KSU dan kedua-dua anaknya itu ditahan reman tujuh hari bermula Khamis sehingga 11 Januari bagi membantu siasatan menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukannya untuk menerima rasuah.
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
menemui lagi beberapa kilogram emas dan wang tunai dianggarkan berjumlah RM2.6
juta susulan penahanan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar
dan Wilayah (KKLW) Datuk Mohd Arif Ab Rahman.
Menurut sumber, sepasukan pegawai Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka peti simpanan deposit di sebuah
bank pada hari Khamis dan merampas kira-kira 8 kilogram emas bernilai RM1.6
juta.
Selain itu, beberapa buah peti simpanan deposit
wang tunai bernilai RM1 juta termasuk AUD80,000 turut dirampas di beberapa buah
bank yang lain.
"Kami juga merampas kenderaan pelbagai guna -
sebuah Toyota Estima - yang dimiliki anak suspek di rumahnya di Subang Jaya.
"Rekod kami menunjukkan terdapat lebih
daripada 10 lot tanah yang didaftarkan di bawah nama keluarganya di sekitar
Lembah Klang," tambah sumber itu.
Nilai tanah ini masih belum ditentukan dan SPRM
masih menjalani siasatan sekiranya harta tanah itu dikumpul melalui cara
rasuah.
SPRM juga akan akan berhubung dengan Lembaga Hasil
Dalam Negeri (LHDN) untuk memastikan sama ada Datuk pernah mengelak membayar
apa-apa cukai sejak 2010.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk
Azam Baki berkata, setakat ini tiada tangkapan baharu dibuat.
Bagaimanapun, Azam berkata, lebih ramai saksi akan
dipanggil bagi membantu siasatan ini.
Pada Rabu, SPRM menahan Mohd Arif di rumahnya
ketika beliau bersiap sedia untuk pergi ke tempat kerja.
Azam mengesahkan penahanan tersebut dilakukan oleh
pegawai-pegawainya.
Mohd Arif ditahan di rumahnya di USJ3, Subang
Jaya, manakala dua anaknya ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya selepas
mereka dipanggil untuk disoal siasat.
Beberapa pegawai yang bertugas menjalankan carian
selama 12 jam di rumah Mohd Arif telah menemui jongkong emas, 150 beg tangan
mewah, jam tangan berjenama dan mata wang asing.
Jongkong emas dan mata wang Australia dan Euro
yang dirampas dianggarkan bernilai RM3 juta.
Manakala beg tangan yang dirampas berjenama
Chanel, Hermes, Dior, Louis Vuitton dan Gucci.
Harga bagi beberapa buah beg tangan ini bernilai
di antara RM7,000 hingga RM100,000 setiap satu.
KSU dan kedua-dua anaknya itu ditahan reman tujuh
hari bermula Khamis sehingga 11 Januari bagi membantu siasatan
menyalahgunakan kuasa jawatan dan
kedudukannya untuk menerima rasuah.
http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/01/05/sprm-tahan-ksu-kementerian/