NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS bukan mangsa ‘permainan’ BN: Abdul Hadi

Ini kewajipan bersama, macam masjid. Kerajaan benar kita sembahyang Jumaat di masjid, itu bukan kerja tipu...kerja apa, itu kerja agama, ini urusan agama bukan tipu menipu - Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.


MARANG - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu tidak menjadi mangsa ‘permainan’ Umno-BN berhubung pembentangan usul meminda Akta 355 di Parlimen kerana ia adalah urusan agama Islam.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS juga tidak terjejas dengan keputusan Dewan Tertinggi BN yang memutuskan kerajaaan tidak akan mengambil alih pembentangan usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 itu.

“Ini kewajipan bersama, macam masjid. Kerajaan benar kita sembahyang Jumaat di masjid, itu bukan kerja tipu...kerja apa, itu kerja agama, ini urusan agama bukan tipu menipu,” katanya ditemui di kediamannya di Rusila di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Dewan Tertinggi BN memutuskan kerajaaan tidak akan mengambil alih pembentangan usul meminda Akta 355 selaras dengan dasar dan amalan BN yang menetapkan semua keputusan mesti dibuat secara konsensus.
“Dewan tertinggi BN malam ini membincangkan dan memutuskan bahawa kerajaan tidak akan membentangkan RUU355 selaras dengan dasar dan amalan kita bahawa BN membuat keputusan berdasarkan konsensus.

“Justeru, rang undang-undang ini akan terus menjadi bil (rang undang-undang) persendirian dan terserah kepada speaker (Dewan Rakyat) untuk menentukan (kedudukannya),” kata Najib dalam kenyataanya di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur sebelum ini.

Dengan ketetapan terbaharu itu, kata Abdul Hadi, status usul persendirian itu akan dibawa sendiri olehnya walaupun masanya masih lagi tertakluk kepada pertimbangan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

“Saya akan bawa sendiri di Parlimen dan kita sudah mendapat persetujuan untuk bawa dalam sidang (kali) ini juga…akan dibahaskan InsyaALLAH.

“(Masanya) speaker akan tentukan mengikut Standing Order Parlimen selepas urusan kerajaan. Bagaimanapun, kerajaan boleh beri masa pada bila-bila masa sahaja,” katanya.

Ketika ditanya penolakan itu akan memberikan kesan terhadap PAS termasuk dari segi sokongan rakyat terhadap parti itu dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang, beliau berkata, keputusan itu tidak memberikan kesan.

“Tiada kesan sebenarnya kerana kerajaan bersetuju kita bawa, beri jalan kita bawa, tiada kesan. Ini kaitan dengan hak orang Islam, kewajipan bersama bagi orang Islam, dan tiada sebab orang bukan Islam campur tangan. Itu sebenarnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru ahli Parlimen Islam menyokong usul akan dibawa manakala ahli Parlimen bukan Islam pula menghormati Perlembangaan kerana Parlembagaan mengatakan ia adalah hak berkait dengan orang Islam sahaja.

Tegas Abdul Hadi, sikap PAS tidak berubah dan persediaan parti itu juga tidak terjejas dalam hal itu yang akan meneruskan langkah mereka dan akan mengetahui pihak mana yang sebenarnya mahu menghalang usaha dibawa parti itu.

“Kita hadapi halangan itu, dan kita kenal siapa yang menghalang, insyaALLAH,” katanya. - SINAR HARIAN


© all rights reserved
made with by templateszoo