Dengan PKR pun kita akan buat keputusan masa muktamar ini - Presiden PAS
AMPANG: PAS akan mengkaji semua hubungan dan kerjasama dengan PKR, sama ada mahu diteruskan atau tidak pada muktamar parti itu, April ini.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata alasan untuk berbuat demikian kerana parti pimpinan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu masih menjalin hubungan dengan DAP, parti yang jelas menolak dasar Islam diperjuang PAS.
"Dengan PKR pun kita akan buat keputusan masa muktamar ini," katanya ketika menjawab soalan media mengenai tempoh sebulan diberi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, sama ada parti itu mahu menyertai pakatan pembangkang atau tidak.
Terdahulu, Ahli Parlimen Marang itu dalam jawapan balas segeranya terhadap tempoh diberi Dr Mahathir itu, Abdul Hadi berkata, "tidak perlu tunggu sebulan sebab mereka sudah ada hubungan dengan DAP dan Parti Amanah Negara".
Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata kerjasama parti itu dengan PPBM masih terbuka, terutama berkaitan dengan perkara yang membawa kebaikan kepada ummah dan Islam.
Menyentuh Himpunan Akta 355 dijadual di Padang Merbok, Sabtu ini, Abdul Hadi berkata, ada maklum balas positif diterima dari parti tertentu, namun tidak mahu menyatakan parti mana.
"Kita tunggu Sabtu ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kebajikan Anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS di ibu pejabat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini, pagi ini.
http://www.bharian.com.my/node/247250?m=1