Cadangan pindaan Akta 164 ini adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Sekiranya kerajaan berhasrat mengehadkan hak mualaf di sisi undang-undang dan tidak menerima kemasukan Islam anak bawah umur, kerajaan harus melakukan pindaan Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu dan bukan sekadar berpolemik meminda Akta 164 sahaja.
Kerajaan dilaporkan membentang rang undang-undang bagi meminda Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau dikenali juga sebagai Akta 164 untuk bacaan kali pertama pada sidang parlimen kali ini.
Pada umumnya terdapat beberapa perkara penting dibawa kerajaan dalam rang undang-undang tersebut.
Pertama, jika selama ini orang yang menganut Islam tidak mempunyai hak untuk memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan melalui seksyen 51 akta berkenaan, pindaan ini mengusulkan agar mualaf turut dibenarkan untuk membubarkan perkahwinannya mengikut undang-undang sivil sama ada berdasarkan pemelukan Islam ataupun kausa tindakan lain.
Kedua, anutan anak mualaf ini kekal pada agama asalnya dan hanya boleh ditukar jika kanak-kanak ini mendapat persetujuan kedua belah pihak.
Dan ketiga, pindaan yang dicadangkan itu dikatakan mempunyai kesan terkebelakang (restrospektif).
Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengalu-alukan cadangan setakat mualaf diberikan hak untuk memfailkan pembubaran perkahwinan mereka.
Selama ini begitu banyak kezaliman dilakukan terhadap mualaf apabila hak mereka tidak diiktiraf mengikut Akta 164. Malah mualaf ditohmah ingin melarikan diri daripada tanggungjawab menyara keluarga sedangkan tanggungjawab menyara keluarga dalam hukum syarak tidak terhenti walaupun selepas berbeza agama.
Apa yang lebih menyedihkan seksyen 51 Akta 164 dilihat seolah-olah menghukum mualaf kerana keislaman mereka. Namun sebenarnya apabila seseorang itu telah memeluk Islam, hak beliau mengamalkan agamanya adalah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Amat malang sekiranya kebebasan beragama dinafikan kepada golongan mualaf seolah-olah Perlembagaan Persekutuan tidak memberi jaminan kepada mereka untuk mengamalkan agamanya.
Ibu, bapa boleh tentukan
Jika pembubaran dilakukan di mahkamah sivil ia hendaklah tidak menghakis hak beragama mualaf yang dijamin undang-undang termasuk mengamalkan undang-undang dirinya sebagaimana termaktub di dalam Undang-Undang Keluarga Islam yang berkuat kuasa.
Mengambil pendekatan menyelesaikan isu ini diperingkat Akta 164 sahaja hanya akan menafikan hak kebebasan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Berkaitan dengan agama anak mualaf yang dicadangkan kekal pada anutan asalnya atau hanya ditentukan atas persetujuan kedua ibu bapa pula, isu ini perlu dilihat dari sudut Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 12(4) menyebut agama bagi seseorang yang berumur kurang daripada 18 tahun ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya.
Dalam kes Subahsini lawan Saravanan, Mahkamah Persekutuan - iaitu mahkamah tertinggi dalam negara - mentafsirkan bahawa Perkara 12(4) ini bermakna, mana-mana ibu atau bapa atau penjaga boleh menentukan agama seseorang anak di bawah umur 18 tahun.
Oleh itu sebarang undang-undang yang mengkehendaki ibu bapa bersetuju bagi menentukan agama anak berusia bawah 18 tahun adalah tidak berperlembagaan dan berisiko akan dibatalkan.
Jika kita telusuri sejarah melalui Ordinan Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 1952 kita akan dapati, apabila seseorang itu memeluk Islam, anak mualaf tersebut secara automatik akan beragama Islam.
Kini kedudukannya berubah apabila Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 diluluskan dan menetapkan keislaman anak tersebut diperlukan didaftarkan dan hendaklah salah seorang ibu atau bapa tersebut bersetuju atas pemelukan itu.
Namun kini, undang-undang baru ingin diperkenal memerlukan kedua-dua ibu bapa bersetuju. Sudahlah ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, umat Islam mundur lagi daripada keislaman yang bersifat automatik dengan pelbagai syarat dikenakan untuk menganut Islam.
Isu agama anak bawah 18 tahun ini perlu dibezakan dengan isu hak jagaan anak kerana hukum syarak lebih berlapang dada membenarkan ibu yang tidak beragama Islam memelihara anak kecilnya.
