JOHOR BAHRU - Sebanyak 195,000 permohonan Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) Yayasan Sultan Ibrahim diterima setakat jam 7 petang tadi.
Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, permohonan masih lagi dibuka kepada semua rakyat negeri ini, secara dalam talian.
"Sebanyak 195,000 permohonan diterima bagi Rumah Impian Bangsa Johor sehingga jam 7 petang tadi.
"Saya terharu dengan maklumbalas yang diterima," katanya mengesahkan jumlah permohonan yang diterima di sini hari ini.
Kamaruzzaman berkata, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut bertitah baginda amat berbesar hati dengan kehadiran rakyat Johor yang di luar jangkaan pada majlis pra pelancaran RIBJ petang tadi.
Katanya, Sultan Ibrahim turut mengingatkan rakyat untuk tidak mempercayai mana-mana pihak yang mendakwa boleh mendapatkan RIBJ menerusi saluran lain, selain permohonan hanya dibuat menerusi www.yayasansultanibrahim.org.my.
Selain itu, baginda Tuanku turut bertitah hanya mereka yang benar-benar layak menerusi proses saringan dan pemilihan yang ketat sahaja akan dianugerahkan dan boleh memiliki RIBJ.
Terdahulu, ribuan rakyat Johor hadir menyaksikan majlis pra pelancaran RIBJ berlangsung di pusat beli belah Galleria@Kotaraya, di sini, yang disempurnakan oleh sendiri Sultan Ibrahim petang tadi.
Projek itu bermula hasil cetusan idea Sultan Ibrahim bagi membantu rakyat yang masih belum memiliki rumah dengan RIBJ.
Sebanyak 1,840 unit RIBJ disediakan kepada rakyat di negeri ini, yang masih belum mempunyai kediaman sendiri.
Kesemua unit kediaman yang ditawarkan dengan harga antara RM80,000 hingga RM420,000 itu akan dibina di tiga kawasan berbeza meliputi Bandar Dato' Onn, Bandar Baru Majidee dan Bukit Saujana.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/195-000-rebut-peluang-miliki-rumah-impian-bangsa-johor-1.647880