Ada di mana sekumpulan penjawat awam yang bercuti ke London dan menunjuk-nunjuk aktiviti sepanjang tempoh percutian itu di Facebook hingga ia menjadi bualan ramai. Jika mereka memiliki banyak beg tangan mewah dan menunjuk-nunjuk pula, kami mahu tahu dari mana mereka dapatkan wang untuk membeli barangan mewah itu.
PETALING
JAYA: Penjawat awam dan isteri yang gemar menunjuk-nunjuk dengan
memuatnaik gambar barangan mewah yang dimiliki seperti beg dan jam tangan,
selain percutian keluarga bertaraf lima bintang perlu berwaspada kerana mereka
sedang diperhatikan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini giat mengikuti status
di laman media sosial terutama Facebook dan Instagram.
Selain itu, aktiviti bermain golf di luar negara melibatkan penjawat
awam berjawatan tinggi, serta kegiatan pegawai kerajaan peringkat pertengahan
dan rendah juga dipantau rapi kerana ada kes di mana gaya hidup mereka tidak
seiring dengan pendapatan bulan.
The Star dimaklumkan, ada kes di Sabah di mana sekumpulan penjawat awam
yang bercuti ke London dan menunjuk-nunjuk aktiviti sepanjang tempoh percutian
itu di Facebook hingga ia menjadi bualan ramai.
Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan
pihaknya memantau laman sosial penjawat awam yang gemar menunjuk-nunjuk gaya
hidup mewah mereka.
"Kami bergantung kepada maklumat awam dan bukti yang dikumpul
pegawai risikan bagi menyiasat kegiatan yang dikesan," katanya sambil
menambah ia tugasan mencabar kerana melibatkan 1.6 juta penjawat awam.
Katanya, tidak salah bagi penjawat awam dan ahli keluarga untuk memiliki
beg tangan dan jam tangan mewah.
"Tetapi memiliki lebih daripada satu beg tangan mewah jenama
Hermes, Chanel or Louis Vuitto boleh menimbulkan keraguan dan rasa syak
mengenai dari mana datangnya sumber kewangan itu.
"Jika penjawat awam atau ahli keluarga mereka memiliki banyak beg
tangan mewah dan menunjuk-nunjuk pula, kami mahu tahu dari mana mereka dapatkan
wang untuk membeli barangan mewah itu," katanya.
Azam diminta mengulas siasatan terkini berkaitan dakwaan rasuah
melibatkan seorang ketua setiausaha sebuah kementerian apabila sejumlah
barangan mewah termasuk 150 beg tangan dan jam dirampas dan disita dalam
operasi di sebuah rumah di Subang Jaya pada Rabu.
Oktober lalu, sejumlah barang kemas mencecah RM3.64 juta dan beg tangan
berjenama bernilai RM500,000 dirampas daripada dua pegawai kanan Jabatan Air
Sabah.
Kata Azam, pihaknya juga akan bekerjsama rapat dengan pihak berkuasa lain
seperti Jabatan Imigresen bagi memeriksa kekerapan perjalanan penjawat awam
terlibat ke luar negara bersama ahli keluarga dan tujuan berbuat demikian.
"Inilah antara petunjuk yang
digunakan sebagai sebahagian langkah siasatan terhadap penjawat awam yang menjalani
kehidupan melebihi keupayaan mereka," katanya.
Pada Selasa, Azam menerusi radio online
suruhanjaya itu, MACCfm. berkata, penjawat awam yang menaiki pesawat
menggunakan kelas bisnes ke luar negara untuk bermain golf dan diiringi teman
wanita serta perempuan simpanan turut disiasat terlibat dalam penyalahgunaan
kuasa dan rasuah.
http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/01/06/sprm-pantau-fb-penjawat-awam/