Kejahilan umat Islam dan ketidakpedulian para pencinta Islam itu sendiri memberi ruang untuk pelbagai alasan dangkal disebarluas bagi menyulitkan usaha pemerkasaan perundangan Islam. Kadangkala alasan dan hujah sengaja dicipta dalam bahasa mudah dan perkiraan logik agar senang diterima dan disebar - Mohammad Faizal Che Yusof
SUNGGUH saya meraikan pelbagai pendapat dalam mengemukakan pandangan berkaitan usul persendirian Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 “Akta 355” yang ramai merujuknya sebagai RUU 355. Dalam memerhati pelbagai perbezaan pandangan yang ada, pada perkiraan saya ada sebahagiannya lebih kepada menampilkan anggapan usul persendirian ini perlu diketepikan atas alasan yang sengaja direkayasa.
Dalam tulisan ini, saya akan cuba mengenengahkan pandangan agar kita lebih bersikap adil dalam menilai usaha mendaulatkan syariat melalui RUU 355. Memandangkan usaha ini lebih tertumpu kepada sikap dan pendirian Parti Islam Se-Malaysia PAS, saya akan mengemukakan pandangan saya sesuai dengan situasi tersebut.
Mungkin para pembaca akan condong mengatakan apa yang akan dikemukakan dalam penulisan ini telahpun diulas dan diketengahkan oleh pelbagai pihak di pelbagai ruang. Namun usaha memberi kefahaman tidak boleh terhenti di situ sahaja apabila usaha-usaha mengenengahkan fakta yang mengelirukan di sebalik RUU 355 ini terus berjalan.
PAS sebagai gerakan Islam
Suatu yang telah diketahui umum, PAS diwujudkan hanyalah bagi memastikan syariat Islam didaulatkan melalui arena politik. Dalam pada itu tidaklah bermakna PAS itu sekadar parti siasah semata-mata, bahkan gerak kerjanya mencangkupi aspek-aspek pendidikan atau tarbiah, dakwah dan juga kebajikan serta kemasyarakatan.
Dengan kata-kata lain, tumpuan PAS bukanlah dari hal-ehwal kepartian, politik dan pilihan raya semata-mata. Gerak kerja kami berjalan sepanjang waktu atas usaha membawa masyarakat kepada Islam bagi kehidupan yang sejahtera dan harmoni.
Sebagai contoh, melalui lajnah kebajikan dan kemasyarakatan yang dibentuk, pelbagai unit kami wujudkan bagi memastikan kepentingan rakyat terpelihara. Selain menjaga kepentingan ahli dan para pendokong parti, pelbagai segmen masyarakat yang dikatagorikan sebagai kumpulan rentan termasuklah orang kurang upaya, warga emas yang disebut warga assabiqun, wanita dan kanak-kanak menjadi tumpuan dalam gerak kerja semasa.
Dengan dokongan pelbagai lapisan masyarakat, di lajnah ini juga kami terus menekuni usaha dalam mendekatkan warga penunggu kota yang biasa disebut sebagai gelandangan agar terus dekat kepada Islam. Apa yang sedang kami laksanakan dalam lajnah ini hanyalah sebahagian dari gerak kerja semasa pendokong PAS selain dari kerja-kerja pilihan raya sebagaimana diketahui umum.
Justeru amatlah tidak tepat apabila dikatakan PAS hanya mendahului hal-hal berkaitan perundangan Islam tanpa mempedulikan isu-isu yang menyelebungi kesejahteraan dan kesentosaan rakyat. Asal PAS itu sebagai gerakan Islam, apa yang terkandung di dalam syariat itulah menjadi keutamaan dan tumpuan para pendokong parti.
PAS sebagai badan siasah
Sebaik saja PAS itu wujud di arena politik, ia memberi ruang kepada PAS untuk meletakkan agenda pemerkasaan Islam pada satu lagi cabang dalam sistem kenegaraan kita. Jika badan-badan bukan kerajaan lain menumpukan gerak kerja yang berhubungkait dengan institusi pentadbiran atau disebut eksekutif, melalui pentas politik PAS berpeluang meneruskan gerak kerjanya di cabang perundangan atau disebut sebagai legislatif.
Ia dapat dicapai bilamana PAS menghantar calon-calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya bagi menduduki kerusi-kerusi dalam dewan-dewan perundangan sama ada Dewan Rakyat di peringakt persekutuan mahupun Dewan-dewan Undangan Negeri di peringkat negeri. Pada tahap ini, tumpuan PAS tentunya bukan sekadar hal-ehwal berkaitan pentadbiran dan eksekutif lagi.
