NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

12 Kejayaan Unik #H355

Kejayaan #H355 turut menjadi indikator bahawa PAS mampu mencipta, mengepalai dan mengawal keinginan rakyat.

Objektif utama penganjuran #H355 tentu sekali bagi menunjukkan sokongan terhadap RUU355 yang menjadi polemik hangat politik tanahair ketika ini. Ia bertujuan memberi signal kepada para ahli parlimen muslim untuk menyokong RUU ini. Justeru kejayaan sebenar H355 adalah apabila parlimen berjaya meluluskannya dalam sidang akan datang.

Namun di sebalik itu, #H355 telah berjaya mencipta banyak kejayaan sampingan yang tidak kurang besarnya kepada tanahair. Untuk tidak memberatkan pembaca, saya ringkaskan ianya kepada 12 sahaja.

1. KEJAYAAN MENGANJUR HIMPUNAN SEMATA-MATA ATAS NAMA ISLAM

Melalui #H355, PAS berjaya memainkan peranan yang sejak sekian lama diperjuangkannya iaitu membangkitkan kesedaran ummah tentang Islam. H355 sangat berbeza dengan himpunan-himpunan lain sebelum ini samada dalam atau luar negara. Walaupun ada himpunan yang turut dianjur oleh gerakan Islam lain seperti PAS di luar sana, tetapi himpunan tersebut tidak semata-mata atas sentimen agama.

Kebanyakannya himpunan atau demonstrasi lain menumpang sentimen kemanusiaan, penindasan atau penyelewengan untuk menarik peserta. Baik himpunan revolusi, Palestin, menentang penjajah atau sebagainya, semuanya itu memiliki nilai moraliti yang dikongsi bersama tanpa mengira batas agama.

Berbeza dengan H355, ianya mutlak atas nama Islam. Ia tidak ada kena mengena dengan soal penindasan, penyelewengan dan seumpamanya. Walaupun ada wakil BN yang berucap di pentas H355, tetapi imej penyelewengan dan kekejaman BN tidak memberi kesan signifikan terhadap kehadiran peserta.

Ini menunjukkan peserta benar-benar hadir atas sentimen pembelaan agama. Mereka hadir kerana faham. Inilah kejayaan unik PAS yang tidak ada dalam sejarah mana-mana bangsa.

2. KEJAYAAN MENUNJUKKAN HIMPUNAN PALING SISTEMATIK DAN PROFESIONAL

Sebuah lagi kejayaan unik buat PAS adalah berjaya menunjukkan contoh sebuah perhimpunan tanpa yang teratur, aman, bersih dan harmoni tanpa provokasi pra-matang. Dengan penyelarasan yang sangat baik antara sekretariat himpunan dengan pihak keselamatan dan DBKL, himpunan ini sangat berbeza dari himpunan anjuran pihak-pihak lain.

Berbanding dengan himpunan gergasi seperti GST dan beberapa siri Bersih anjuran pihak lain, himpunan kali ini sangat harmoni bermula dari peringkat perbincangan lagi. Tiada sebarang kontroversi yang timbul. Syarat ‘tuan tanah’ dipatuhi, rundingan dilakukan secara profesional tanpa melibatkan media sebagai pencetus propaganda mempengaruhi pertimbangan pihak berwajib.

Ia boleh dianggap satu kejayaan bagi menjadikan hujah selepas ini bahawa perhimpunan atau demokrasi tidaklah semestinya berakhir dengan kerugian. Ia juga boleh mematahkan pendapat agamawan yang mengharamkan demonstrasi atas alasan huru-hara.

3. KEJAYAAN KHUSUS BUAT JABATAN AMAL

Pujian wajar diberikan kepada Jabatan Amal Malaysia. Merekalah tulang belakang H355. Banyak kerja-kerja jentera kerajaan dipermudahkan oleh mereka. Baik dari kawalan lalu lintas, parkir kenderaan, bantuan kecemasan hinggalah mengawal provokasi yang cuba dicetuskan. Tindakan pantas menangkap seorang lelaki yang membakar bendera DAP perlu dibanggakan. Selain Jabatan Amal, tiada pihak yang dilihat memainkan peranan sebegini selain pihak polis dalam mana-mana himpunan.

