Apa lagi Islam yang tinggal untuk kita hari ini, melainkan mahkamah syariah dan undang-undang berkaitan dengan umat Islam. Hak lain boleh dikatakan semua sudah semakin hilang.Ekonomi tidak dikuasai. Tanah rezab Melayu semakin kehabisan. Wasiat Raja Melayu entah ke mana. - Riduan Tee Abdullah
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 11 Rejab 1438H, Sabtu – ‘Salakan’ Ahli Parlimen pembangkang sewaktu Speaker Dewan Rakyat membenarkan pembentangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 tidak perlu dipedulikan, kata pendakwah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.
Beliau ketika dihubungi Ismaweb hari ini mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Pandikar Amin kerana memberikan laluan kepada Presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi Awang untuk membentangkan RUU355.
Meskipun ia tidak sempat dibahaskan, namun beliau berkata, ia adalah detik bersejarah yang tidak boleh dipadamkan dalam usaha memartabatkan agama Islam.
“Biarlah PAN, PKR dan ultra kiasu lain menyalak. Kepada tuan Speaker, yakinlah keputusan anda hari ini akan menjadikan Tuan Speaker dikenang sepanjang hayat.
“Sebelum ini, saya langsung tidak kisah siapa speaker Dewan Rakyat. Dalam ramai-ramai Speaker setakat ini, belum ada speaker yang boleh menambat hati saya. Pada 6 April 2017, Speaker Dewan Rakyat benar-benar telah membuktikannya,” katanya.
Mengulas lanjut, Ridhuan Tee berkata, usah terlalu dirisaukan sama ada bukan Islam marah atau tidak kerana hakikatnya mereka yang menentang ini tidak mengendahkan kemarahan Allah swt.
“Pernahkah kita bertanya Allah marah atau tidak? Yang nyata, ultra kiasu Islam dan bukan Islam tidak pernah kisah Allah marah ke tidak. Paling penting undi. Inilah taraf wakil rakyat longkang. Peringkat rakyat marhaen tidak menjadi masalah langsung, kecuali mereka yang berkepentingan..
“Pelik sungguh dengan ultra kiasu Islam, bertindak seperti bukan Islam yang memusuhi Islam. Jika masalah teknikal dalam melaksanakan nanti yang akan menimbulkan masalah. Itu bukan bermakna kita bertindak lantang dan kurang ajar, bersekongkolkan dengan musuh Islam untuk membenam Islam.
“Apa lagi Islam yang tinggal untuk kita hari ini, melainkan mahkamah syariah dan undang-undang berkaitan dengan umat Islam. Hak lain boleh dikatakan semua sudah semakin hilang.
“Ekonomi tidak dikuasai. Tanah rezab Melayu semakin kehabisan. Wasiat Raja Melayu entah ke mana,” katanya.
Sambil memberi pujian kepada PAS, beliau mengingatkan, PAS rela hilang undi atau mungkin kehilangan negeri asalkan Islam dapatkan dimartabatkan.
“Berbanding dengan ultra kiasu lain, undi nombor satu berbanding yang lain. Inilah bezanya antara PAS dengan parti lain.
“Justeru, marilah kita menginsafi diri. Buangkan politik kepartian sempit dan dendam jauh-jauh. Marilah bersama kita mempertahankan Islam daripada dinodai tangan-tangan jahat ultra kiasu.
“Harapan saya, bila PRU 14 nanti, UMNO jangan bertanding di Shah Alam, biarkan PAS dan PAN satu lawan satu. Saya nak tengok siapa yang akan terkubur.
“Jika PRU14 adalah tsunami Islam. saya yakin tertegaklah batu nesan PAN, ultra kiasu Islam yang terlalu kemarukkan undi sehingga sanggup menggadaikan Islam,” tegasnya.