Usul pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 yang dibentangkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada persidangan Dewan Rakyat semalam telah mencetuskan perang mulut antara MCA dan DAP.
MCA mendakwa dua wakil rakyatnya begitu lantang menentang usul itu semasa Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan menyampaikan ucapan menyokong, manakala tidak ada seorang pun ahli parlimen DAP bangkit berbuat demikian.
"Walaupun MCA hanya mempunyai tiga penyokong kerajaan, dua ahli parlimen MCA - Anggota Parlimen Tebrau Khoo Soo Siang dan Anggota Parlimen Alor Gajah Datuk Koh Nai Kwong berpendiriah teguh dan mencabar usul PAS itu dengan melemparkan soalan.
"DAP mempunyai 36 ahli parlimen tetapi senyap atau tidak kelihatan. Di mana mereka?" soal MCA di media sosial semalam.
Takiyuddin menyampaikan ucapan menyokongnya selepas Hadi membentangkan usul yang bertujuan untuk meningkatkan had hukuman bagi kesalahan syariah kepada penjara sehingga 30 tahun, denda maksimum RM100,000 dan sebatan sehingga 100 kali.
Hadi semasa hukuman jenayah syariah adalah penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.
Khoo, yang mencelah semasa ucapan Takiyuddin berkata, masyarakat bukan Islam melihat usul Hadi sebagai melanggar Perlembagaan Persekutuan, manakala Koh menyoal sama ada pindaan itu bertentangan dengan Perkara 8 Perlembagaan mengenai isu kesamarataan di sisi undang-undang.
Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon juga mendakwa bahawa tidak ada ahli parlimen DAP bersuara di Dewan Rakyat semasa sidang semalam.
"Kedua-dua Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, malah tidak ada di dalam Dewan," kata Chong dalam akaun Facebooknya.