Himpunan ini bukanlah demonstrasi tetapi untuk menunjukkan dalam Islam, seluruh umat bersatu tidak mengira fahaman bagi mendaulatkan hukum agama.
KOTA BHARU: UMNO Kelantan meminta rakyat negeri ini turut hadir ke Himpunan Rang Undang Undang 355 (RUU 355) bagi menunjukkan sokongan terhadap usaha untuk mendaulatkan Islam di negara ini.
Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Md Alwi Che Ahmad (gambar) berkata umat Islam wajib hadir bagi menunjukkan rasa tanggungjawab mendaulatkan Islam.
Katanya, setiap umat Islam tidak mengira parti politik perlu hadir bagi menyatakan sokongan terhadap usaha PAS dalam meletakkan Islam di peringkat tertinggi.
"Ketepikan soal politik dalam isu ini kerana Islam adalah milik semua dan bukan alat politik semata-mata," katanya ketika di temui di Dataran Rehal, di sini, tadi.
Alwi berkata, himpunan ini bukanlah demonstrasi tetapi untuk menunjukkan dalam Islam, seluruh umat bersatu tidak mengira fahaman bagi mendaulatkan hukum agama.
"Kita ingin tonjolkan bahawa undang-undang Islam perlu diperkasakan dan rakyat sokong RUU 355," katanya.
Himpunan itu akan diadakan pada Sabtu ini di Padang Merbok, Kuala Lumpur dan dijangka menarik kehadiran lebih 50,000 umat Islam dari seluruh negara.
Sumber : http://www.bharian.com.my/node/248861