Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.
Dewan seminar Hotel Marriott Putrajaya terasa panas membahang walau dialun dengan penghawa dingin kelas lima bintang. Pembentang mengungkapkan dengan penuh simpati dan empati, sarat dengan saranan, mengilas sejarah peta luka umat Islam ini. Arakan adalah Gaza Asia dan Malaysia adalah negara yang diharapkan untuk membantu krisis yang semakin memburuk terutama selepas tragedi pembantaian 2012.
Konferens Antarabangsa mengenai Rohingya yang dianjurkan oleh Yayasan Amal, IPSOM, Kesatuan Ulama SeDunia (IUMS) bertujuan membincangkan dengan teliti solusi membantu muslim Rohingya agar dapat keluar daripada kemelut panjang lebih separuh abad ini.
Konferens Antarabangsa yang menghimpunkan ramai cendekiawan, relawan, pengkaji sosio politik, penjawat awam daripada 13 buah negara ini, bermukim selama tiga hari di sini. Konferens tiga hari ini, setakat ini menjadi mercu tanda kesungguhan rakyat negara ini untuk membantu Muslim Rohingya pasca program "Food Flotilla for Myanmar" bulan Februari yang lepas. Malaysia walaupun agak terlewat memulakan langkah mulia ini, namun paling kurang hari ini disebut di peringkat antarabangsa, menjadi negara paling terkedepan dalam membantu Rohingya, selain kerajaan Turki.
Isu muslim Rohingya perlu digarap dengan berhati-hati, dengan kerapuhan isu agama dan etnik yang sangat mudah memicu kebencian, seterusnya mewabak kepada konflik berdarah di rantau ini. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Kesatuan Ulama melihat isu ini juga jangan sampai membenarkan rantau Asia Tenggara ini bergolak seterusnya mengundang campurtangan Barat. Mengapikan kebencian agama, antara Islam dan Buddha walhal konflik ini boleh diuruskan dengan lebih harmoni.
Setiap negara dalam dunia ini wajib mengambil langkah membantu penduduk Rohingya, memberikan fokus penyelesaian isu penindasan ini. Negara-negara yang menandatangani Perjanjian Hak Asasi atau terlibat dalam konvensyen Geneva, juga negara-negara Islam dibawah payung OIC serta seluruh aktivis bantuan kemanusiaan wajib mengembleng tenaga untuk menghentikan pembantaian, intimidasi dan perlanggaran terhadap hak etnik minoriti Rohingya.
Kezaliman regim Myanmar sangat sadis apabila separuh daripada muslim Rohingya telah meninggalkan tanah leluhur mereka, ada yang meregang nyawa di lautan atau menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Tiada layanan sebagai warganegara Mynmar kepada muslim Rohingya apabila mereka dinafikan kewarganegaraan. Saya berkongsi kepiluan dengan Ustaz Tarmizi Sulaiman pagi tadi, bagaimana usaha mengusir muslim Rohingya adalah melalui rekayasa pihak regim mynmar sendiri.
Pada tahun 2012, seorang gadis Buddha kononnya dirogol sehingga mati oleh pemuda Islam Rohingya, kalendar-kalendar dicetak dengan wajah gadis yang dirogol untuk menyalakan api permusuhan antara agama dan etnik. Isu ini digunakan untuk menyulut api perbalahan sehingga muslim Rohingya dibunuh beramai-ramai, pembakaran kampung, pembakaran masjid serta gadis-gadis muslim diperkosa oleh tentera Myanmar.
Peristiwa serangan 9 oktober 2016 oleh kelompok yang kononnya "jihadis" terhadap sebuah kem tentera kerajaan juga akhirnya menjadi alasan untuk serangan balas yang telah mengorbankan ribuan ummat Islam. Segalanya seolah drama terancang untuk menyudutkan orang Islam di kandang orang salah. Lebih setengah juta muslim Rohingya mengungsi ke Bangladesh, sebuah negara miskin yang tak menjanjikan sinar harapan bahagia buat pelarian.
Konferens Antarabangsa mengenai Rohingya ini juga akan menyalurkan resolusi perbincangan kepada kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan efektif serta seruan kepada seluruh dunia untuk bangkit bersuara serta membantu tragedi kemanusiaan terbesar di Asia Tenggara ini.