Semua kanak-kanak di Kedah berhak mendapat pendidikan sekolah rendah walaupun tidak memiliki sijil kelahiran seperti diputuskan oleh Kementerian Pendidikan, namun ada borang khusus yang perlu diisi oleh waris.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata
semua kanak-kanak di negeri itu berhak mendapat pendidikan sekolah rendah
walaupun tidak memiliki sijil kelahiran.
Beliau berkata perkara itu sudah diputuskan oleh Kementerian
Pendidikan dan arahan sudahpun dikeluarkan.
“Kita faham ada kanak-kanak yang tidak mempunyai sijil kelahiran
atas beberapa sebab, namun ada borang khusus yang perlu diisi oleh waris,”
katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Hak Milik
Peserta Felcra Pulau Belantek dan Bandar Beris Jaya, di Sik semalam.
Beliau diminta mengulas kes seorang kanak-kanak lelaki berusia
tujuh tahun di Changlun yang tidak dapat mendaftar di sekolah semasa sesi
persekolahan 2017 bermula Ahad lepas kerana tidak memiliki sijil kelahiran.
Ahmad Bashah tidak menolak kemungkinan ada pejabat pendidikan
daerah di negeri itu yang tidak menerima arahan Kementerian Pendidikan
berkenaan.
Sementara itu, kanak-kanak tersebut dilaporkan tidak dapat
bersekolah disebabkan status kewarganegaraannya akan mula belajar di Sekolah
Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yit Min di Changlun Ahad ini.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Shaiful
Hazizy Zainal Abidin berkata, keputusan itu hasil perbincangan antara Jabatan
Pendidikan Daerah Kubang Pasu dan Jabatan Pelajaran Negeri Kedah.
Kerajaan negeri tidak akan membiarkan Yao Chun (kanak-kanak
berkenaan) tidak bersekolah.
“Apa yang kita mahu agar pihak waris terus berurusan dengan
pihak berkaitan untuk mendaftarkan dia sebagai warganegara Malaysia,” katanya
ketika mengunjungi rumah kanak-kanak itu di Taman Sayang semalam.
Selain itu, kerajaan negeri juga bersetuju menyumbang pakaian
seragam, peralatan menulis, dan buku serta bayaran yuran awal persekolahan.
Usaha sedang dibuat bagi mempercepatkan proses status
kewarganegaraan beliau dengan Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya.
Sementara itu, nenek Yao Chun, Rose Mary Chin, 77, berkata,
beliau bersyukur kerana cita-citanya selama ini untuk melihat cucunya itu
bersekolah akhirnya tercapai.
Rose Mary berkata, masalah itu timbul apabila Yao Chun yang
dilahirkan pada 29 Ogos 2009 oleh ibunya yang juga warga Myanmar, gagal
didaftarkan kelahirannya oleh bapanya yang merupakan rakyat Malaysia berusia 42
tahun di Kedutaan Malaysia di Thailand sebelum menghilangkan diri.
“Ekoran itu, Yao Chun diserahkan oleh dua wanita dipercayai
warga Thailand yang tidak dikenali datang ke rumah saya bersama-sama dengan
sijil kelahiran yang dikeluarkan oleh Hospital Hatyai.
“Mendakwa anak saya (bapa Yao Chun) telah menghilangkan diri dan
mengambil keputusan untuk menyerahkan anak itu kepada saya, saya terima kerana
dia cucu saya,” katanya.
Rose Mary kemudian cuba mendaftar cucunya itu dengan Jabatan
Pendaftaran Negara negeri ini, tetapi permohonannya ditolak disebabkan sijil
kelahiran cucunya itu tidak didaftarkan di Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di
Songkhla, Thailand.
Beliau kemudian ke Konsulat Malaysia di Songkhla, Thailand
tetapi tidak dapat melengkapkan proses permohonan tersebut kerana bapa Yao Chun
tidak hadir dan menghilangkan diri.
“Inilah yang menyebabkan Yao Chun tidak dapat didaftarkan ke
sekolah hingga hari ini walaupun sudah dua tahun dia belajar tuisyen di sekolah
swasta,” katanya.
– Bernama