Kalau saya tidak tersilap, belum ada gerakan Islam atau parti politik lain yang memiliki sebuah organisasi unik seperti Jabatan Amal. Tanpa gaji, tanpa keuntungan politik, tanpa kemasyhuran dan tanpa sebarang ganjaran, PAS berjaya menghimpunkan ribuan sukarelawan ikhlas seluruh negara melakukan kerja-kerja amal kerana Allah. H355 berjaya menunjukkan kepada dunia seluruhnya, organisasi di bawah PAS ini adalah entiti yang sangat berkaliber.

Berdasarkan prestasi yang semakin baik, Jabatan Amal wajar diberikan anugerah merit oleh pihak keselamatan negara. Mereka juga boleh diangkat sebagai sukarelawan keselamatan rasmi yang diberikan kepercayaan oleh pihak polis seperti skuad Rela. Sekiranya ada pihak lain mahu meminta permit menganjurkan sebarang himpunan, pihak polis boleh mengsyaratkan agar penganjur melantik Jabatan Amal sebagai pengawal keselamatan.

4. KEJAYAAN MENARIK SOKONGAN RAKYAT TANPA PEMBANGKANG LAIN.

Kejayaan seterusnya adalah membuktikan kepada semua kumpulan pembangkang lain, PAS mampu berdiri di atas kaki sendiri. Ratusan ribu yang hadir mampu menutup pengkritik yang mengatakan PAS bakal tenggelam dari arus politik negara jika tidak bersama blok Pakatan Harapan.

Ini sekaligus membuktikan idea PAS membentuk blok politik ketiga bukan sebuah retorik. Penyertaan beberapa parti kecil dan ratusan NGO bersama blok Gagasan Sejahtera sudah cukup untuk membuktikan PAS memahami tuntutan sebilangan besar rakyat Malaysia.

Hakikat yang tidak dapat dinafikan, PAS memiliki kekuatan sendiri dan tidak perlu menumpang pihak lain. Perkara ini sememangnya sudah dapat dikesan awal oleh parti politik lain samada pemerintah mahupun pembangkang. Kerana itulah Umno terus mencari peluang bekerjasama dengan PAS. PH dan sekutu yang sebelum ini mendabik dada kesombongan menyisihkan PAS, kini sanggup berlutut dan cium kaki demi mengharap PAS bersama.

5. KEJAYAAN SENI KERJASAMA DENGAN KERAJAAN

Kejayaan seterusnya adalah mengambil peluang dari kerjasama dengan kerajaan. Walaupun ramai pihak mengecam sikap PAS yang tidak ‘lawan cacang’ kerajaan, tetapi PAS tidak mempedulikannya. Dalam isu RUU355, ramai berkata PAS telah ditipu Umno. Dakwa mereka, Umno tidak ikhlas menyokong RUU355. Umno hanya gunakan isu ini untuk selamatkan diri yang sudah kelemasan. Kalau betul Umno ikhlas, sudah lama mereka lakukan kerana PAS sudah membawa perkara ini di Parlimen sejak sekian lama.

Tidak dinafikan ada munasabah semua pandangan itu. Tetapi PAS bijak menggunakan peluang yang terhidang untuk mencapai matlamat perjuangan dan dalam masa yang sama tidak merugikan imej politik. Kalau benar Umno hanya berlakon untuk mengembalikan sokongan, mereka telah tersilap langkah kerana yang naik nama dalam isu RUU355 dan juga H355 adalah PAS dan bukannya Umno. Mereka cuma menyebabkan ahli Umno sendiri yang tertarik kepada PAS, tanpa ahli PAS atau non-partisan lain tertarik dengan mereka.

