NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Saya Faham RUU Dengan Jelas – Pandikar Amin

Saya faham RUU 355 dengan jelas. Sebelum ini samar-samar kerana banyak risalah, pendapat saya baca dan dengar mengenai RUU 355. Setelah mendengar penjelasan hujah huraian daripada Marang dan hujah sokongan dari Kota Bharu, barulah saya benar-benar jelas mengenai sejarah RUU 355 ini.

KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 ditangguh ke sidang Dewan Rakyat akan datang, kata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebentar tadi.

Pandikar Amin ketika mengumumkan perkara berkenaan berkata, keputusan itu dibuat menggunakan kuasanya sebagai Speaker yang tidak tertakluk kepada Peraturan 15 Dewan Rakyat. 

"Selama saya diberi mandat oleh Parlimen untuk memegang jawatan Speaker hampir sembilan tahun. Perasaan saya turun naik macam harga saham di Bursa Malaysia. 

"Pada hari ini saya amat gembira dan teruja atas dua sebab kerana hari ini saya berkuasa penuh untuk mengurus perjalanan mesyuarat tanpa kekangan Peruntukan Mesyuarat 15. Ini saya tekankan secara serius. 

"Kedua saya faham RUU 355 dengan jelas. Sebelum ini samar-samar kerana banyak risalah, pendapat saya baca dan dengar mengenai RUU 355. Setelah mendengar penjelasan hujah huraian daripada Marang dan hujah sokongan dari Kota Bharu, barulah saya benar-benar jelas mengenai sejarah RUU 355 ini. 

"Maka saya membuat ketetapan untuk perbahasan selanjutnya pada sesi akan datang," katanya di Dewan Rakyat, sebentar tadi. 

Pengumuman beliau itu bagaimanapun dibantah oleh Ahli Parlimen pembangkang yang tidak berpuas hati kerana tidak dapat peluang untuk membahaskan RUU 355 itu pada sesi kali ini. 

Abdul Hadi hari ini mengambil masa 30 minit mulai jam 12.30 tengah hari untuk membentangkan RUU 355. 

Pembentangan RUU 355 disokong oleh Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu). 

Pada 24 November lalu, Abdul Hadi membawa usul pindaan itu untuk menaikkan hukuman penjara kepada 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan maksimun 100 sebatan berbanding maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini. 

Abdul Hadi membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat buat kali pertama pada 26 Mei 2016, tetapi menangguhkan perbahasan dan membentangkan versi yang disemak semula pada November 2016. 

Pembentangan usul itu mencatat sejarah tersendiri kepada Dewan Rakyat kerana buat kali pertama RUU Persendirian dikemukakan Abdul Hadi dibentangkan dan dibahaskan untuk kelulusan.---BHARIAN
© all rights reserved
made with by templateszoo