NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Generasi cemerlang juga lahir dari institusi agama – Roslin Mohd Taha



SARAWAK: Kontroversi negatif sekolah tahfiz dan sekolah aliran agama Islam berakhir setelah 24 pelajar aliran agama dari Sarawak berjaya mengharumkan nama Malaysia ketika mewakili negara menyertai Pertandingan Matematik Dunia (WMC2017) yang berlangsung di Manila, Filipina dengan membawa pulang 2 pingat emas dan 22 lagi pingat perak dan gangsa.
Ibu kepada Jad Haris Sabaruddin, 12, dari Maahad Tahfiz Tun Abdul Rahman Yakub (MATTARY), Puan Roslin Mohamad Taha ketika dihubungi Menara.my melahirkan rasa syukur dan berbangga dengan kejayaan anaknya yang berjaya merangkul emas dalam pertandingan bertaraf dunia itu. 

Menurutnya, Jad Haris memang meminati bidang matematik semenjak tadika lagi. Selain rajin belajar mengenai ilmu agama dan membuat hafazan al-Qur’an, Jad turut menyertai pertandingan musabaqah yang diadakan di Baitulmal, Sarawak. 

Beliau berkata, “Atas minat dia (Jad Haris), saya terpaksa cari tempat yang sesuai untuk dia belajar matematik mengguna pakai Kaedah Matematik Sakamoto dari Jepun yang mana satu-satunya Pusat Pembelajaran Sakamoto di negara ini terletak di Kuching, Sarawak.” 

Menurutnya, “Ketika mengandungkan Jad, saya susah nak tidur malam, jadi saya ambil inisiatif positif bermain permainan matematik yang bersifat critical thinking termasuk beberapa jenis puzzle yang dapat mencerna minda. Seperkara, bukan sahaja saya meminati matematik malah suami (bapa Jad) serta datuknya juga mempunyai minat yang sama terhadap matematik.” 

Ditanya mengenai nasihat berguna untuk ibu bapa yang berminat menghantar anak-anak ke sekolah agama mahupun pusat-pusat tahfiz beliau berkata, “Pada saya, lebih baik selidik latar belakang sekolah dan kakitangan selain bertanya pendapat ibu bapa pelajar lain mengenai rekod pencapaian sekolah yang hendak diikuti itu sama ada bersesuaian atau tidak dengan kebolehan anak kita.” 

“Paling penting lakukan istikharah, fahami doa istikharah, kita mohon petunjuk dalam melakukan keputusan dan setelah menyelidik serta berfikir panjang kemudian, istikharah untuk kita memohon yang terbaik buat anak-anak. 

Sentiasa mohon petunjuk dari Allah SWT dalam membuat keputusan tentang masa depan anak-anak.” “Jangan bergantung semata-mata pada lojik akal sahaja, hanya Allah SWT yang tahu sekolah mana yang terbaik dan sesuai untuk anak-anak kita,” katanya. 

Menurutnya, pemantauan perlu berterusan dan kerap selain jadikan guru-guru sebagai rakan karib kita kerana ibu bapa dan guru-guru perlu bergerak seiring dan sepakat. “Kenali semua guru yang mengajar anak-anak kita, hormat mereka dan jadikan sebagai kawan,” katanya. Puan Roslin berkata, sekiranya ada masalah atau sekolah itu sudah berubah senario atau guru bertukar contohnya, jangan takut untuk mengubah keputusan asal, mungkin juga perlu berpindah sekolah sekiranya prestasi anak tak seperti yang diharapkan atau kita risaukan ada sesuatu yang mencurigakan. 

Bagaimanapun, sebelum apa-apa keputusan dibuat, lakukan istikharah terlebih dahulu. Beliau berkata, “Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah Sekolah Agama MATTARY agak berbeza dengan kebanyakan sekolah agama mahupun pusat tahfiz lain.” 


“Ia bukannya sekolah berasrama penuh, sebaliknya ia adalah sekolah agama harian di mana tahfiz diajar pada waktu pagi dan akademik di waktu petang. Maka dengan cara ini, faktor tarbiah ibu bapa dan didikan guru-guru sekolah adalah sama penting,” katanya. 

Kata beliau lagi, “Jad Haris juga saya hantar ke kelas tambahan untuk menyokong mindanya di dalam bidang matematik dan lain-lain.” 

“Jadi kita tidak boleh samakan Mattary dengan sekolah tahfiz yang lain, berbeza sekolah, berbeza caranya,” katanya. Beliau berpendapat bahawa sekolah tahfiz, hafazan dan akademik boleh berjalan seiringan. Jika ada sekolah yang sedemikian, ia adalah lebih baik bagi memberi pelajaran mereka dengan selengkapnya sama ada dari sudut agama mahupun akademik. 

“Saya berdoa, untuk anak saya menghafal al-Qur’an ketika umur belum baligh dan alhamdulilah saya terjumpa sekolah agama Mattary yang menyediakan pembelajaran yang lengkap selain mempunyai guru-guru yang baik dan berkebolehan.” 

Beliau berkata, dia tidak mahu anaknya nanti menggunakan agama untuk mendapatkan sumber kewangan. Disebabkan itu, beliau memberi anaknya pelajaran akademik dan ilmu agama secara selari dan seimbang. “Percayalah, perkara ini boleh dilakukan disebabkan anak-anak ini mampu untuk belajar kedua-dua aliran mata pelajaran ini serentak ditambah dengan usia dan ingatan mereka yang masih kuat,” katanya. 

Ditanya mengenai kejadian malang yang berlaku melibatkan institusi agama baru-baru ini, beliau berkata, bukan sahaja sekolah tahfiz malah sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan atau asrama penuh sekalipun, ibu bapa perlu membuat pantauan dan mengenali tenaga pengajar di sana bagi memudahkan ibu bapa mengetahui perkembangan anak-anak ini selain menghindari sikap lepas tangan. 

Bagaimanapun, ibu bapa tidak boleh menyalahkan sesebuah institusi itu apabila ada sesuatu perkara buruk berlaku. 

Harus diselidiki secara terperinci terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan sebelum membuat sebarang tohmahan yang tidak berasas. “Harapan saya, akan lebih banyak sekolah-sekolah agama seperti Mattary yang perlu dibiayai kerajaan dibuka bagi melahirkan lebih ramai pelajar-pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik malah ilmu agama juga dapat dipelajari dengan baik bagi membentuk generasi yang cemerlang pada masa hadapan,” katanya mengakhiri perbualan.

https://www.menara.my/generasi-cemerlang-juga-lahir-dari-institusi-agama-roslin-mohd-taha/
© all rights reserved
made with by templateszoo