Agama anak berusia kurang 18 tahun perlu dikekalkan kedudukan sekarang kerana selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Persoalannya, di manakah kedudukan istimewa Islam dan orang Islam di Malaysia?
Adakah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan - yang menjadikan Islam sebagai "agama bagi Persekutuan" dan Undang-undang tubuh semua negeri di Malaysia selain Sarawak juga menjadikan Islam sebagai "agama bagi negeri" - hanya dekorasi saja dan tidak mempunyai apa-apa kesan perundangan?
Bagaimana pula dengan sumpah Yang di-Pertuan Agong (ketika baginda menaiki takhta) untuk memelihara Islam pada setiap masa seperti termaktub dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan? Adakah ia hanya upacara rasmi tanpa sebagai obligasi berperlembagaan?
Isu ketiga yang ingin PPMM ulas di sini adalah sifat retrospektif pindaan yang dicadangkan.
Undang-undang negeri perlu diseragam
Difahamkan kesan pindaan tersebut bersifat ke belakang. Ia bermakna pindaan yang dicadangkan ini memberi kesan kepada kes-kes yang masih belum diputuskan.
Kenapakah pendekatan ini diambil? Terdapat pelbagai kes yang telah diputuskan mahkamah dan kesan pindaan ini hanya akan memperlekehkan keputusan telah dibuat.
Adalah amat jarang pendekatan sebegini diambil dalam pindaan undang-undang kerana ia akan menjadikan sesuatu perkara yang sah menjadi tidak sah. Pendekatan sebegini juga haruslah dielakkan.
Kesimpulannya bagi saya cadangan pindaan Akta 164 ini adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Sekiranya kerajaan berhasrat mengehadkan hak mualaf di sisi undang-undang dan tidak menerima kemasukan Islam anak bawah umur, kerajaan harus melakukan pindaan Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu dan bukan sekadar berpolemik meminda Akta 164 sahaja.
Mengehadkan hak mualaf terjurus dalam isu agama Islam dan dewan undangan sesebuah negerilah yang mempunyai kuasa menentukannya.
Malah Majlis Raja-Raja juga perlu dirujuk untuk mendapat perkenan baginda dalam perkara ini. Undang-undang pelbagai negeri juga perlu dipinda bagi menyeragamkannya.
Tindakan hanya meminda Akta 164 akan menimbulkan lebih banyak pertikaian undang-undang berbanding menyelesaikan masalah.
Sebagai contoh seksyen 51A yang dicadangkan memberi impak jika mualaf meninggal sebelum pembubaran perkahwinan dilakukan, maka pusaka individu tersebut dibahagikan kepada mana-mana pihak berkepentingan - terdiri daripada pasangan dan anak-anak hasil perkahwinan tersebut serta ibu bapa.
Jelas di sini peranan baitulmal dan hukum syarak telah diketepikan sama-sekali dan ia menghakis kuasa sultan yang merupakan ketua agama dan yang menubuhkan baitulmal di bawah majlis-majlis agama.
Kerajaan juga tidak mengambil kira ketetapan Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak/Sivil ke-19 pada 27 hingga 29 April 2009 yang dianjurkan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak/Sivil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pada persidangan itu peserta sebulat suara memutuskan, antara lain, mana-mana pasangan bukan Islam yang memeluk Islam dan mempunyai anak di bawah umur 18 tahun hendaklah menjadi orang Islam kerana ia selaras dengan hukum syarak.
Jelaslah pindaan yang disyorkan kini tidak mengambil kira ketetapan yang dihadiri alim ulama seluruh negara.
PPMM sekali lagi mencadangkan kerajaan agar semua undang-undang berkaitan isu ini dikaji semula dan suatu badan atau tribunal bebas dari mahkamah sivil atau mahkamah syariah diwujudkan bagi menangani isu kekeluargaan mualaf secara mediasi.
Melalui mediasi kes-kes tidak akan disensasikan dan persetujuan secara menang-menang dapat diperolehi bersama. Trend sedunia juga kini tidak lagi mementingkan perbicaraan secara litigasi dalam kes kekeluargaan tetapi diselesaikan secara mediasi.
Moga isu-isu kekeluargaan sebegini dapat diselesaikan dengan cara yang lebih berhemah dan tidak mencetuskan kontroversi.
Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia