Oleh: Atirah Hasli
29 Mei 2017
PAS berazam mahu mengembalikan sistem Islam dalam pentadbiran negara ini.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rakyat
hanya dapat mengecapi kehidupan yang lebih adil dan menikmati perubahan
sistem yang lebih baik dengan sistem Islam.
“Meskipun sejarah menunjukkan bahawa keagungan tamadun manusia berlaku
di zaman Islam, namun sikap anti-Islam atau Islamphobia yang dicanangkan
oleh Barat yang kini berjaya meresap masuk ke akal fikiran manusia,
telah menjadikan mereka bertindak dan berhujah secara tidak rasional
apabila terdengar sahaja perkataan "Islam."
“Anehnya, mereka boleh menerima sistem komunisme, kapitalisme,
sosialisme dan pelbagai lagi asalkan ia bukan bernama "Islam,” katanya
dalam kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, sekiranya umat tidak kembali kepada ajaran Islam yang
sebenar, kita hanya akan melakukan perubahan yang separuh masak.
Menurutnya lagi, umat di negara ini hanya sekadar merubah dari satu
kegagalan sistem ciptaan manusia kepada satu lagi sistem ciptaan manusia
yang lain yang juga akan berhadapan dengan pelbagai kelemahan dan
kepincangan.
“Di dalam apa-apa perubahan, sepatutnya kita mengambil peluang untuk
meruntuhkan sistem jahiliah dan menegakkan sistem Islam di atas
keruntuhan tersebut.
“Islam menawarkan pakej lengkap dalam usaha melakukan perubahan.
Gagasan Islam tidak bersifat ancaman, dan jauh lagi bersifat paksaan.
Sebaliknya gagasan ini mengemukakan cadangan dan pilihan,” katanya lagi.