Bagaimana isu teknikal dan birokrasi dalam selok-belok pentadbiran dan eksekutif hanya akan menjadi sebahagian tumpuan dalam aspek tugas di dewan-dewan perundangan. Yang lebih utama daripada menjadi entiti semak dan imbang, tugas para pendokong PAS sebaik berada dalam dewan-dewan perundangan termasuklah memastikan setiap perundangan yang ada mematuhi kehendak syariat Islam.
Dengan erti kata lain, dalam memastikan setiap perundangan itu bersifat patuh syariah, tugas penambahbaikan kepada isu-isu pentadbiran dan eksekutif akan terus berjalan di bahagian tersebut yang operasinya selari dengan badan-badan perundangan. Bahkan dalam memastikan isu-isu pentadbiran dan eksekutif diberi penambahbaikan, tugas para pendokong PAS yang menduduki dewan-dewan perundangan lebih kepada mengemukakan cadangan dan memantau prosedur sedia ada agar kelancaran pentadbiran tidak terganggu dengan pelbagai kerenah birokrasi.
Jika para pendokong PAS yang bergelar ahli-ahli Yang Berhormat hanya fokus dan menumpukan kepincangan dan kelemahan dalam birokrasi pentadbiran dan eksekutif, fungsi mereka sebagai penggubal perundangan akan terganggu dan terencat. Bahkan itulah seharusnya juga difahami oleh setiap mereka yang menduduki dewan-dewan perundangan yang peranan utamanya sebagai penggubal undang-undang.
PAS dan RUU 355
Sesuai dengan PAS badan siasah yang berteraskan Islam, tidak ragu-ragu lagi bahawa Islamlah kiblat dalam PAS berpolitik. Politik PAS adalah untuk Islam dan ia tidak mungkin akan dikompromi.
Apatah lagi apabila telah ada para pendokong PAS bergelar ahli-ahli Yang Berhormat, sudah pasti di sana tumpuan kami menjadikan sedaya dapat nilai-nilai syariat dilaksanakan dalam setiap perundangan. Tambahan pula di Malaysia yang mengamalkan dual-system iaitu sivil dan Islam, memperkasakan perundangan Islam itu tetap menjadi keutamaan PAS di arena perundangan dalam dewan-dewan perundangan yang dikuasai dan diduduki oleh para pendokong parti.
Yakni dewan-dewan perundangan yang kami kuasai sebagaimana di Kelantan dan pernah di Terengganu serta Kedah, PAS akan berusaha menggubal dan meluluskan perundangan yang sesuai dengan kehendak Islam. Ia tentu berbeza dalam dewan-dewan perundangan yang mana PAS hanyalah sebagai ahli biasa dan bukan kerajaan yang memerintah termasuklah di peringkat Parlimen Malaysia.
Dalam keadaan PAS hanya menjadi ahli biasa dewan, tetap memperkasa perundangan Islam menjadi agenda para pendokong PAS. Setiap ruang dan peluang akan dimanfaatkan bagi memastikan nilai-nilai patuh syariat diletakkan dalam setiap perundangan yang ada.
Lebih-lebih lagi dalam menekuni usaha membawa kesejahteraan kepada rakyat, perundangan Islam yang telah tersedia lengkap sudah tentu menjadi keutamaan dalam hal ini. Dalam memberi penilaian kepada apa yang dilakukan oleh para pendokong PAS dalam usaha ini sekali-kali tidak boleh mengesampingkan apa yang sedang dijuaraii oleh para petugas PAS dalam aspek-aspek yang selainnya yang saya contohkan di atas.
Keyakinan para pendokong PAS dalam membawa agenda Islam di setiap ruang dalam dewan perundangan tidak akan terpisah dengan prinsip-prinsip asas yang sedia termaktub di dalam Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias. Demikianlah dalam usaha RUU 355, dengan sifat Akta 355 ini sebagai perundangan induk kepada bidangkuasa jenayah Islam di Malaysia, ia sangat menairk perhatian. Sudah pasti antara fokus menjadi keutamaan kami adalah memastikan had hukuman di dalam Akta induk ini sehampir dan semampu boleh dekat kepada kehendak syariat.
