NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS lahirkan penghargaan kepada Speaker Dewan Rakyat

Beliau (Speaker) telah melaksanakan tugas dengan cemerlang dan tanpa takut dan menyebelahi mana-mana pihak, serta memberi ruang kepada kita untuk memberi penjelasan sepenuhnya.





KOTA BHARU: PAS melahirkan penghargaan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana membenarkan usul pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 2016) , RUU 355 dibentangkan di Dewan Rakyat pada hari terakhir persidangan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan menganggap Speaker telah menjalankan tugasnya dengan baik serta memainkan peranannya tanpa merasa takut untuk membenarkan usul itu dibentangkan walaupun perbahasan ditangguhkan ke sesi akan datang.

Takiyuddin berkata penangguhan jam 4.15 petang itu adalah tepat memandangkan sesi perbahasan juga mengambil masa yang lama.

“Beliau (Speaker) telah melaksanakan tugas dengan cemerlang dan tanpa takut dan menyebelahi mana-mana pihak, serta memberi ruang kepada kita untuk memberi penjelasan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini malam tadi.

PAS juga katanya secara keseluruhan berpuas hati dengan sesi pembentangan semalam yang turut diberi ruang untuk membuat penghuraian mengenai usul pindaan RUU 355.

Katanya ianya satu perkembangan yang baik dan petanda dalam usaha umat Islam membawa pindaan itu ke Parlimen yang sebelum ini belum pernah bil persendirian dibenarkan dibawa ke Parlimen.

Sesi pembentangan semalam juga kurang mendapat celahan sehingga ianya dapat dihuraikan dengan terperinci oleh beliau sendiri.

Semalam, rata-rata Ahli Parlimen pembangkang meluahkan rasa kecewa di atas tindakan Speaker Dewan Rakyat yang menangguhkan perbahasan usul pindaan RUU355.

Bantahan daripada anggota Parlimen pembangkang itu timbul kerana dikatakan tidak diberi peluang membahaskan usul berkenaan.

Ahli-ahli Parlimen pembangkang turut bertindak bangun dan melaungkan ‘ini tidak adil’, namun Speaker tidak mengendahkannya dan bangun meninggalkan sidang.

Menurut Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu dengan penangguhan tersebut PAS mempunyai masa lebih kurang tiga bulan untuk memberikan penjelasan dengan lebih lanjut mengenai RUU berkenaan sebelum sesi pembentangan di Parlimen yang dijangka Julai depan.---ASTROAWANI
© all rights reserved
made with by templateszoo