Seorang ADUN Johor menggesa The Star digantung ekoran laporan muka depan akhbar harian berbahasa Inggeris itu pada hari Sabtu lalu yang didakwa menyakiti perasaan umat Islam di negara ini.
ADUN Kempas dari Umno, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Jumat dalam kenyataan hari ini juga meminta pemilik The Star 'merombak pengurusan pengarang semasa akhbar itu agar lebih baik dalam memantau perkara-perkara berkaitan Islam'.
Tengku Putra mendakwa, akhbar itu "bertindak bercanggah dengan keamanan negara dan boleh mencetuskan gangguan awam".
Pengurusan tertinggi The Star akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini berhubung laporan muka depan itu yang memaparkan berita bertajuk 'Malaysia Terrorist Leader' bersama-sama gambar umat Islam sedang bersembahyang.
Semalam, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim dilaporkan sebagai berkata, pihaknya kecewa dengan akhbar tersebut kerana memaparkan gambar umat Islam menunaikan solat Tarawih pada malam pertama Ramadan, namun tajuk muka depannya tertulis tajuk sedemikian.
"Esok kita akan panggil Ketua Pengarang akhbar berkenaan untuk mendengarkan penjelasan mereka berhubung penyiaran gambar dan tajuk di muka depannya.
"Jika KDN tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan tindakan selanjutnya akan diambil termasuk mengeluarkan surat tunjuk sebab," kata Alwi lagi.
The Star, semalam, memohon maaf untuk kekhilafan tersebut.
Sumber:http://www.malaysiakini.com/news/383834
Sumber:http://www.malaysiakini.com/news/383834