Sama juga seperti isu Rohingya. Umno melalui jentera kerajaan mengambil peluang semaksima mungkin untuk membuktikan mereka juara isu ini. Tetapi kajian terbaru Merdeka Center menunjukkan majoriti responden selain dari bersetuju dengan kerjasama tanpa mengira batas politik dalam isu ini, mereka juga bersetuju tindakan Umno hanya bersifat politik.

6. KEJAYAAN MENGEPALAI ISU

PAS sebagai sebuah parti politik bukan kerajaan. Tetapi mampu menganjurkan sebuah himpunan dengan melibatkan tokoh tertinggi kerajaan seperti Menteri dan Mufti selain bekas-bekas menteri, wakil rakyat serta pegawai kerajaan berpangkat JUSA. Turut hadir adalah tokoh-tokoh dari NGO-NGO berpengaruh negara seperti para ayahanda Pekida dan Perkasa.

Perkara ini adalah satu lakaran kejayaan ke arah kematangan politik negara. PAS membuktikan bahawa walaupun dikategorikan sebagai pembangkang, tetapi mampu membawa budaya politik yang sangat matang sebaris kemajuan politik negara-negara maju. Berdiri di atas satu tujuan, PAS berjaya membuang sentimen lain yang menyebabkan perpecahan. Bukti BPMS bukanlah gagasan bersifat retorik.

Kejayaan H355 turut menjadi indikator bahawa PAS mampu mencipta, mengepalai dan mengawal keinginan rakyat. Umum mengetahui sejak dari awal, RUU355 adalah dicetuskan oleh PAS sendirian. Walaupun tanpa sokongan media arus perdana dan turut mendapat tentangan dari portal siber terkemuka, PAS tetap berjaya mengetengahkan idea mereka di persada negara.

7. KEMAMPUAN PAS MENGAMBIL ALIH KERAJAAN

Kejayaan H355 sekaligus membuang keraguan dari kepala rakyat yang takut melakukan perubahan. Dengan berbagai kesusahan yang dirasa, rakyat sedar negara perlukan perubahan dalam pentadbiran kerajaan. Tetapi yang menjadi penghalang selama ini adalah persoalan seperti apakah pengganti ini lebih baik dari yang sedia ada? Apakah jaminan tidak berlaku kekacauan sekiranya kerajaan berubah?

Selama ini rakyat takut untuk bersama pembangkang kerana bimbang huru-hara tercetus. Revolusi demi revolusi yang berlaku di peringkat antarabangsa menyebabkan rakyat fobia untuk berubah. Ditambah sikap parti pembangkang lain yang mesra keganasan dan cuba mengimport pendekatan Arab Spring dalam mengguling kerajaan, ini semua menjadi faktor kerajaan sekarang masih dikekalkan.

Pasca H355, PAS sudah buktikan bagaimana harmoninya pendekatan politik yang PAS amalkan. Tidak menimbulkan masalah dengan pihak keselamatan, mengundang pihak dari berbagai segmen dan ideologi, mengurus dengan baik aset kerajaan, rundingan yang matang, mematahkan cubaan provokasi dengan berhemah, memiliki pasukan sehebat Jabatan Amal dan ratusan ribu ahli yang patuh arahan dan cintakan keamanan, semua ini sepatutnya sudah menghilangkan keraguan bahawa PAS mampu mengendalikan peralihan kuasa dengan baik.

8. KEJAYAAN MENARIK GOLONGAN ATAS PAGAR

Walaupun boleh dikatakan hampir semuanya adalah melayu muslim, peserta H355 datang dari berbagai kumpulan. Ramai dikalangan mereka yang sebelum ini tidak pedulikan politik dan tidak berpihak kepada mana-mana (atas pagar). Golongan inilah yang menjadi penentu politik tanahair. Nisbah golongan yang sudah memiliki ideologi politik pula sedikit sahaja.

