NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DAP Sudah Angkat Bendera Putih?



(PENGAKUAN TERBUKA LIEW CHIN TONG: SANGAT SUKAR UNTUK PAKATAN HARAPAN MENANG PRU 14)

(KOMENTAR BERITA HARIAN, JUMAAT, 23 JUN 2017)

Menarik sekali bila di saat menyambut hari raya ini berkesempatan membaca wawancara empat pemimpin tinggi Pakatan Harapan (PH) di dalam laporan akhbar mingguan The Edge Malaysia keluaran 19-25 Jun bertajuk “Run-Up to GE 14” (“Menjelang PRU 14). 

Pemimpin tinggi PH ini ialah Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, Naib Presiden merangkap Pengarah Pilihan Raya PKR, Nurul Izzah Anwar, dan Pengarah Strategi AMANAH, Dr Dzulkefly Ahmad, dan Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan merangkap Pengerusi DAP Johor yang diperkenalkan sebagai “Strategis DAP”, Liew Chin Tong.

Paling menarik adalah membaca pengakuan terbuka Chin Tong mengenai kelemahan PH. “Kita tidak kuat” (“we are not strong”), kata beliau, “sebahagiannya kerana persoalan kepimpinan kita sendiri” (partly because of our own leadership question”, termasuk “siapa akan jadi PM?” [“who will be PM?”]. 

Chin Tong juga mengaku bahawa PH hanya sekadar tahu menyerang tetapi mempunyai masalah di dalam menawarkan dasar-dasar mereka sendiri. Kata beliau, “offer(ing) policies is where we are lacking”.

Turut diakui adalah bahawa tahap sokongan pengundi bukan Melayu, khususnya pengundi Cina, terhadap PH sekarang menurun pada tahap 65% berbanding 85% di dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) kerana faktor “kepenatan” (“fatigue”).

Sebab itulah, bagi Chin Tong, PRU 14 “sangat sukar untuk PH menangi” (“will be very difficult [for us to win]”) kerana ia hanya akan berlaku bila para pengundi Melayu yang biasanya mengundi untuk UMNO mengundi untuk lain-lain parti (“when Malay voters who usually vote for UMNO vote for other parties”) dan ini perlu berlaku secara menyeluruh (“it has to be a groundswell”).  

Kata Chin Tong lagi, PH terpaksa berdepan dengan dua isu kepercayaan utama: sama ada Anwar dan Mahathir serta orang-orang mereka boleh mempercayai sepenuhnya satu sama lain dan membina satu kerjasama yang asli (“We have to deal with two major trust issues: whether eventually Anwar and Mahathir and their people can fully trust each other and build a genuine collaboration”).

Berbeza dengan nada optimis sesetengah pemimpin PH yang lain, Chin Tong kelihatan agak pesimis dengan mengutarakan perasaan ragu-ragu beliau pada akhir wawancara ini. Ujar beliau, “sama ada kita boleh mencipta satu keajaiban, saya tidak pasti” (“whether we can create a miracle, I’m not sure”).

Saya melihat luahan Chin Tong di dalam wawancara ini sebagai luahan realistik seorang strategis DAP di dalam persekitaran keintelektualan yang tentu saja sangat jauh berbeza dari laungan retorik dan bombastik pemimpin PH lain, malah beliau sendiri juga pada ketika berbeza, selaku ahli-ahli politik di dalam persekitaran partisan.

Malah, jika dilihat kepada kenyataan-kenyataan Dr Mahathir, Nurul Izzah dan Dr Dzulkefly di dalam wawancara sama pun jelas terpancar kebenaran apa yang Chin Tong katakan ini.

Pengakuan Chin Tong bahawa PH mempunyai masalah di dalam menawarkan dasar-dasar mereka sendiri, selain terbukti di dalam kegagalan PH mengemukakan dokumen dasar-dasar bersama mereka, turut terlihat di dalam kenyataan-kenyataan Dr Mahathir, Nurul Izzah dan Dr Dzulkefly di dalam wawancara ini.

