Saya tidak menerima apa-apa laporan kecemasan mengenai Korea Utara
MUAR: Ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara tidak sampai membawa kepada peperangan, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
"Jika diikutkan situasi di semenanjung Korea dan geopolitik antara Korea Utara dengan Amerika Syarikat dan Korea Selatan adalah lebih teruk lagi.
"Saya tidak menerima apa-apa laporan kecemasan mengenai Korea Utara," kata Menteri Pertahanan itu ketika ditemui pada Sabtu selepas merasmikan mesyuarat Umno Muar di ibu pejabat bahagian di sini.
Hishammuddin berkata kerajaan masih meneruskan saluran diplomatik untuk menyelesaikan krisis dengan Korea Utara.
Jelasnya, rundingan sedang dijalankan untuk mencari jalan penyelesaian terhadap isu tersebut.
"Kabinet baru-baru ini memutuskan dua isu utama dan keselamatan rakyat negara ini yang terkandas di Pyongyang menjadi keutamaan kita.
"Perkara lain adalah memastikan siasatan terhadap kes kematian Kim Jong-nam dilakukan secara telus untuk mencari kebenaran," katanya.
Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dibunuh di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) pada 13 Februari lalu selepas disembur cecair beracun oleh dua wanita di mukanya.---mstar