Masalah golongan ini ialah mereka tidak minat politik. Kalau mereka mengundi, mereka akan buat keputusan di saat akhir iaitu beberapa hari menjelang pilihanraya. Ini yang menyebabkan mereka mudah menerima dakyah media.

PRU13 lepas, isu yang menguasai minda mereka adalah PAS kuda DAP. Umno memainkan isu ini dengan jayanya melalui setiap medium yang dimiliki. Golongan yang bimbang ancaman terhadap agama Islam dalam negara tetapi tidak mengambil tahu isu politik memang mudah termakan.

Walaupun selepas berputus dengan DAP, golongan ini masih ingat PAS bersama DAP. Tetapi dengan apa yang dilihat semasa H355, PAS sudah membuang sentimen itu dan Umno sudah tiada alasan lain untuk menyerang PAS.

9. KEJAYAAN MENGIKIS SIKAP ANTI-POLITIK

Ada yang masih alergik dengan politik kerana menganggap politik telah memecahbelahkan perpaduan negara. Jika dibelek lipatan sejarah negara, memang perkara ini berlaku. Kerana politik, sanggup putus silaturahim, bermusuhan malah berbunuhan. Politik kebencian ini disemai melalui media-media arus perdana sejak sekian lama. Sebelum ini belum ada gagasan politik matang yang dibawa.

Tetapi PAS berjaya membawa imej baru politik melalui H355 ini. PAS masih berperanan di medan politik, tetapi menggunakan politik sebagai medan penyatuan ummah. PAS membuang segala tohmahan yang mengaitkan politik sebagai punca perbalahan.

Ada NGO-NGO yang sebelum ini ditubuhkan kerana muak dengan budaya politik negara. Tetapi setelah PAS memperkenalkan blok ketiga Gagasan Sejahtera, mereka bersetuju untuk bersama. Dalam isu RUU355 pula, mereka sudah menerima politik PAS!

10. KEJAYAAN MELEBAR LUAS RUANG DAKWAH

Dahulu, institusi kerajaan, media massa, NGO mahupun rakyat awam sangat takut untuk bercakap mengenai syariat Islam apatah lagi bab hudud. Sekiranya mereka dikesan menyokong perkara berkaitan syariat atau hudud, terus akan dicop sebagai pembangkang lalu menerima berbagai tekanan. Kakitangan awam ditukar ke sana sini. Peniaga dan sektor swasta akan dianak tirikan. NGO akan diganggu operasinya. Orang awam akan dinafikan hak, bantuan ataupun subsidi. Pekara ini biasa kita dengar zaman-berzaman.

Selepas PAS membawa agenda RUU355 dengan memanfaatkan kedudukan politik pemerintah yang lemah, PAS berjaya memecahkan tembok ketakutan yang selama ini menghantui banyak pihak. Oleh kerana RUU355 yang jelas memiliki elemen penegakan syariah Islam disokong secara terbuka oleh pihak kerajaan, orang ramai tidak lagi takut berbicara mengenainya.

Menerusi H355, ada Menteri dan juga mufti yang berbicara lantang penuh tegas mempertahankan hak umat Islam menerima RUU355. Sebelum itupun, sudah banyak siri-siri penerangan RUU355 dilakukan atas nama kerajaan. Sikap mereka telah menjadi modal kepada orang bawahan untuk turut memainkan peranan secara terbuka. Di kementerian, jabatan, pusat pentadbiran atau apa jua institusi kerajaan, orang sudah tidak teragak-agak bercakap mengenai Islam hingga ke tahap hudud. Sesuatu yang sangat berbeza jika dibanding zaman 60an hingga 90an dahulu.

PAS berjaya membuka ruang dakwah selebar mungkin. Media massa boleh mengambil manfaat untuk mengupas isu ini tanpa perlu takut. Tokoh PAS diundang ke pelbagai sektor kerajaan memberi penerangan tentang syariat Islam tanpa perlu berselindung lagi. Penceramah juga sudah tidak risau mengisytihar diri sebagai AJK PAS. Kejayaan ini sangat bermakna bagi mereka yang berada di lapangan dakwah.

