NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MCA sedia libatkan PAS dalam Forum Pindaan Akta Syariah

Jika PAS sanggup terlibat dan respons kepada soalan dan kebimbangan berkaitan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965, MCA “sangat gembira” untuk menjemput pemimpinnya bagi mengadakan perbincangan. - Ti Lian Ker

PETALING JAYA: Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA berkata parti itu bersedia untuk melibatkan PAS dalam satu forum mengenai usul pindaan syariah, dengan syarat ia dialog yang membina dan diadakan dengan cara bertamadun.

Ti Lian Ker berkata jika PAS sanggup terlibat dan respons kepada soalan dan kebimbangan berkaitan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965, MCA “sangat gembira” untuk menjemput pemimpinnya bagi mengadakan perbincangan.

“Tidak jadi masalah, asalkan ia tidak konfrontasi kerana kita di sini untuk bertukar idea dan mencari persamaan,” katanya kepada wartawan di Wisma MCA hari ini.

“Tetapi, kami takut dengan semangat mereka dalam melaksanakan (pindaan) kepada akta itu. Mungkin niat PAS baik, tetapi kebimbangan kami juga berasas,” katanya.

PAS memohon untuk meminda akta itu, bagi membenarkan hukuman lebih keras pada pesalah syariah, langkah yang dilihat sebagai batu loncatan kepada pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Ti berkata semua orang ada alasan untuk berasa bimbang yang pindaan syariah itu menjadi senjata agama dengan kuasa hingga menimbulkan faktor ketakutan dalam kalangan masyarakat umum.

“Bila orang guna agama, ada faktor ketakutan dan orang akan selalunya berhati-hati,” katanya.
Beliau berkata mana-mana manusia normal akan takut apabila undang-undang agama dikuatkuasakan.

“Manusia ada kelemahan dan kelemahan itu mungkin menyebabkan manusia pilih jalan keluar mudah, menggunakan kuasa agama untuk memerintah orang lain. Itu yang kami takut,” katanya.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendesak supaya hukuman pesalah syariah dinaikkan dengan penjara hingga 30 tahun, 100 sebatan dan denda RM100,000 menerusi rang undang-undang yang dibentangkan di Dewan Rakyat tahun lalu.

Hukuman syariah pada masa ini mengenakan hukuman penjara maksimum 3 tahun, sebatan tidak lebih 5 rotan dan denda sehingga RM5,000.


© all rights reserved
made with by templateszoo