NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Himpunan RUU 355: Lautan ungu penuhi Padang Merbok


.
Himpunan RUU 355: Lautan ungu penuhi Padang Merbok
PESERTA Himpunan 355 menunaikan solat zohor yang diimamkan oleh PESERTA Himpunan RUU 355 menunaikan solat zohor yang diimamkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Ahmad Yakob di Padang Merbok hari ini. - UTUSAN ONLINE/MD. SHAHJEHAN MAAMIN
18 Februari 2017 4:06 PM
5
KUALA LUMPUR 18 Feb. - Ribuan peserta Himpunan 355 mula membanjiri Padang Merbok di sini hari ini bagi menyatakan sokongan mereka ke atas usaha memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah di negara ini.
Kebanyakan peserta tampil mengenakan baju berwarna ungu yang turut tertera tema perhimpunan 'Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera' dan 'kami sokong pindaan Akta 355' sebagai tanda solidariti kepada pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).
Mereka dilihat menunaikan solat zohor berjemaah yang turut disertai Menteri Besar Kelantan merangkap Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob.
Himpunan 355 yang bermula 2 petang hingga 11 malam ini, bertujuan untuk memberi penerangan kepada orang ramai khususnya umat Islam mengenai pindaan terhadap akta berkenaan serta memperbetulkan persepsi negatif terhadap pindaan akta itu.
Platform itu juga digunakan untuk memperjelaskan kewajaran usul Rang Undang-Undang Persendirian yang dibawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkaitan pindaan akta itu dan mengapa ia mesti disokong oleh semua umat Islam, khususnya anggota Parlimen.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman berkata, keadaan di kawasan berkenaan masih terkawal dan diawasi oleh pihak polis.
"Saya menasihatkan penganjur dan peserta akur terhadap setiap peraturan dan undang-undang Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pelbagai aturcara telah disusun sepanjang himpunan berkenaan antaranya ucapan daripada wakil beberapa pertubuhan dan badan-badan bukan kerajaan berkaitan agama termasuk bukan Islam serta tazkirah oleh beberapa tokoh termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Abdul Hadi.
Wakil Persatuan Hindu Pahang, N. Bala Subramaniam ketika berucap pada himpunan itu menyifatkan orang bukan Islam tidak sepatutnya takut dengan pindaan akta itu kerana ia tiada kaitan dengan mereka.
"Sepatutnya perkara ini tidak dijadikan isu," katanya.

Penceramah bebas Sivan Duraisamy pula menjelaskan Rang Undang-Undang 355 bertujuan untuk memperkasakan syariat Islam dan bukan untuk memecahbelahkan perpaduan negara.
"Islam sejak dulu telah tunjuk nilai keadilan, sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W. ketika berhijrah ke Madinah di mana piagam Madinah dibentuk dan orang bukan Islam turut menyokongnya," katanya mengulangi bahawa pindaan akta itu tidak menghalang kebebasan agama lain.
Antara yang kelihatan hadir pada sesi himpunan petang ini ialah Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar dan Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir. - BERNAMA

.
© all rights reserved
made with by templateszoo