Jika ada suara sumbang yang menuduh PAS sebagai mengutamakan politiknya dalam RUU 355, jawapan saya sudah tentu dalam bentuk positif. Mana mungkin PAS mengesampingkan politiknya yang diasaskan kepada Islam dalam setiap langkahan yang dilaksanakan. Politik yang dibawa oleh PAS adalah untuk kepentingan Islam. Asal ia memberi kredit kepada Islam, sekali-kali tidak akan ditinggalkan oleh PAS.
Salah faham dan cabaran halangan mendaulatkan Islam dalam perundangan.
Dalam mendepani pelbagai perbezaan pandangan (jika pun boleh dikatakan demikian), saya punyai pandangan yang berbeza. Apa yang perlu kami depani adalah salah faham dan cabaran halangan mendaulatkan Islam itu sendiri. Ia bukan sekadar perbezaan pandangan biasa.
Sekadar salah faham, saya percaya pelbagai program telah digerakkan bahkan sedang dan akan terus diusahakan oleh pelbagai pihak sama ada di dalam mahupun di luar organisasi PAS.
Yang perlu lebih diberi perhatian oleh mereka yang mendokong usaha mendaulatkan Islam ini adalah rupa bentuk cabaran kepada halangan mendaulatkan Islam itu sendiri. Bahkan cabaran ini lebih tersusun dan sukar ditangani tanpa perencanaan dan pemerhatian yang benar-benar rapi.
Begitu pula cabaran ini bukan hanya perlu ditanggapi oleh PAS, bahkan ia perlu diwaspadai oleh setiap pendokong Islam di mana saja kita berada.
Dalam memahami suasana bagi mendepani cabaran yang ada, beberapa perkara asas suka saya kongsikan dalam ruangan ini:
1.Dakyah-dakyah yang sengaja direkacipta bagi melengahkan dan menyulitkan usaha pemerkasaan undang-undang Islam.
2.Umat Islam yang tidak serius dalam mendaulatkan Islam kerana kurangnya ilmu dan pengetahuan.
3.Kebimbangan pihak-pihak anti Islam akan berdaulatnya Islam dalam perundangan.
Sekurang-kurangnya tiga cabaran inilah yang dapat saya ketengahkan pada waktu ini untuk sama-sama difikirkan. Cuba kita perhatikan satu persatu cabaran yang dinyatakan berikutnya.
“Dakyah yang sengaja direkacipta bagi melengahkan dan menyulitkan usaha pemerkasaan undang-undang Islam.”
Dapat kita saksikan pelbagai dakyah dan ungkapan diwujudkan bagi menjustifikasikan usaha menghalang dan menidakkan usaha yang sedang dijalankan bagi mendaulatkan Islam. Sama ada diwujudkan secara sengaja mahpupun kerana terpengaruh dengan pihak-pihak tertentu, apa yang jelas justfikasikasi yang direka itu kadangkala dilihat masuk akal.
Seumpama memperkasa undang-undang syariat di Malaysia haruslah dimulai dengan usaha pemerkasaan meningkatkan mutu dalam pentadbiran dan birokrasi pentadbiran keadilan mahkamah syariah. Dakyah ini seolah-oleh memkebelakangkan sistem legislatif, eksekutif dan judisiari yang sedang diamalkan di negara ini.
Sentiasa harus kita ingat bahawa sistem kenegaraan kita yang berasaskan tiga pemecahan kuasa iaitu legislatif, eksekutif dan judisiari berjalan saling beriringan. Masing-masing sentiasa perlu melalui proses penambahbaikan dan pemerkasaan.
Bagi RUU 355, ia adalah bidang tugas dan tanggungjawab khusus yang perlu dipenuhi oleh ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Begitu juga ungkapan perlunya suasana yang kondusif dan sejahtera rakyat untuk usaha memperkasa perundangan Islam mengambil alih. Bagi para pendokong PAS, ungkapan ini hanyalah olok-olokan yang sengaja diadakan. Keyakinan pendokong Islam hanya satu iaitu suasana yang kondusif, sentosa dan sejahtera adalah penghasilan daripada pemerkasaan undang-undang Islam itu sendiri.
Dengan kata-kata lain, suasana sejahtera rakyat akan terhasil sebaik perundangan Islam itu disempurnakan satu persatu dalam batasan kemampuan yang ada.
“Umat Islam yang tidak serius dalam mendaulatkan Islam kerana kurangnya ilmu dan pengetahuan”
Kejahilan umat Islam dan ketidakpedulian para pencinta Islam itu sendiri memberi ruang untuk pelbagai alasan dangkal disebarluas bagi menyulitkan usaha pemerkasaan perundangan Islam. Kadangkala alasan dan hujah sengaja dicipta dalam bahasa mudah dan perkiraan logik agar senang diterima dan disebar.
