NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS Makin Disenangi dan Disaingi – Syahir Sulaiman

PAS perlu kekal sebagai watak pengimbang di antara persaingan ufuk kanan dan kiri politik tanahair (asobiyyah UMNO vs liberalisma DAP). Manakala dalam konteks pemikiran Islam, PAS perlu kekal sebagai sebagai watak penghubung di antara pertembungan ufuk kanan dan kiri pemahaman Islam (tradisionalis vs modernis).



"Dan demikian Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang pertengahan (adil dan pilihan) agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu." (Al-Baqarah: 143)

Bayangkan politik Malaysia tidak lagi dikuasai oleh pemimpin UMNO, yang sarat dengan rekod rasuah dan pecah amanah. 

Bayangkan pula rakyat Malaysia tidak lagi dibayangi prejudis pemimpin DAP, yang sarat dengan agenda sekuralisma dan liberalisma.

Inilah yang digambarkan oleh YB Ustaz Nik Abduh di dalam penulisannya yang panjang lebar tentang ‘bahaya UMNO yang dirasai’ dan ‘bahaya DAP yang dinanti’.

Persaingan Di Garis Tengah.

Terdahulu, penulis pernah mengenengahkan sebuah teori di dalam bidang ekonomi dan strategi pemasaran, yang dikenali sebagai The Hotelling’s Law.

Teori ini dinisbahkan kepada seorang ahli ekonomi Amerika yang bernama Harold Hotelling (1895 – 1973), terkenal dengan pemerhatian beliau terhadap persaingan dua pihak yang bagi meluaskan pasaran masing-masing. Teori tersebut menyatakan, pesaing-pesaing akan memaksimakan saiz pasaran (market share) dengan meminimakan perbezaan dan merapatkan diri ke titik tengah pasaran (middle ground).

Teori ini juga terpakai dalam politik, kerana ahli politik adalah seperti peniaga, bersaing untuk memaksimakan pasaran (pengundi), di mana majoriti pengundi berada di titik tengah populasi yang biasanya terbahagi mengikut taburan berbentuk loceng (bell-shaped population).

Dalam konteks politik Malaysia, PAS perlu kekal sebagai watak pengimbang di antara persaingan ufuk kanan dan kiri politik tanahair (asobiyyah UMNO vs liberalisma DAP). Manakala dalam konteks pemikiran Islam, PAS perlu kekal sebagai sebagai watak penghubung di antara pertembungan ufuk kanan dan kiri pemahaman Islam (tradisionalis vs modernis).

PAS Sentiasa Disenangi dan Disaingi.

Asas pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) serta blok politik Gagasan Sejahtera yang diterokai oleh PAS, adalah langkah mengekalkan konsistensi PAS berada di garis tengah.

Dalam aspek politik, rakyat dan anak muda dilihat semakin menjauhkan diri daripada retorik perjuangan Melayu asobiyyah oleh UMNO. 

Manakala rekod skandal rasuah dan pecah amanah dalam isu 1MDB, Felda, dan NFC menambahkan lagi gelombang penolakan rakyat terhadap UMNO, sehingga timbul desakan untuk Najib berundur sebelum PRU14 bagi memulihkan imej UMNO yang sangat buruk di mata rakyat dan anak muda sekarang.

Pada masa yang sama, rakyat dan anak muda semakin menjauhkan diri daripada sebarang unsur pluralisma dan liberalisma oleh DAP dan sekutunya.

Manakala rekod kelantangan DAP mempersoalkan kesucian agama Islam, konsisten menghalang dan mengelirukan rakyat terhadap pindaan Akta 355, dan yang terbaru pendedahan Pemuda PAS Pulau Pinang dalam kes campurtangan pengurusan fatwa di Pulau Pinang, menambahkan lagi penolakan orang Melayu dan anak muda terhadap DAP dan sekutunya. 

Menariknya di sebalik kecelaruan ini, rekod membuktikan bahawa PAS konsisten menentang rasuah, tidak pernah menghina kesucian Islam, dan tidak pernah menganggu kehidupan bukan Islam. 

Justeru, keberadaan PAS di garis tengah pastinya memberi kelebihan untuk menguasai pasaran politik dan dakwah yang lebih besar, kerana majoriti rakyat dan anak muda lebih selesa mengambil jalan tengah.

Malah, sirah telah membuktikan bagaimana dakwah Islam yang bermula di Makkah berada di titik tengah pertembungan tamadun Rom dan Parsi, dan natijahnya pendekatan dakwah Islam yang penuh hikmah ini berjaya membina tamadun yang berkembang ke segenap pelusuk dunia.

Inilah yang menyebabkan PAS semakin disenangi, dan akan terus disaingi.

- Syahir Sulaiman, Pengarah Strategi DPPM
- 3 Mac 2017
© all rights reserved
made with by templateszoo