NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

#RUU355, harapan buat kalian MP muslim



Dalam menekuni usul persendirian ini, indahnya kalau setiap individu muslim itu mengutamakan kepentingan Islam. Dari manapun parti politik yang anda wakili, letakkanlah kepentingan Islam sebagai kayu ukur penilaian. 
- (Mohammad Faizal Che Yusof, Peguam Hak Asasi Manusia Malaysia)

KEYAKINAN saya kepada betapa seluruh umat Islam inginkan perundangan Islam terus berdaulat tetap tidak berganjak meskipun dikatakan perpecahan yang kian meruncing dalam kalangan umat yang kebanyakannya Melayu. Suasana yang terlalu didorong oleh politicking bukanlah penghujung penyatuan apabila setiap individu muslim itu meletakkan kepentingan Islam mengatasi yang lain.

Ingin berbeza pendapat, dipersilakan. Ingin berpolitik bagi kepentingan rakyat, silakan saja. Namun bila kepentingan Islam dihadapan, tinggalkanlah segala kepentingan lain untuk mendahului kepentingan Islam.

Usul persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 “Akta 355” menyaksikan pelbagai pandangan berlegar sekitar umat Islam itu sendiri. Pandangan yang berasaskan kepentingan yang pelbagai tentunya akan membuahkan kepelbagaian pandangan juga. Apatah lagi apabila pandangan itu diasaskan kedudukan sesuatu pihak dalam arena politik.

Dalam menekuni usul persendirian ini, indahnya kalau setiap individu muslim itu mengutamakan kepentingan Islam. Dari manapun parti politik yang anda wakili, letakkanlah kepentingan Islam sebagai kayu ukur penilaian.

Suatu hakikat yang perlu diinsafi oleh setiap muslim terutama kalian yang bergelar ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, usul ini membuka ruang yang seluas-luasnya untuk kalian meletakkan perundangan Islam pada suatu tahap yang lebih atas berbanding hari ini.

Saya tidaklah menaruh harapan yang tinggi kepada mereka yang bukan beragama Islam bagi bersama-sama menyokong usul  tersebut. Sokongan mereka atas alasan ini adalah urusan umat Islam adalah bonus yang ditakdirkan buat umat Islam itu sendiri.

Namun harapan saya menggunung kepada kalian yang beragama Islam untuk memberi laluan kepada usul ini agar suatu rang undang-undang dapat dikemukakan bagi meminda Akta 355. Ketepikanlah segala sentimen yang sebenarnya masih boleh disesuaikan demi kepentingan Islam melalui usul 355 ini.

Sekadar alasan kelemahan teknikal dan seumpamanya, ia masih boleh diperbaiki sebaik peringkat rang undang-undang dimulai kelak. Biarlah para pendokong aliran sekular tidak bersetuju dengan usul ini atas apa jua alasan.

Bagi mereka yang meyakini Malaysia sebagai sebuah negara yang berasaskan sekular, biar apa yang berlaku, penentangan kepada pemerkasaan perundangan Islam tetap menjadi agenda keutamaan mereka. Saya berlapang dada dengan pendirian rakan-rakan yang ada memandangkan negara ini mengamalkan demokrasi berparlimen.

Sebagai pengamal undang-undang yang pernah berhadapan dengan isu-isu yang bersangkutan dengan kepentingan Islam di pentas keadilan, apa yang boleh saya ketakan betapa tangan-tangan kami terikat dengan perundangan yang ada. Telah banyak saya kongsikan bagaimana mahkamah-mahkamah tertinggi negara menegaskan kalian yang menduduki badan perundangan punyai tanggungjawab bagi memastikan kedudukan perundangan Islam berada pada tahap yang lebih baik berbanding hari ini.

Justeru sebelum berakhirnya sesi parlimen kali ini, doa dan harapan saya buat kalian yang beragama Islam hanya satu. Berpadulah atas nama Islam bagi menyokong dan membenarkan usul persendirian Akta 355 yang mungkin saja dibenarkan oleh Yang Dipertua dewan untuk dikemukakan.

Mohammad Faizal Che Yusof
(Peguam Hak Asasi Manusia Malaysia) 


© all rights reserved
made with by templateszoo