KUALA TERENGGANU 17 Mac - Timbalan Perdana Menteri hari ini mengesahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) memutuskan akan membentangkan sendiri Rang Undang-Undang 355 dalam sidang Parlimen kali ini.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak komited untuk menterjemahkan hasrat tersebut tanpa mengganggu-gugat kepentingan agama serta kaum lain di negara ini.
Beliau memberitahu, perkembangan itu memperlihatkan kerjasama kerajaan BN dengan 'rakan baharu' yang pernah menjadi musuh politik untuk sama-sama memelihara kesucian agama Islam dan kedaulatan bangsa Melayu tanpa menjejaskan kepentingan agama serta bangsa lain.
"Insya Allah dengan doa untuk kita menyatukan orang-orang Melayu. Biarlah kita kehilangan segelintir 'kawan' kita tapi kita akan dapat 'kawan baharu' yang kumpulannya lebih besar akan bersama-sama kita.
"'Kawan baharu' kita ini mungkin dulu musuh politik kita tapi mereka telah faham untuk sama-sama tangani masalah bersama (berkaitan agama Islam) dengan tidak mengenepikan agama lain," katanya.
Beliau yang juga Pemangku Timbalan Presiden UMNO menyatakan perkara itu ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan Peringkat Negeri Terengganu dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Peringkat negeri di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE
http://m.utusan.com.my/berita/nasional/ruu-355-kerajaan-akan-bentang-sendiri-1.458329#.WMvdb6EmQ7U.whatsapp