NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pasal Apa Mahkamah Syariah Perlu Diperkasakan? 




RUU355 boleh membantu memperbaiki banyak masalah  dalam masyarakat khususnya kebajikan wanita dan anak anak dalam membina masyarakat yang sejahtera  dan diredhai Allah. 


Kedudukan  kuasa yang ada pada Mahkamah  Syariah pada hari ini paling tinggipun boleh menjatuhkan hukuman 3 tahun penjara, 5 ribu denda dan 6 kali sebatan. Seorang Ketua Hakim Syariah yang paling  tinggipun,  setakat itulah sahaja kuasanya kerana enakmen syariah yang digubal diperingkat Dewan Undangan Negeri masing masing tidak boleh memperuntukkan lebih dari kuasa yang dibenarkan sekarang. 

Mahkamah yang paling rendah di dalam sistem kehakiman biasa (bukan syariah) misalnya Mahkamah Rendah atau Mahkamah Sesyenpun mempunyai  bidang kuasa lebih besar walaupun yang menghakimi adalah cuma berjawatan Pendaftar Mahkamah dibandingkan seorang  Ketua Hakim Syariah. 

Bukan sedikit senarai kesalahan yang boleh didenda lebih RM5 ribu atau penjara lebih 3 tahun.

Kerana itu,  sekalipun Mahkamah Syariah hanyalah untuk orang Islam,  ia dipandang rendah,  tidak perkasa,  tidak digeruni malah kadang kadang dilayan kelas kedua dalam mendapat kerjasama agensi penguatkuasaan undang undang seperti PDRM.

Ia tidak dilihat gagah dan perkasa.

Kekurangan  ini mendatangkan masalah dalam menegakkan  hukum hukum  yang menjaga maslahah umat Islam misalnya gejala maksiat,  khalwat, zina,  minum arak, judi. 

Hukuman yang ada tidak cukup memberi pengajaran. Bagi yang kaya, langsung tidak menjejaskan apa apa bagaikan membayar tiket hiburan mewah mereka sahaja. 

Gejala sosial dikalangan umat Islam sekarang parah. Percambahan pusat maksiat dan hiburan yang menyajikan arak dan perempuan adalah kerana ia mendapat  sambutan dari orang Islam sendiri. Gejala ini penyumbang masalah rumahtangga,  penagihan dadah,  pengabaian anak anak. 

Hukuman yang berat selain proses pendidikan disisi yang lain boleh  menghindarkan orang Islsm dari berkunjung ke tempat  maksiat. Tanpa sambutan,  perniagaan  tidak menguntungkan dan dengan sendiri boleh  dikurangkan.

Satu lagi yg perlu diperhatikan yang juga sangat serius adalah berkaitan lambakan kes tertangguh berkait cerai,  gantung tidak bertali,  tuntutan nafkah anak,  kes pusaka.

Ini sangat  berkait kebajikan kaum wanita dan anak anak khususnya yang ramai bilangannya. Mereka  yang sebenarnya menjadi mangsa. 

Sebahagian  besar punca tertangguh  adalah berkait sikap saksi,  defendan,  responden  yang mengambil sikap acuh tidak acuh dalam menghadirkan diri dalam perbicaraan  yang telah ditetapkan. 

Kes lepas tangguh ditangguh lagi. 

Ia berkait persepsi memandang rendah dan acuh tidak acuh Mahkamah Syariah.  Jika namanya Mahkamah Tinggi biasa,  masing masing tahu pula takut dan tidak berani berlebih kurang. 

Mahkamah Syariah perlu lebih kuasa untuk memastikan  keputusannya dikuatkuasakan serta memperoleh  sokongan  dan kerjasama Polis dan agensi berkaitan. Yang gagal hadir,  memberi keterangan  palsu di mahkamah,  menghina mahkamah,  mesti boleh dikenakan hukuman yang berat. 

Tindakan menggambarkan RUU355 semata mata dalam konteks  hudud oleh pihak yang menentang adalah sangat  dikesali. 

RUU355 boleh membantu memperbaiki banyak masalah  dalam masyarakat khususnya kebajikan wanita dan anak anak dalam membina masyarakat yang sejahtera  dan diredhai Allah. 

HJ AHMAD AMZAD HASHIM 
18hb Januari  2017
© all rights reserved
made with by templateszoo