Penduduk daerah Wallon di Belgium telah mengundi untuk menguatkuasakan larangan penyembelihan kosher dan daging halal dalam negerinya dengan cara mengharamkan penyembelihan haiwan yang masih sedar.
Ahli Jawatankuasa Alam Sekitar, Parlimen Walloon Belgium Selatan dengan sebulat suara telah mengundi untuk melaksanakan larangan itu yang akan berkuatkuasa pada 1 September 2019.
Dalam upacara penyembelihan yang dilakukan oleh orang Muslim dan orang Yahudi, adalah menjadi keperluan bagi penjual daging menyembelih haiwan itu dengan cara mengelar bahagian lehernya dengan pantas dan menyalur keluar darah haiwan tersebut. Proses penyembelihan ini telah dikecam oleh pejuang hak asasi haiwan. Bagi mereka, cara memengsankan haiwan tersebut terlebih dahulu sebelum proses penyembelihan adalah lebih berperikemanusiaan.
Parlimen Daerah Flemish Utara juga telah mencadangkan undang-undang penguatkuasaan larangan yang sama. Kongres Yahudi Eropah telah mengecam keras keputusan tersebut dan menganggapnya sebagai “penindasan”.
“Dalam keputusan ini, di tengah-tengah Eropah Barat dan Pusat Kesatuan Eropah, mereka telah menghantar mesej yang amat teruk kepada masyarakat Yahudi di seluruh benua dengan menyatakan bahawa mereka tidak menginginkan masyarakat Yahudi,” kata Presiden EJC Moshe Kantor.
“Larangan ini telah mencabul teras budaya dan amalan agama serta status kita sebagai rakyat yang mempunyai hak yang sama dalam masyarakat demokratik. Mereka telah memberikan pertolongan kepada golongan antisemitik dan kepada mereka yang tidak ada toleransi terhadap masyarakat dan agama lain.”
Beliau menambah, “Kami menyeru kepada penggubal undang-undang agar berundur dari mencetuskan serangan ke atas hak-hak penganut agama Yahudi di Belgium sejak pendudukan Nazi pada Perang Dunia ke-2.”
Akhbar harian De Morgen melaporkan penguatkuasaan undang-undang yang melarang penyembelihan haiwan yang masih hidup akan berkuat kuasa pada Januari 2019 di daerah Flemish, Belgium.
Masyarakat Islam Belgium berkata, majlis agama sebelum ini telah menyatakan penentangannya terhadap penyembelihan haiwan yang tidak sedarkan diri dan keputusan mereka tetap dan tidak berubah sejak dahulu.
“Umat Islam berasa bimbang sama ada mereka boleh memakan makanan halal selaras dengan tuntutan keagamaan dan kepercayaan mereka,” kata Belgian Muslim Executive.
Negara lain termasuk Denmark, Switzerland dan New Zealand juga telah melarang penyembelihan haiwan tanpa memengsankan haiwan tersebut terlebih dahulu.
Read more at: https://www.menara.my/larangan-menyembelih-untuk-umat-islam-di-belgium/