Bila dimaklumkan bahawa para pengundi sedang menanyakan apa yang PH boleh tawarkan jika mereka menjadi kerajaan, Dr Mahathir sekadar memberi jawapan pendek “urus-tadbir baik” (“good governance”) tanpa mampu memberikan sebarang perincian terhadap apa yang beliau maksudkan dengan “urus-tadbir baik” tersebut.

Bila ditanyakan mengenai dasar-dasar ekonomi yang akan PH laksanakan jika mereka memerintah, Nurul Izzah sekadar mampu memberikan jawapan-jawapan kabur seperti “jika anda boleh menangani kebocoran” (“if you can arrest leakages”), “kesukaran meruntuhkan satu sistem yang telah dilaksanakan” (“how do you dismantle a system that has been implemented?”), “satu pelan keluar” (“an exit plan”) atau menyatakan “Malaysia di bawah pemerintahan PH tentunya akan menjadi satu pemanjangan kepada Selangor dan Pulau Pinang” “Malaysia [under PH rule] will definitely be an extension of Selangor and Penang”).

Bila dimaklumkan bahawa ramai pengundi tidak berani mengambil risiko dengan PH, Dr Dzulkefly sekadar menyatakan “adalah penting dan kritikal bahawa PH mesti boleh menyatakan dan mempertahankan dasar-dasarnya dengan lantang dan jelas” dan “kita akan menerangkan dengan jelas dasar-dasar dan manifesto kitaserta apa kita akan buat jika kita menawan  Putrajaya” tanpa mampu memberikan sebarang perincian terhadap dasar-dasar ini.

Begitu juga dengan persoalan “siapa akan jadi PM?” yang didakwa oleh Chin Tong sebagai sebahagian punca kenapa PH “tidak kuat” yang sehingga ke hari ini masih belum berkesudahan, malah menjadi semakin hangat, walaupun setelah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan menolak dari dicalonkan sebagai bakal PM PH.

Persoalan ini berkait-rapat pula dengan isu kepercayaan antara Anwar dan Dr Mahathir serta orang-orang mereka selain kemampuan mereka membina satu kerjasama yang asli yang turut ditimbulkan oleh Chin Tong kerana sehingga ke hari ini unsur-unsur keraguan masih kelihatan sangat membara, khususnya di kalangan pendokong PKR terhadap Dr Mahathir.

Di dalam wawancara ini sekalipun, Nurul Izzah, walaupun mengakui tidak pernah membenci Dr Mahathir dan hanya membenci tindakan-tindakan beliau (“I never hated the man, I hated the actions”), masih mengulang hakikat beliau memerintah secara kuku besi (“Mahathir ruled with an iron fist”) walaupun PKR telah bergabung dengan PPBM.

Nyata sekali Dr Mahathir, seperti dakwaan tokoh veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, di dalam wawancara sama bahawa menguasai seluruh perjalanan PPBM (“runs everything (in PPBM)”), dan para pendokong beliau sedang berusaha untuk melonjakkan beliau sebagai pemimpin de facto dan bakal PM PH.

Tentangan kuat kelompok tertentu di dalam PKR terhadap usaha untuk melonjakkan Dr Mahathir sekali gus menjadi petanda bahawa isu kepercayaan antara Anwar dan Dr Mahathir serta orang-orang mereka ini tidak akan reda, walaupun jika beliau berjaya dilonjakkan.

Ini ditambah pula oleh pengakuan tersirat Dr Dzulkefly mengenai ketidakmampuan AMANAH menawan hati golongan Melayu luar bandar dan mengenai kebergantungannya kepada kerusi-kerusi campuran yang menjadikan tugas PH untuk menawan undi Melayu menjadi lebih sukar.

Sebab itulah telahan Chin Tong bahawa adalah satu keajaiban jika PH mampu menawan Putrajaya, dan bahawa beliau sendiri tidak pasti jika keajaiban ini berjaya dicipta, perlu diakui oleh para pemimpin PH lain yang tidak seharusnya lena dibuai mimpi musim raya.

Dr Kamarul Zaman Yusoff                        
© all rights reserved
made with by templateszoo