihan penyediaan makanan, pinggan mangkuk dan air.
7) Rehat secukupnya. Banyakkan doa, jangan hiraukan kepada segelintir manusia yang anti-anti-doa.
Cirit-birit ini biasanya akan hilang dalam tempoh 24 jam sahaja, jika berlarutan, sila kembali semula ke klinik. Kemungkinan besar anda akan dimasukkan ke wad hospital bagi rawatan lanjut.
Sekian, semoga bermanfaat.
.
Dr Suhazeli Abdullah
29.6.2017
Ketengah Jaya