NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ulasan Berkaitan Cadangan Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (AKTA 355)


Apa yang dicadangkan ini bukanlah undang-undang baru, tetapi cuma pindaan  ke atas undang-undang yang sedia ada. Adalah diharapkan agar usaha pindaan ini mencapai tujuan yang dihasratkan dengan lancar dan jayanya bagi menjamin setiap rakyat mendapat hak dan keadilan yang sewajarnya. - Dr. Fathi Yusof

Pindaan ke atas Akta 355 atau Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 menjadi satu sejarah kerana mendapat tumpuan luar biasa di kalangan pemimpin dan rakyat Malaysia. Usul pindaan yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang Dato Seri Abdul Hadi Awang merupakan satu agenda yang dinantikan oleh banyak pihak, sama ada mereka yang menyetujuinya atau yang menentangnya. Walau pun pembentangan usulnya telah selesai, namun rang undang-undang ini perlu melalui beberapa proses pembentangan seterusnya dalam sidang PArlimen akan datang. Dalam sesi berkenaan ahli-ahli Parlimen membunyai ruang yang sangat luas untuk menyampaikan ucapan menyokong atau menolak rang-undang-undang berkenaan.

Cadangan pindaan ini secara asasnya berkaitan dengan bidang kuasa mahkamah Syariah. Secara keseluruhannya kita boleh kategorikan bidang kuasa mahkamah Syariah kepada dua iaitu: (1) Bidangkuasa jenayah, dan (2) Bidangkuasa selain jenayah atau boleh juga disebut sebagai undang-undang sivil atau mal. Bagi bidangkuasa selain jenayah Mahkamah Syariah tidak tertakluk kepada syarat pemberian kuasa oleh undang-undang persekutuan. Maksudnya, mahkamah Syariah boleh membicarakan kes-kes bukan jenayah seperi berkaitan perkahwinan, perceraian, pusaka dan seumpamanya tanpa terikat dengan kebenaran undang-undang Persekutuan.

Namun, bagi bidang kuasa jenayah, terdapat peruntukan Perlembagaan yang menetapkan peranan undang-undang Persekutuan untuk memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah. Butiran 1, Senarai II, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa Mahkamah Syariah ‘hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini (butiran 1), tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan’.  Oleh itu, satu akta khusus diperlukan untuk memberikan kuasa kepada mahkamah Syariah.

Pada tahun 1965, satu undang-undang Persekutuan yang disebut Akta 355 atau Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 diluluskan di Parlimen pada tahun bagi maksud memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk membicarakan dan menjatuhkan hukuman dalam kes-kes jenayah. Namun begitu, akta ini bukan sahaja memberikan kuasa, bahkan telah juga berfungsi untuk menetapkan had kuasa Mahkamah Syariah dalam kes jenayah. Fungsi kedua ini berlaku sesuai dengan realiti mahkamah Syariah pada waktu itu dari sudut saiz mahkamah, tahap kemampuan hakim, undang-undang jenayah syariah sedia ada dan penerimaan orang ramai terhadap mahkamah syariah. Semua faktor-faktor yang disebutkan ini telah jauh berubah sesuai dengan perkembangan zaman.

Ketika Akta 355 mula diperkenalkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam hukuman jenayah adalah pada hukuman yang tidak lebih daripada seribu ringgit denda dan 6 bulan penjara. Pada tahun 1984, pindaan telah dibuat bagi menaikkan kadar maksimum hukuman kepada RM5000 denda, 3 tahun penjara dan 6 kali sebatan. Kuasa mahkamah Syariah yang dianggap rendah ini menyebabkan timbul desakan yang hebat untuk meningkatkan bidang kuasa sesuai dengan perkembangan semasa. Dalam cadangan pindaan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Marang, kadar maksimum hukuman akan dinaikkan kepada RM100,000 denda, 10 tahun penjara dan 100 kali sebatan syarie.

Pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 ini adalah penting kerana beberapa sebab. Antaranya, akta ini sudah lama tidak dipinda sedangkan ia melibatkan had bidang kuasa mahkamah yang perlu disesuaikan dengan perkembangan masa. Contohnya dari sudut denda, kadar yang dikenakan adalah RM5000 pada melalui pindaan tahun 1984. Nilai wang pada tahun 1984 dan sekarang sangat berbeza, maka pindaan adalah sangat perlu.