11. KEJAYAAN MEMPERKASA DAKWAH FARDI

Dengan himpunan yang diadakan di tengah perut ibu negara Malaysia ini, maklumat mengenai syariat Islam telah tersebar merata-rata. Sebelum H355, maklumat mengenai RUU355 boleh dikatakan tidak menyeluruh terutama bagi mereka yang tidak mempedulikan isu-isu semasa. PAS pula tidak mengambil pendekatan populis dengan mencetus kontroversi atau propaganda sebagaimana pihak lain lakukan untuk meraih publisiti.

Tetapi beberapa hari menjelang H355, khabar mengenainya semakin menembusi sempadan golongan tersebut. Arahan meragakan baju RUU355 sebelum himpunan menyebabkan orang ingin tahu apa maksud disebalik tulisan di baju itu. Hari kejadian, orang awam yang tidak memahami secara jelas tidak malu lagi untuk bertanya dan meminta penjelasan dari para peserta yang berlegar di sana-sini. Di stesen bas, RnR, stesen LRT dan di mana-mana, baju RUU355 terus kelihatan.

Saya melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana reaksi positif orang awam terhadap kami pemakai baju RUU355. Saya sendiri tidak kurang 3 kali di'temuramah' oleh orang awam. Kalau setiap orang menerima seorang sahaja "mad'u", jumlahnya sudah berganda!

Bagi meneruskan gelombang H355, hari ini Pengarah H355 menyarankan agar baju H355 atau sekurangnya Ungu terus dipakai pada setiap hari Sabtu. Untuk makluman, baju yang sudah terjual dari berbagai pihak dianggarkan mencapai setengah juta unit. Ini bermakna setengah juta rakyat Malaysia memiliki baju H355. Itupun masih ramai kenalan menghubungi saya untuk mendapatkan baju ini walaupun himpunan telah berakhir. Seandainya saranan pengarah itu disahut, pasti dakwah fardi dalam memperkenalkan konsep Islam menangani masalah jenayah dan sosial masyarakat terus berkembang dan berkembang. Ini juga satu kejayaan yang signifikan buat penggiat dakwah dan seluruh umat Islam.

12. KEJAYAAN MEMBAWA ISLAM TANPA FANATIK

Akhir sekali, PAS berjaya membawa contoh perjuangan atas nama agama, tanpa bersikap fanatik dan keterlaluan. Ini perkara yang sangat sukar dilakukan oleh mana-mana gerakan Islam di dunia. Kebanyakan akan lebih cenderung samada menjadi radikal dan syadid, atau menjadi sekular dan longgar pegangan terhadap syariah.

Bayangkan sebuah himpunan bermotif agama seperti H355, tiba-tiba PAS berjaya membawa golongan bukan Islam ke pentas ucapan. Mereka bukan sekadar tidak membantah, malah bersetuju, menyokong bahkan bersama memperjuangkan isu umat Islam ini.

Mustahil mereka sokong kerana akidah. Jika tidak, sudah lama mereka peluk Islam. Tentu sekali ini adalah bukti PAS mampu menyampaikan dengan baik keindahan syariat Islam jika ia berjaya dilaksanakan. Bukan Islam yang hadir ini faham bahawa mengikut penilaian sebagai seorang manusia normal tanpa mengambilkira sentimen agama, bagi mereka syariat Islam adalah cara terbaik untuk mengurus pentadbiran negara.

Sebenarnya banyak lagi kejayaan sampingan yang diraih hasil H355 ini. Tetapi 12 di atas bagi saya sudah terlalu banya k untuk dihuraikan. Cukuplah sekadar ini dahulu pengamatan dari saya. Semoga PAS terus istiqamah dengan pendekatan UNIK ini.

(Alang Ibn Shukrimun)

© all rights reserved
made with by templateszoo