Dapat kita saksikan alasan diadakan dan terus berlegar biarpun pelbagai penerangan dan penjelasan diberikan namun ia umpama mencurah air di daun keladi. Alasan dan hujah yang sama dikitar semula untuk masa dan tempat yang berbeza.
Dalam mendepani cabaran inilah betapa perlunya umat Islam meletakkan asas kefahaman ilmu yang sebenar. Bagaimana memahami Islam yang perlu diterjemah dalaam suasana semasa sangat meruntun kesungguhan dan iltizam yang tinggi.
“Kebimbangan pihak-pihak anti Islam akan berdaulatnya Islam dalam perundangan”
Dua cabaran di atas akan sentiasa diintai oleh musuh-musuh Islam bagi memudahkan gerak kerja mereka. Mereka tidak perlu menzahirkan diri mereka yang sebenar. Begitu pula tidak perlu mereka mengisytiharkan penolakan mereka terhadap Islam itu sendiri.
Mereka cukup arif dan mengerti tentang sensitiviti setempat yang ada. Justeru, pelbagai strategi dan langkah penuh bijaksana disusun bagi mencapai hasrat dan matlamat yang mereka perjuangkan.
Status perundangan sedia ada perlu mereka pertahan. Aspirasi memperkasa perundangan Islam perlu dimatikan atau dimandul agar pertumbuhannya terencat dan terbantut.
Cukup kita menilai apa yang pernah disebut oleh Mahkamah Agong dalam suatu penghakiman pada tahun 1988, nilai moral atau Islam dalam perundangan bukanlah tugas mahkamah untuk ia diserlahkan. Ia adalah suatu tugas para aktivis, ahli-ahli politik dan dewan-dewan perundangan bagi memastikan asas perundangan atau disebut “Grundnorm” bertepatan dengan kehendak Islam.
Sebagai sebuah sistem perundangan yang melahirkan pelbagai statut melalui dewan-dewan perundangan, apa jua yang diperundangkan bersifat “creatures of the statut”. Dalam bahasa mudah, tiada harus dimasukkan sebarang aspirasi dalam perundangan selain apa yang termaktub secara nyata.
Dalam melaksanakan penerapan perundangan Islam yang sifatnya meliputi kerohanian selain secara zahir, secara istiqamah nilai-nilai bertepatan dengan Islam wajib diadakan dalam perundangan secara berterusan.
Usaha dalam memperkasakan perundangan Islam melalui RUU 355 dilihat sebagai langkah terkehadapan ke arah meletakkan Islam sebagai sistem yang berdaulat dalam perundangan negara. Inilah yang amat ditentang dan tidak dapat diterima oleh golongan anti Islam yang mempertahankan sistem perundangan yang tidak berasaskan nilai-nilai moral dan kerohanian.
Sebagaimana yang telah diperingatkan, mereka cukup arif perihal situasi dan keadaan sensitiviti setempat. Justeru pertentangan mereka cukup licik dan teratur. Mereka akan melakukan apa sahaja termasuklah mempamerkan wajah-wajah Islam bagi menyulit dan menghalang usaha pemerkasaan perundangan Islam.
Justeru jangan kita hairan dan pelik istilah-istilah seumpama Maqasid Syariah dan sepadan dengannya digunakan bagi menjustifikasikan sikap mereka dalam membangkang apa saja usaha sebagaimana dapat kita lihat dalam RUU 355.
Terus tekad dengan kepimpinan yang ada.
Saya cukup berkeyakinan betapa Yang Berhormat Tuan Guru Presiden cukup sedar rintangan dan cabaran yang kita depani. Yang perlu dilakukan setiap pendokong PAS adalah terus istiqamah dan menyokong dengan apa cara sekali pun dalam usaha yang sedang dilaksanakan.
Dalam pada itu, tajamkanlah pemerhatian kita dengan setiap perkembangan dengan ilmu dan kefahaman yang sebenar. Cabaran media terbuka pada hari ini sangat menuntut kewaspadaan para pendokong Islam bagi memilih maklumat yang tepat dan sebenar.
Di mana saja posisi kita berada, perkemaskanlah setiap usaha agar gahnya langkah tidak tercalar dengan kesilapan-kesilapan kecil dari dalam. Paling utama, teruslah perkuat pergantungan dan munajat kita kepada Allah SWT. Sesungguhnya tiadalah kekuatan kita melainkan apa yang Allah SWT kurniakan dan izinkan.