Selain itu, had yang dikenakan dalam akta sedia ada adalah sangat rendah jika dibandingkan dengan mahkamah sivil. Bagi mahkamah sivil paling rendah iaitu Mahkamah Magistret, bidang kuasanya ialah 5 tahun penjara, RM10,000 denda dan 12 kali sebat. Jika pindaan ini diluluskan, bidang kuasa mahkamah Syariah adalah hampir sama dengan bidang kuasa jenayah Mahkamah Sesyen.

Perlu diingat juga, pindaan yang dicadangkan ini selari dengan perkembangan dan pembangunan institusi mahkamah Syariah. Undang-undang Jenayah Syariah semakin mantap dan terdapat kesalahan-kesalahan jenayah yang dikemaskini. Bermula tahun Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1988, hampir semua negeri kini mempunyai undang-undang khusus untuk jenayah syariah. Oleh itu soal had hukuman terperinci tentunya boleh diurus dengan lebih kemas oleh undang-undang negeri. 

Cadangan pindaan ini sepatutnya dipersetujui oleh ahli Parlimen bukan Islam jika mereka menghormati prinsip keadilan, hak wanita, kebebasan beragama dan demokrasi. Dari aspek keadilan misalnya, masyarakat Islam sepatutnya berhak mendapat perlindungan yang setaraf dengan bukan Islam dari sudut penjagaan kesucian perkahwinan. Namun realiti kini, secara bandingannya perlindungan untuk keutuhan sistem perkahwinan kepada umat Islam lebih lemah berbanding perlindungan untuk masyarakat bukan Islam. 

Misalnya dalam kes penipuan pendaftaran perkahwinan serta sindiket kahwin palsu, hukuman untuk kesalahan ini dalam undang-undang untuk bukan Islam lebih tinggi iaitu 10 tahun penjara dan denda RM15,000 berdasarkan seksyen 40 Akta Pembaharuan Undang-undang (Pernikahan dan Perceraian) 1976. Dari sudut hak wanita, perlindungan kepada para isteri di kalangan masyarakat Islam kini adalah lebih kurang berbanding para isteri bukan Islam. Misalnya dalam kes melibatkan suami yang tidak bertanggungjawab menunaikan hak-hak isteri hukuman di bawah mahkamah sivil akan lebih tinggi memandangkan bidang kuasa mahkamah sivil adalah lebih tinggi berbanding mahkamah syariah.

Pindaan ini juga penting dari sudut kebebasan beragama. Kandungan pindaan yang dicadangkan itu sebenarnya adalah untuk menyesuaikan undang-undang yang sedia ada dengan ayat-ayat Al-Quran. Kadar 100 kali sebatan disebut secara jelas dalam Al-Quran Surah Al-Nur 24:2. Oleh yang demikian, amatlah tidak wajar bagi ahli Parlimen bukan Islam menghalang orang-orang Islam mengamalkan kitab suci Al-Quran. 

Selain itu, dakwaan bahawa pindaan ini akan membuka jalan kepada perlaksanaan undang-undang kontroversi seperti hukuman potong tangan bagi pencuri adalah amat tidak bertanggung jawab. Pertamanya, dakwaan berkenaan merupakan rentetan usaha menakut-nakutkan rakyat dengan Islam dan menjadikan ketakutan itu untuk kepentingan politik kepartian. Keduanya, pindaan yang dicadangkan itu sebanarnya sama sekali tidak ada kena mengena dengan kesalahan jenayah yang diperuntukkan di bawah Kanun Kesiksaan seperti kesalahan mencuri atau merompak. Undang-undang hudud berkenaan tidak boleh dilaksanakan melainkan jika berlaku pindaan Perlembagaan – satu langkah yang amat sukar dalam keadaan parti kerajaan tidak menguasai lebih dua per tiga sokongan dalam Dewan Rakyat. Oleh yang demikian, tidak ada sebab bagi masyarakat bukan Islam menentang cadangan rang undang-undang ini.

Realiti bahawa bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah hanya untuk bukan Islam mengukuhkan lagi hujah bahawa masyarakat bukan Islam tidak perlu risau dengan cadangan ini. Lagi pun, apa yang dicadangkan ini bukanlah undang-undang baru, tetapi cuma pindaan  ke atas undang-undang yang sedia ada. Adalah diharapkan agar usaha pindaan ini mencapai tujuan yang dihasratkan dengan lancar dan jayanya bagi menjamin setiap rakyat mendapat hak dan keadilan yang sewajarnya.

Dr Fathi Yusof
Gombak.
© all rights reserved
made with by templateszoo