NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

RUU 355: Guan Eng patut malu

Mengatakan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, adalah sesuatu yang amat dangkal dan saya rasa tidak perlu untuk membidas Guan Eng, cukuplah saudara Ahmad Ali berumur 13 tahun yang memahami Perlembagaan Persekutuan.


17 Jan. – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dibidas kerana didakwa tidak memahami Perlembagaan Persekutuan berbanding seorang remaja berusia 13 tahun yang dilihat lebih arif dalam perkara itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk. Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (gambar)berkata, sebagai wakil rakyat, Guan Eng seharusnya malu apabila remaja terbabit, Ahmad Ali Abdul Karim, 13, lebih peka dengan Perlembagaan Persekutuan sehingga membuat laporan polis terhadap kenyataan mengelirukan yang dibuat Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

“Kalau ada yang mengatakan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, adalah sesuatu yang amat dangkal dan saya rasa tidak perlu untuk membidas Guan Eng, cukuplah saudara Ahmad Ali berumur 13 tahun yang memahami Perlembagaan Persekutuan.

“Saya ucapkan syabas kepada saudara Ahmad Ali kerana seawal usia 13 tahun pun, dia amat memahami intipati Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis ramah mesra dan penerangan mengenai isu semasa di Dewan Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub di sini hari ini.

Akhbar hari ini menyiarkan berita mengenai tindakan Ahmad Ali membuat laporan polis terhadap Guan Eng berhubung kenyataan pemimpin itu berkenaan RUU 355 yang dimuat naik ke laman blognya, dua bulan lalu.

Dalam artikel terbabit, Guan Eng didakwa mengeluarkan empat pernyataan berbaur hasutan membabitkan rang undang-undang tersebut.

Menurut Asyraf Wajdi, pindaan RUU 355 tidak menyalahi Perlembagaan Persekutuan, malah akta berkenaan adalah berlandaskan kepada Perkara 3 yang mengatakan Islam adalah agama Persekutuan.

Sehubungan itu, katanya, berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, maka tidak menjadi kesalahan kepada kerajaan untuk mengadakan undang-undang berkaitan masyarakat Islam, khususnya pindaan RUU 355.

“Sebagai sebuah negara yang diberikan status agamanya dan diperkukuhkan lagi dalam Perkara 37 sumpah Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara kesucian agama Islam, kerajaan boleh mengadakan apa sahaja undang-undang yang berkaitan dengan kepentingan orang Islam selagi mana ia dalam lingkungan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, dengan usaha berterusan meletakkan agama Islam di tahap tertinggi termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan, ia jelas menunjukkan Malaysia merupakan sebuah negara Islam dan bukannya negara sekular.
(Utusan Online)
© all rights reserved
made with by templateszoo